Kem Semarak Tari pentas pelajar dalami seni warisan budaya

TAJUDDIN Mohamad Mor (tengah) dan Muhamed Jauhari Shaarani (empat dari kanan) bersama-sama penerima Anugerah Platinum peserta Tarian Piring Kem Semarak Tari 2015 anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Istana Budaya baru-baru ini.

 

Jabatan Pendidikan Wilayah Per­sekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Bandaraya me­nganjurkan Kem Semarak Ta­ri 2015 bagi memelihara dan mengembangkan warisan budaya bangsa kepada generasi muda di Lambang Sari, Istana Budaya (IB), baru-baru ini.

Penyelaras Program, Nik Shareeza Roslyn Mohd Rosly berkata, kem ini diadakan bertujuan memberi latihan secara intensif dan pendedahan untuk mempelajari tarian baharu merangkumi tarian tradisional dan kontemporari khusus kepada pelajar.

“Pada masa sama, kem ini adalah platform untuk memilih pelajar mewakili wilayah persekutuan ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Pulau Pinang.

“Melalui kem ini diharap dapat membantu meningkatkan kefahaman dan kesedaran tentang wari­san budaya yang perlu dikekalkan dalam kalangan pelajar,” katanya.

Program tiga hari dua malam ini disertai lebih daripada 100 pelajar yang terpilih mewakili sekolah di peringkat Wilayah Persekutuan.

Majlis Penutup Malam Gala Kem Se­marak Tari 2015 disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pen­didikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Tajuddin Mohamad Mor.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah IB, Datuk Muhamed Jauhari Sha­arani dan Pengetua SMK Bukit Bandaraya, Noraizan Mohamed.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: