POKB wujudkan kelas abad ke-21

MADINAH MOHAMAD (berdiri, dua dari kiri) dan Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad beramah mesra dengan para pelajar selepas majlis Pelancaran Tabung Kaseh Sekolah Angkat POKB dan perasmian Kelas Abad Ke-21 di SMK Cengal, Kota Bharu, Kelantan, semalam.

 

KUALA LUMPUR 31 Mei – Persatuan Orang Kota Baharu (POKB) mewujudkan sebuah kelas dinamakan ‘Kelas Abad Ke-21’ bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar sekolah untuk menggunakan teknologi dalam sistem pem­belajaran.

Presiden POKB, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, kelas yang diwujudkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan itu buat pertama kalinya diperkenalkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Chengal di sini.

“Kelas berkenaan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya komputer riba, televisyen, serta beberapa peralatan lain dan ia amat selesa digunakan.

“Untuk kelas ini, kita sumbang pelbagai peralatan dianggarkan bernilai RM17,000 dan jumlah ini agak besar kerana kita ingin wujudkan suasana abad ke-21,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan selepas Majlis Pelancaran Tabung Kaseh Sekolah Angkat POKB dan perasmian Kelas Abad ke-21 di SMK Kampong Chengal hari ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad yang turut dihadiri Pengarah JPN Kelantan, Hussain Awang.

Beliau berkata, SMK Kampong Chengal merupakan sekolah pertama yang dipilih untuk diper­kenalkan Kelas Abad ke-21 itu supaya ia dapat menjadi contoh dan memberi pendedahan kepada pelajar tentang dunia luar.

“Ini kerana buat masa ini maklumat di peroleh tanpa sempadan dan kita perlu melakukan persiapan bagi melahirkan pelajar bertaraf dunia,” katanya.

Menurut Sheikh Ahmad Dusuki, pihaknya akan cuba mewujudkan Kelas Abad ke-21 di lima buah sekolah lagi tahun ini.

“Kita akan kenal pasti dan segala kriteria ditentukan sendiri oleh JPN. Saya lihat pelajar juga teruja dan lebih bersemangat untuk belajar,” katanya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: