Angkasa terus kerjasama martabatkan tulisan Jawi

Abdul Fattah Abdullah (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada Abdul Muie Ngah (empat dari kanan) yang mewakili pihak sekolah memenangi tempat ketiga Pertandingan Selfie Ramadan dan Syawal @ Nusantara (Kategori Sekolah) pada Majlis Penyampaian Hadiah di SMK Tengku Lela Segara Marang di Terengganu, semalam. Turut kelihatan, Zulkifli Abdullah (tiga dari kanan).

MARANG 13 April – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan mene­ruskan jalinan kerjasama de­ngan Kumpulan Utusan bagi me­nyemarakkan penggunaan tu­lis­an Jawi melalui beberapa lagi pendekatan baharu untuk menarik tumpuan terutamanya generasi muda.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kesediaan itu didorong oleh rasa tanggungjawab organisasi tersebut untuk bersama-sama membantu meningkatkan kese­da­ran orang ramai terhadap kepentingan membela tulisan Jawi dan membudayakan semula dalam kehidupan.

“Dengan adanya kegiatan elemen tulisan Jawi, yang disesuaikan mengikut keadaan semasa secara kreatif, usaha untuk memastikan tulisan itu terus hidup dapat diterapkan kepada generasi baharu,” ujarnya.

Sebagai contoh beliau merujuk kepada Pertandingan Selfie Ramadan dan Syawal @ Nusantara anjuran e-paper Utusan Melayu Mingguan, yang mengambil pendekatan disesuaikan dengan kegemaran semasa bagi golongan itu.

Beliau berucap dalam majlis penyampaian hadiah kepada pihak pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Lela Segara, di sini hari ini yang memenangi tempat ketiga kategori sekolah dengan hadiah RM1,000.

Yang hadir sama, Pengetua sekolah berkenaan, Abdul Muie Ngah; Pengerusi Perhubungan Ang­kasa negeri, Mohamed Jais Hassan dan Pengarang Utusan Melayu Mingguan, Zulkifli Abdullah.

Pertandingan dianjurkan akhbar Utusan Malaysia menerusi sisipan Utusan Melayu Mingguan dengan kerjasama Angkasa bermula pada Jun hingga Ogos tahun lalu itu, berjaya menarik 5,358 penyertaan.

Abdul Fatah gembira kerana penganjuran program itu ternyata menarik minat para pelajar dan guru-guru untuk menyertainya lebih-lebih lagi penerapan elemen ‘selfie’ yang pertama kali digabungkan dalam program pembudayaan seni Jawi.

“Saya berharap agar penyertaan anda dalam pertandingan ini adalah atas kesedaran kepada perlunya usaha-usaha yang berterusan bagi meningkatkan lagi kesedaran dan dilihat juga sebagai langkah pertama untuk celik Jawi,” kata-nya.

Sementara itu, Abdul Muie berkata, penyertaan dalam per­tandingan itu dihantar oleh pelajar Tingkatan Empat Amanah dan tidak menyangka gambar diambil semasa sambutan Aidilfitri yang dianjurkan sekolahnya tahun lalu berjaya menarik perhatian juri.

Pelajar kelas berkenaan, Nur Aisyah Mohd. Nasir, 17, berkata, dia menghantar kesemua 12 keping gambar dan “selfie” yang bertuah itu mempunyai kelebihan tersendiri apabila turut menampilkan rakan sekelas mereka, warganegara Itali yang terlibat dalam program pertukaran pelajar, Daisy Rossoni, 18.

“Gambar itu nampak klasik kerana mempamerkan keceriaan kami di samping guru kelas, Mohd. Nor Ismail. Kemenangan ini secara tidak langsung mengakrabkan lagi hubungan persahabatan kami dan memberi inspirasi untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: