Sukan lahir pelajar cergas

ROSNAH ABDUL RASHID

 

PAPAR 31 Mei – Bidang sukan merupakan antara platform terbaik untuk melahirkan pelajar cergas dari segi fizikal dan mental selain mendidik mereka memiliki sema­ngat juang tinggi dalam mencapai kejayaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kecergasan dari segi fizikal dan mental serta kesungguhan merupakan elemen utama untuk melahirkan modal insan cemerlang dalam bidang pendidikan.

Malah, menurutnya, bidang sukan juga berupaya merapatkan hubungan dalam kalangan pelajar, guru dan ibu bapa sekali gus meningkatkan kerjasama antara semua pihak.

“Oleh itu, aktiviti kesukanan tidak boleh dipandang ringan sebaliknya diberi perhatian seiring dengan akademik,” katanya dalam ucapan sempena Kejohanan Sukan Tahunan Ke-43 Sekolah Kebangsaan (SK) Rampazan dekat sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Sulitnya, Hadi A. Kassim dan majlis turut dihadiri Guru Besar SK Rampazan, Sabli Sitam serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Mohd. Safwan Awang Matusin.

Dalam pada itu, Rosnah mengajak semua pihak agar memupuk aktiviti kesukanan dari peringkat awal persekolahan dalam usaha melahirkan modal insan berjaya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar mengingatkan agar ibu bapa memberikan sokongan mo­ral kepada anak mereka untuk menyertai aktiviti kokurikulum anjuran pihak sekolah.

“Penglibatan anak muda dalam kegiatan kokurikulum bukan sahaja mendidik mereka berdikari tetapi melatih mereka bergaul dengan masyarakat melalui aktiviti sihat.

“Selain itu, aktiviti kokurikulum ini dapat menghalang penglibatan mereka dalam aktiviti tidak berfaedah seperti melepak dan gejala sosial,” ujarnya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: