Guru perlu kreatif, inovatif didik murid

ABDUL SHUKUR IDRUS (empat dari kiri) bersama penerima anugerah sempena sambutan Hari Guru dan Anugerah Inovasi peringkat daerah Gombak di SBPI Rawang, Selangor, baru-baru ini .

 

Pegawai Pendidikan Daerah Gombak, Dayang Fatimah Abang Narudin menyarankankan warga pendidik agar kreatif dan inovatif dalam usaha mengupayakan murid menguasai bidang ilmu dengan cemerlang.

“Hal ini termasuk penerimaan ilmu dan memfokus kepada penggunaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang bersifat futuristik, fleksibel dan dinamik untuk memenuhi cabaran pendidikan abad ke-21,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis sambutan Hari Guru dan Anugerah Inovasi peringkat daerah Gombak di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Rawang, Selangor, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus menyempurnakan majlis perasmian sambutan itu yang dihadiri 500 guru dan menyediakan 27 kategori anugerah inovasi pada tahun ini.

Bekas Pegawai Pendidikan Daerah Gombak, Siti Norma Mohd Yusof dianugerahkan Tokoh Ke­pimpinan Pendidikan manaka­la Ho Yen Chew dan Azizah Abdul Mutalib diumumkan penerima Anugerah Tokoh Guru 2015 dalam majlis itu.

Abdul Shukur turut melancarkan Buku Kompilasi Kajian Tindakan bertajuk Solusi Kreatif yang mengandungi koleksi Kajian Tindakan hasil garapan dan kerjasama guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Buloh.

Yang turut dilancarkan Modul LINUS, Bijak Baca dan Tulis nukilan pegawai fasilitator linus Pejabat Pendidikan Daerah Gombak.

Modul tersebut disasarkan penggunaannya untuk murid LINUS yang tidak menguasai konstruk tiga hingga 12 dan diguna pakai oleh semua guru pemulihan daerah Gombak.

Bagi memeriahkan sambutan Hari Guru tahun ini, pelbagai antara acara diadakan seperti derma darah, ziarah warga pendidik yang uzur dan sakit serta pertandingan boling.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: