Keputusan pertukaran guru guna sistem lampu isyarat – Idris

BESUT 31 Mei – Keputusan pertukaran guru antara negeri-negeri bagi pertengahan tahun ini pertama kalinya dibuat menggunakan sistem seperti lampu isyarat, kata Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh di sini.

Beliau berkata, menerusi sistem itu, keputusan permohonan guru untuk bertukar ke negeri-negeri pilihan mereka dibuat berdasarkan satu kekosongan bagi satu opsyen.

“Sistem lampu isyarat itu digambarkan seperti lampu hijau sekiranya permohonan yang dibuat bertepatan dengan kekosongan yang ada atau hijau dengan hijau maka baharulah permohonan itu diluluskan,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke Projek Usahawan Empower di Kampung Beris Lampu Kuala Besut di sini hari ini.

Katanya, permohonan hanya akan dilayan sekiranya ada kekosongan mengikut opsyen dan menurutnya antara sebab permohonan tidak dilayan adalah kerana tiada kekosongan di tempat yang dipohon.

Beliau berkata kekosongan yang terdapat di negeri-negeri ada dipaparkan secara dalam talian menerusi laman web kementerian.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: