PKS@L serlah kreativiti pelajar

Mohd. Firdaus Nawawi (duduk, kanan) membuat demonstrasi pelancaran roket air kepada pelajar semasa Program Kembara Sains@Langkawi di SMK Kedawang, Langkawi, semalam.

LANGKAWI 29 Mac – Beliau berkata, idea mudah ber­kenaan sebenarnya memberi ruang khususnya kepada pelajar untuk mempelajari elemen sains melalui aktiviti menyeronokkan.

“Kami buat program mudah se­perti ini bukannya kerana kami tidak dapat membuat program yang lebih canggih, tetapi program mudah seperti ini lebih dekat di hati pelajar,” katanya ketika ditemui pada program anjuran Pusat Sains Negara (PSN) di sini hari ini.

Katanya, ini merupakan kali pertama PSN mengadakan program empat hari bermula hari ini di pulau peranginan ini dan akan membabitkan seramai 3,000 pelajar daripada kesemua 28 buah sekolah di sini akan menyertainya serta mendapat manfaat daripada penganjurannya.

Program berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedawang hari ini dan esok dan di SMK Mahsuri pada 1 hingga 2 April ini menyajikan pameran interaktif, aktiviti sains jalanan, persembahan sains, sains lapangan, bengkel sains dan bicara saintis.

Mohd. Firdaus berkata, menerusi program ini, PSN menyasarkan untuk menerapkan minat dalam kalangan pelajar untuk meminati bidang sains dan seterusnya menjadi pemangkin untuk mengikis fobia terhadap bidang itu dalam kalangan masyarakat.

“Sasaran kami adalah untuk menyemai minat terhadap bidang sains dan teknologi di peringkat akar umbi pada peringkat umur yang seawal mungkin. Kami hendak mengubah persepsi masyarakat yang secara umumnya sering mengatakan sains itu susah,” katanya.

PSN ditubuhkan pada 1988 di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan mandat untuk membina masyarakat berbudaya sains, sejajar dengan wawasan kerajaan untuk melahirkan generasi penyumbang dalam bidang sains dan teknologi.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: