Kemahiran TVET diperluas

TIMBALAN Ketua Setiausaha (Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr. Zulkifli Mohamed Hashim menyampaikan piala pusingan kepada pemenang tempat pertama, Mohammad Danial Redzuan (dua kiri) dan Nor Hafizi Shaharudin (kiri) dari Kolej Vokasional Slim River Perak pada Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket 2014 Peringkat Kebangsaan di Stadium Arena Universiti Malaya, Kuala Lumpur, tahun lalu.

 

PADA minggu lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah membentangkan pelan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) untuk tempoh lima tahun akan datang.

Rancangan berkenaan dilihat ramai pihak sebagai sebuah pelan rancangan yang paling penting dalam aspek pembangunan negara kerana tempoh lima tahun dari sekarang negara kita akan bertukar status menjadi sebuah negara maju.

Pelbagai perancangan penting telah dirangka oleh Perdana Menteri untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju serta berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 kelak.

Namun, apa yang menjadi tarikan pelbagai pihak adalah fokus utama yang diberikan untuk pembangunan holistik terutamanya terhadap aspek pembangunan kemahiran pekerja dari sudut teknikal dan vokasional. Melalui pelan RMK-11, sebanyak 1.5 juta pekerjaan baharu akan diwujudkan di mana 60 peratus daripadanya memerlukan kelayakan berkaitan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurut pelan rancangan pembangunan negara bagi tempoh 2016 – 2020 yang dibentangkan, TVET akan menjadi platform penting bagi meningkatkan jumlah tenaga kerja mahir dalam hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020. Pelbagai langkah telah dikemukakan oleh kerajaan untuk pembangunan serta pengukuhan aspek teknik dan vokasional ini.

Di antara langkah–langkah yang dilihat penting bagi meningkat kualiti pembangunan serta pengukuhan bidang teknik dan vokasional adalah menerusi bidang pendidikan. Baru– baru ini juga, Perdana Menteri melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015–2025 (Pendidikan Tinggi), (PPPM (PT)) yang dilihat sebagai usaha ke arah hala tuju baharu yang menentukan masa depan negara terutamanya dalam sektor pendidikan tinggi.

Apa yang menarik perhatian melalui pelan pembangunan pendidikan terbabit adalah fokus utama yang ingin diberikan oleh kerajaan terhadap sektor latihan teknik dan vokasional yang juga mempunyai peranan yang sama penting dalam pendidikan negara kita.

Bagi meneruskan usaha ke arah menjadi sebuah negara maju kelak sesebuah negara maju pendidikan teknik dan vokasional perlu diberi perhatian penting oleh semua pihak dalam negara kita bagi memastikan pembangunan pendidikan dalam negara kita terus mampan dan berdaya berdaya saing.

Perlu diketahui, banyak negara maju seperti Amerika Syarikat, Eropah, Australia, Jepun, Kanada di mana peratus pelajar lepasan sekolah menengahnya lebih banyak menjurus kepada sektor pendidikan dalam bidang teknik dan vokasional. Ini kerana negara terbabit itu menyasarkan sejumlah besar ahli teknologi, pekerja mahir dan separa tinggi bagi memangkin pertumbuhan ekonomi mereka secara berterusan dan berkualiti.

Dasar yang diamalkan oleh negara–negara maju terbabit ini juga menjadi satu penekanan penting kerana mereka mahu memastikan modal insan dalam sektor pekerjaan mereka sentiasa kekal mencukupi dan tidak bergantung semata–sama kepada tenaga asing di samping memastikan nasib generasi masa depannya terus terbela.

Perlu diketahui juga, kebanyakan minat golongan belia pada masa kini adalah lebih kepada bidang yang berunsur teknik dan vokasional yang dianggap lebih banyak menawarkan peluang pekerjaan serta lebih memberi jaminan untuk kelangsungnan kehidupan mereka di masa akan datang berbanding bidang akademik konvensional yang ditawarkan oleh kebanyakan universiti pada masa kini.

Anggapan negatif sesetengah pihak terhadap sektor pendidikan teknik dan vokasional perlu juga diubah bagi memastikan kelancaran sepenuhnya pelan pembangunan pendidikan yang telah dilancarkan serta pengumuman RMK-11 yang lalu.

Melalui RMK-11, pihak kerajaan dijangka mempergiat usaha bagi memperkasakan bidang teknik dan vokasional serta menangkis persepsi negatif masyarakat terhadap bidang itu. Di bawah RMK-10 lalu iaitu dari 2011 hingga 2015, pelbagai usaha diambil untuk mengarus perdana dan memperluas akses bidang TVET dalam negara kita.

Memandangkan masih wujud persepsi negatif segelintir masyarakat dalam bidang ini, maka pelbagai usaha akan giat dilakukan oleh pihak kerajaan untuk terus memperkasa bidang TVET di bawah pelan RMK-11 bagi tempoh lima tahun akan datang sebelum negara mencapai status negara maju.

Adalah penting bagi semua pihak dalam negara kita untuk mengubah pemikiran mereka terhadap sektor pendidikan teknik dan vokasional yang sering dianggap sebagai sektor pendidikan kelas kedua.

Zaman kini sudah banyak berubah, kebanyakan sektor pekerjaan di luar sudah mula memberi fokus kepada sektor yang lebih memerlukan tenaga kemahiran teknik dan vokasional dari seseorang pekerja seperti bidang automotif, aeroangkasa, teknologi makanan, elektronik, farmaseutikal dan lain-lain.

Negara kita juga kini memerlukan modal insan terbaik bagi mendokong pembangunan industri dan penguasaan teknologi bagi mengelakkan kebergantungan secara total terhadap teknologi dan kemahiran dari negara lain.

Bagi menjayakan hasrat murni pihak kerajaan ini, kerjasama semua pihak dalam negara kita adalah penting bagi memastikan kelancaran pelan RMK-11 untuk manfaat semua pihak terutamanya generasi muda dalam negara kita sebelum Malaysia melangkah menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: