JPN Melaka anjur program Cakna Pengurusan Rekod

ROZANA ISMAIL (kanan) menerima cenderamata daripada Faridah Ishak semasa majlis penutup program Cakna Pengurusan Rekod Sekolah-Sekolah negeri anjuran JPN dan Arkib Negara di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.

 

MELAKA 14 Jun – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah memper­kenalkan piawaian dan peraturan baharu bagi melaksanakan pengurusan rekod jabatan dan sekolah di seluruh negeri ini.

Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan JPN Melaka, Rozana Ismail berkata, melalui kerjasama yang dijalinkan dengan Arkib Negara, semua pegawai di jabatan itu dapat menguruskan rekod selain berinteraksi secara langsung dengan pegawai dari Arkib Negara yang menyelia proses itu.

Menurut beliau, Cakna Pengu­rusan Rekod peringkat jabatan yang dianjurkan baru-baru ini memainkan peranan penting bagi membantu semua pegawai jabatan termasuk kerani dan guru sekolah meningkatkan kefahaman dan kepentingan pengurusan rekod secara sistematik dalam sektor pendidikan.

“Jabatan Pendidikan negeri mempunyai tiga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan 313 buah sekolah dan perlu menguruskan beribu-ribu fail penting untuk di­selia dalam pelbagai klasifikasi fail fungsian.

“Untuk itu kita memberi penekanan kepada warga jabatan, PPD dan sekolah tentang kepentingan pengurusan rekod dan pelupusan. Pengurusan fail dan rekod yang bersistematik ini amat penting dalam pengurusan kerja seharian bagi membuktikan sesuatu tindakan telah diambil, sebagai rujukan dan juga rekod,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penutup Cakna Pengurusan Rekod Sekolah-Sekolah negeri anjuran JPN dan Arkib Negara di Auditorium Seri Negeri di sini baru-baru ini.

Seramai 340 guru dan kakitangan sekolah dari seluruh negeri Melaka menyertai program sehari itu yang diadakah bagi memberi pendedahan kepada mereka tentang teknik pengurusan data dan rekod jabatan serta sekolah masing-masing.

Majlis penutup program itu di­sempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Arkib Negara, Faridah Ishak.

Sementara itu, Faridah dalam ucapannya berkata, penganjuran cakna pengurusan rekod oleh Arkib Negara bermula pada tahun 2013 dengan Perlis menjadi perintis dan diikuti Terengganu dan Melaka.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: