Ibu bapa perlu aktif jalin kerjasama mantapkan pendidikan anak di sekolah

BACHOK 21 Jun – Golongan ibu bapa perlu aktif bekerjasama dengan guru untuk mantapkan dunia pendidikan alaf baharu yang serba mencabar.

Che Shamsuzuha Che Noh menunaikan tanggungjawab sukarelanya sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa (PIBG) dengan hadir ke pintu pagar Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Golok, Bachok,Kelantan untuk menyambut ketibaan pelajar setiap pagi.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bachok, Che Shamsuzuha Che Noh berkata, hubungan ibu bapa dan guru perlu mantap kerana keakraban kedua-dua pihak memberi impak positif kepada pelajar. “Langkah perlu ialah saling bertanya khabar demi kemajuan anak-anak dalam semua aspek mencakupi prestasi akademik, pembangunan sahsiah dan kerohanian,” katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Golok, dekat sini, hari ini. Beliau yang juga merangkap Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berkata, ibu bapa dialu-alukan ke sekolah untuk membantu guru dalam mengisi keperluan tertentu. Contohnya kata beliau, ibu bapa yang berkemahiran dalam permainan seperti bola sepak, sepak takraw atau seni mempertahankan diri boleh tampil memberi perkhidmatan sukarela sebagai jurulatih kepada pelajar dengan mendapat kebenaran pihak sekolah terlebih dahulu. “Langkah sebegini adalah jambatan keakraban yang akan menjadikan sekolah dalam satu-satu lokasi sebagai hak milik komuniti. Lebih membanggakan sekiranya kepakaran ibu bapa dalam ilmu akademik turut dimanfaatkan bagi kepentingan anak-anak di sekolah,” katanya. Che Shamsuzuha berkata, kebijaksanaan mendekati remaja amat penting kerana golongan itu sebenarnya lebih gemar untuk didekati, dipujuk dan ditarbiah secara lembut berbanding secara kasar.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: