Pendidik antarabangsa puji inisiatif latih pemimpin global abad ke-21

Rahanim Abd. Rahim (tiga dari kanan) bersama-sama wakil pendidik dari India mendengar penerangan berkaitan faedah penggunaan bahan kimia dalam kehidupan sempena lawatan delegasi peserta Persidangan Antarabangsa Kepemimpinan Sekolah Abad ke-21 ke SBP Integrasi Gombak, baru-baru ini.

 

Peserta Persidangan Antarabangsa Kepemimpinan Sekolah Abad ke-21 memuji inisiatif Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Gombak me­laksanakan Program Latihan Pe­mimpin Global (GLTP) bagi meng­optimumkan potensi setiap muridnya untuk menjadi individu yang memiliki nilai-nilai positif yang boleh dimanfaatkan kepada masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.

Perunding Pendidikan di London, Adrian Ingham berkata, ke­pimpinan sekolah ini memiliki visi yang jelas dalam pembinaan karakter pelajar untuk menjadi pemimpin global pada ma­sa depan.

“Hal ini terserlah melalui kete­rangkuman pelbagai elemen penting yang perlu ada pada seseorang pelajar seperti akademik, sukan dan ke­senian dalam kurikulum sekolah.

“Dan ini, dapat dilihat melalui komitmen tinggi pelajar dalam menjayakan ethos atau watak sekolah ketika mereka membuat persembahan, pembentangan dan pameran,” katanya.

Beliau berkata de­mikian ketika ditemui selepas menyertai lawatan delegasi dari Persidangan Antarabangsa Kepimpinan Sekolah Abad ke-21 di Institut Aminuddin Baki Cawangan Genting Highlands ke SBP Integrasi Gombak, Selang­or, baru-baru ini.

Delegasi seramai 25 orang itu mewakili pihak yang berkepenting­an dalam bidang pendidikan dari United Kingdom, Mexico, India, Filipina, Thailand, Indonesia dan Vietnam.

Seorang lagi delegasi, Ketua Sekolah Antarabangsa Si­ngapura di Mumbai, India, Sharonee Mullick memberi­tahu, pihaknya kagum dengan ke­upa­yaan sekolah membentuk pelajar yang seimbang dari segi akademik dan kokurikulum di samping memiliki tahap keyakinan diri yang tinggi.

“Pelajar sekolah ini memiliki kemahiran komunikasi yang baik, tidak teragak-agak, mesra dan berupaya menyampaikan sesuatu de­ngan ekspresi yang tepat,” kata­nya.

Sementara itu, Pengetua SBP Integrasi Gombak, Rahanim Abd. Rahim berkata, berbeza de­ngan amalan lazim yang hanya memberi tumpuan kepada pe­mim­pin pelajar sahaja, GLTP melibatkan semua murid, sama ada berjawatan atau tidak, untuk me­ngikuti modul yang di­ba­ngunkan dari pe­ringkat asas, mengenal pasti ma­salah, membuat analisis hingga mencadangkan pelan tindakan sebagai seorang pemimpin.

“Secara formal setiap pelajar akan mengikuti modul GLTP sebanyak dua kali setahun berdasarkan tingkatan masing-masing. Setiap tingkatan me­ngikuti modul yang berbeza.

“GLTP memberi penekanan bahawa setiap pelajar adalah pe­mimpin selagi dia boleh mempe­ngaruhi orang lain secara positif, kenal akan diri sendiri dan orang sekelilingnya, tidak pentingkan diri sendiri serta memiliki rasa kebersamaan dengan komuniti­nya,” kata Rahanim yang juga pengasas GLTP ini.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: