PPPM (PT): Enrolmen vokasional disasar 650,000 pelajar pada 2025

Idris Jusoh

KUALA LUMPUR 13 April – Kementerian Pendidikan yakin mencapai sasaran enrolmen sebanyak 650,000 pelajar dalam pengajian bidang teknikal dan vokasional (TVET) menjelang 2025 melalui pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendi- dikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) 2015-2025.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sasaran tersebut selaras dengan hasrat kerajaan membangunkan modal insan berkemahiran tinggi melalui pengenalan pendidikan asas vokasional pada peringkat menengah rendah dan menengah atas di kolej vokasional.

Katanya, bagi memastikan graduan TVET sepadan dengan perkembangan dan permintaan di 12 sektor Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), kurikulum TVET telah dirangka dan dilaksanakan menerusi model kerjasama baharu dengan pihak industri.

“Lonjakan empat PPPM PT telah menyediakan platform untuk mereka menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi melalui latihan serta pendidikan berkualiti dan berimpak tinggi di 91 kolej komuniti, 33 politeknik dan empat universiti teknikal Malaysia.

“Dalam masa sama, kualiti tenaga pengajar dan pen- yampaian terus dipertingkatkan merangkumi program perantisan, latihan amali, simulasi dan latihan khusus,” katanya menjawab soalan Senator Zaitun Mat Amin dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Sementara itu, menjawab soalan Senator K. Bathmavathi, beliau berkata, kerajaan ingin menjadikan budaya pembelajaran bagi rakyat negara ini tidak terhenti selepas peringkat pendidikan tinggi, sebaliknya menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai budaya hidup.

Berikutan itu jelasnya, melalui PPPM (PT), kementerian komi- ted untuk meningkatkan kualiti pembelajaran sepanjang hayat sama ada formal atau tidak, dalam pelbagai bidang serta laluan demi pembangunan profesional dan individu.

“Bagi merealisasikan hasrat ini, kementerian akan memperkenalkan lebih banyak program inovatif untuk menjadikan pembelajaran sepanjang hayat lebih menarik melalui model pembelajaran baharu seperti dalam talian.

“Pengiktirafan Akreditasi Pem­belajaran Berasaskan Peng­alaman Terdahulu (APEL) juga diharapkan akan meningkatkan enrolmen pelajar, misalnya pelajar dengan kelayakan diploma yang mempunyai pengalaman kerja beberapa tahun dan menamatkan pelbagai kursus pendek, boleh diterima terus dalam program sarjana melalui disiplin sama,” katanya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: