Bimbing pelajar kuasai pelbagai bidang

ABD. RAHMAN IBRAHIM (tengah) bergambar dengan para ahli jawatankuasa serta murid Sekolah Rendah Islam Sri Al-Imtar sempena Hari Sukan Tahunan 2015 sekolah itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

Menyedari kepentingan mengimbangi keperluan akademik dan ko­kurikulum dalam melahirkan modal insan holistik, Sri Al Imtar di bawah pengurusan Yayasan Se­dhar secara berterusan mencungkil ba­kat para pelajarnya dalam acara sukan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sedhar, Datuk Rahman Ibrahim berkata, pelajar Sri Al Imtar diberi pendedahan yang meluas dengan pelbagai bidang yang mereka minati dan tidak semata-mata hanya menguasai pengetahuan agama Islam semata-mata.

“Dua pelajar kami, Mirza Insyirah Dzulkiflee dan Nur Adreanna Juhairi berjaya mengharumkan na­ma Sri Al Imtar apabila meraih dua pingat dalam pertandingan Putrajaya Poomsae Taekwando Championship 2015 di Putrajaya baru-baru ini.

“Kami juga ingin mengucapkan tahniah kepada ibu bapa pelajar yang turut bersungguh-sungguh serta komited menjayakan penglibatan pelajar dalam bidang sukan ini,” katanya ketika berucap merasmikan Sukan Tahunan Sri Al Imtar di Kompleks Sukan Kampung Pandan baru-baru ini.

Lebih 100 pelajar dari prasekolah hingga Tingkatan 5 Sri Al Imtar menyertai acara sukan yang masuk kali ketiga penganjurannya tahun ini.

Al Imtar merupakan singkatan nama penuh Institusi Muraja’ah Tahfiz Ar-Rahmaan dan ditubuhkan pada Disember 2002 dengan bermula pengajian tahfiz al-Quran dan kemudian telah menambah beberapa pengajiannya seperti taska, tadika, sekolah rendah kebangsaan, sekolah rendah Islam dan tahfiz al-Quran berasrama.

Kini, Al Imtar mempunyai lebih 200 pelajar dan sedang menaik taraf untuk mengembangkan lagi pembangunannya bagi membolehkan lebih ramai pelajar berpeluang menimba pengajian dalam bidang ilmiah.

Dalam masa yang sama, Rahman berkata, pihaknya memerlukan lebih banyak penglibatan ibu bapa dalam menjayakan matlamat penubuhan Al Imtar dalam memastikan pencapaian institusi itu dapat dipertingkatkan pada depan de­ngan peringkat lebih baik.

“Untuk keperluan itu, Al Imtar memperkenalkan penubuhan Persatuan Pemuafakatan Ibu Bapa yang sama peranannya seperti persatuan ibu bapa dan guru di sekolah biasa bagi memperkasakan peranan ibu bapa dalam pencapai­an akademik serta kokurikulum anak masing-masing,” katanya.

Menurut beliau, ini seiring de­ngan matlamat pihaknya untuk muncul menjadi peneraju bidang pendidikan terbesar di negara da­lam kedudukan ke-10 terbaik menjelang tahun 2020.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: