Sistem pemarkahan PT3 diterima baik

P. Kamalanathan

KUALA LUMPUR 23 Mac – Sistem pemarkahan dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang dijalankan oleh guru sekolah diteri­ma baik oleh ibu bapa dan pelajar apabila hanya kira-kira 3,000 permohonan semakan kembali dibuat berbanding jumlah keseluruhan 400,000 pelajar yang menduduki­nya tahun lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan berkata, 99 peratus daripada ibu bapa berpuas hati dengan sistem tersebut meskipun timbul beberapa kerisauan memandangkan peperiksaan itu baru pertama kali dilaksanakan.

Sehubungan itu, katanya, dakwaan bahawa PT3 dibuat secara tergesa-gesa adalah tidak tepat kerana sistem berkenaan telah dikaji dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi memastikan penekanan terhadap aspek kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dapat direalisasikan.

“Mengenai timbulnya ketidakselesaan ibu bapa dengan pemarkah­an guru yang membuat soalan itu, kita sebenarnya memberi kuasa kepada guru untuk periksa kertas soalan dan ini memberi pengiktirafan serta kepercayaan kepada mereka untuk melakukan pentaksiran sendiri.

“Apabila melihat angka lebih 400,000 pelajar menduduki PT3, kita dapati jumlah pelajar yang memohon untuk semak kembali kerana tidak puas hati hanya 3,000 orang dan ini menunjukkan 99 pe­ra­tus pelajar dan ibu bapa menerima cara pemarkahan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Kamalanathan berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd. Johari Baharom (BN-Kubang Pasu) yang meminta penjelasan tentang status PT3 memandangkan tiada angka rasmi dikeluarkan oleh kementerian terhadap pencapaiannya.

Mengulas lanjut, Kamalanathan berkata, data PT3 tidak wajar dibandingkan dengan data peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang dilaksanakan sebelum ini, sebaliknya perlu dilihat sebagai data yang baharu.

 Dalam perkembangan lain katanya, beberapa cadangan termasuk pelaksanaan projek rintis yang hanya membabitkan beberapa sekolah untuk melihat sejauh mana keberkesanan PT3 juga tidak boleh dilaksanakan kerana sukar untuk pelajar menduduki peperiksaan berbeza.

“Apabila PMR dilaksanakan, kebanyakan soalan adalah berbentuk objektif dan dikeluarkan daripada PT3, contoh subjek Sejarah dan Geo­grafi yang menggunakan pelbagai instrumen kajian, pencapaiannya meningkat dengan kelulusan 88 peratus dan 88.6 peratus,” katanya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: