22,500 guru sertai Pro-ELT sejak 2012 (Mahu memastikan guru lancar bertutur bahasa Inggeris)

IDRIS JUSOH (tengah) beramah mesra dengan tokoh guru Negeri Selangor dari kiri, Gurdev Singh A/L Gurna Singh, Mohamad Abdul Rahman, Datuk Yusof Harun (tokoh Kepimpinan) dan Zakiah Md. Lassim (dua kanan) semasa sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Selangoir di Dewan Maktab Polis DiRaja Malaysia Kuala kubu Baharu, Selangor, semalam.

 

KUALA LUMPUR 28 Mei – Seramai 22,500 guru Bahasa Inggeris mengikuti kursus Professional Up-Skilling for English Language Teachers (Pro-ELT) sejak diperkenalkan pada November 2012.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kementerian meneruskan program tersebut kera­na mahu memastikan setiap guru berkemampuan bertutur bahasa itu dengan baik sekali gus dapat mendidik pelajar supaya memahaminya.

Beliau berkata, pihaknya sedar pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi bagi memastikan sistem pendidikan negara menjadi yang terbaik kepada rakyat.

“Selain kurang memahami dan bertutur bahasa Inggeris, antara cabaran lain kepada pelajar adalah terlalu berorientasi peperiksaan dan kurang berfikir.

“Oleh itu, kementerian secara berperingkat cuba mengatasi cabaran itu seperti menggantikan Penilaian Menengah Rendah kepada Pentaksiran Tingkatan 3 (PT 3), manakala bagi penguasaan bahasa Inggeris pula kita meneruskan program ini agar dapat menyampaikan pengajaran yang berkesan kepada pelajar,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan dan Pengarah Pendidikan Selangor, Zainuren Mohd.Noor.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai ranking sistem pendidikan di Malaysia, Idris berkata, kuali­ti pendidikan negara telah mula meningkat dan mana-mana pihak tidak perlu membuat perbandingan dengan tahun 2012.

“Kualiti pendidikan negara mula menunjukkan peningkatan lebih baik iaitu tangga 28 menjadi 27 dan untuk ranking negara kita antara 50 terbaik.

“Kita perlu yakin dengan sistem pendidikan negara dan mencipta masa hadapan agar dapat memberi manfaat kepada negara sekali gus mampu membentuk warganegara yang baik,” katanya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: