PPsi bantu pelajar masuk aliran sesuai

SHAMSHULKAHAR MOHD. DELI (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang peserta tilawah al-Quran selepas merasmikan Majlis Penutup Tilawah Al-Quran peringkat daerah Jempol di Masjid Kariah Serting Tengah, Jempol, Negeri Sembilan, kelmarin.

JEMPOL 23 Mac – Pentaksiran Psikometrik (PPsi) yang wajib diambil pelajar tingkatan tiga bukan satu ujian membebankan tetapi membantu mereka memasuki aliran sesuai ke tingkatan empat terutamanya sekolah berasrama penuh.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan negeri, Datuk Shamshulkahar Mohd. Deli berkata, bagi memastikan PPsi berjalan sempurna, semua Guru Bimbangan dan Kaunseling telah dihantar menjalani latihan secara berkala Jabatan Pelajaran atau Kementerian Pendidikan.

“Dakwaan ibu bapa bahawa PPsi membebankan pelajar adalah tidak benar kerana ia amat membantu pelajar menentukan aliran, minat dan potensi untuk ke tingkatan empat selepas memperoleh keputusan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

“PPsi wajib diambil calon PT3 yang terbahagi kepada Ujian Aptitud yang meliputi Ujian Inventori Kecerdasan Pelbagai serta Inventori Personaliti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Tilawah Al-quran peringkat daerah Jempol di Masjid Kariah Serting Tengah, di sini semalam.

Jelasnya, ujian itu bertujuan untuk melihat kecenderungan pelajar merangkumi beberapa aspek antaranya Realistik, Investigatif, Artistik, Sosial, Enterprising dan Konvensional.

“PT3 yang dilaksanakan mulai tahun lalu mengandungi elemen Pentaksiran Pusat, Sekolah, PPsi dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Ko Kurikulum (PAJSK).

“Isu PPsi membebankan pelajar tidak timbul sama sekali kerana penyusunan jadual sudah dilaksanakan lebih awal di peringkat kementerian dan saya berharap ibu bapa memandang serius kepentingan PPsi terhadap anak-anak mereka,” katanya.

Beliau berkata, pentaksiran dijalankan seperti peperiksaan sebenar iaitu pelajar menjawab soalan tanpa gangguan atau pengaruh luar.

Menurutnya, keputusan PPsi wajib disertakan bersama slip keputusan PT3 jika mereka memohon memasuki sekolah berasrama penuh atau kolej vokasional.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: