Pendidikan 
teras perpaduan

Zainuren Mohd Nor beramah mesra dengan pelajar SMK Selayang Bharu selepas merasmikan majlis Anugerah Cemerlang dan Mesyuarat Agung PIBG sekolah itu di Selayang, Selangor, baru-baru ini.

Bagi memastikan pembangunan negara seiring dengan perkembangan moden mengikut acuan sendiri, elemen nilai moral, beretika dan memiliki sifat penyayang dalam kalangan warga berbilang kaum dan agama perlu sentiasa dijadikan elemen teras dalam sistem pendidikan negara.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Zainuren Mohd. Nor berkata, seiring dengan keperlu­an itu, aspek perpaduan juga tidak boleh dipinggirkan agar terus menjadi pancang dasar dan program pendidikan di negara ini.

“Kita tidak boleh sama-sekali mengetepikan aspek perpaduan nasional sebagai teras keamanan, kesta­bilan dan kemajuan negara.

Oleh itu, semua warga pendidik dan ibu bapa harus memberikan ruang dan perhatian dalam merancang dan melaksanakan pengukuh­an perpaduan nasional dan pembinaan semangat patriotisme di setiap peringkat pendidikan menerusi pelbagai pelaksanaan program pendidikan kenegaraan yang lebih berstruktur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Anugerah Cemerlang dan Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selayang Bharu di Dewan Mutiara Budi sekolah itu di Selayang, Selangor, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Pengetua SMK Selayang Bharu, Arfah Abd. Rahman dan Pengerusi PIBG SMK Selayang Bharu, Abdul Aziz Abu.

Selain itu, menurut Zainuren, dalam usaha melahirkan insan sempurna, masyarakat perlu kembali menghayati asas-asas yang terkan­dung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan seimbang.

“Seluruh warga Pendidikan mesti sentiasa menyelami harapan masyarakat yang melihat pendidikan sebagai satu wadah penting pembangunan modal insan untuk memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju,” katanya.

Kementerian telah melaksanakan pelbagai inisiatif utama yang digariskan di bawah Gelombang Pertama Pe­lan Pembangunan Pendidikan Ma­laysia 2013-2025 yang terbukti membuahkan hasil seperti program Transformasi Daerah, Literasi dan Numerasi (LINUS) serta Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

“Saya yakin dengan perancangan dan pemantauan yang rapi semua inisiatif penting dalam Gelombang Pertama PPPM 2013-2025 dapat dicapai pada penghujung tahun ini, termasuklah memperkasakan guru dan pemimpin sekolah, menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi dan meningkatkan kemahiran berbahasa.

“Bagi memastikan kejayaan ge­lom­bang pertama PPPM dan sebagai persediaan melaksanakan gelombang kedua mulai tahun 2016, saya menyeru agar peranan dan penglibatan ibu bapa, komuniti dan pihak swasta diperluas,” jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau menyeru warga pendidik agar menumpukan tenaga dan karisma bagi mencapai pendidikan yang bertunjangkan nilai, kelestarian alam sekitar serta memupuk nilai perpaduan.

Hal ini kerana, katanya, pelajar wajar dididik dengan ilmu penge­tahuan, kemahiran dan nilai-nilai murni selari dengan tujuan asas pendidikan iaitu bukan sahaja untuk melahirkan insan yang berpenge­tahuan (knowledge person) tetapi insan yang berguna (useful person) dan warga negara yang baik (good citizen) yang boleh menyumbang sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat serta negara.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: