Pertandingan peringkat antarabangsa bukti pelajar kita setanding negara lain

PUTRAJAYA: Penyertaan negara dalam 12 pertandingan peringkat dunia mendapat pelbagai pengiktirafan yang meletakkan murid dan pelajar Malaysia setanding dengan pelajar negara lain.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof, berkata antara pertandingan yang disertai pelajar negara ialah International Science and Engineering Fair di Amerika Syarikat, International Folkdance Competition di Romania dan World Robots Olympiad di Sochi, Russia.

Perlu latihan, tapisan

Beliau berkata usaha mendidik, membimbing dan menghasilkan murid yang mencapai kejayaan bertaraf dunia bukanlah mudah kerana mereka perlu melalui pelbagai latihan dan tapisan sebelum boleh bersaing di persada antarabangsa.

Namun, dalam pada itu, beliau mengingatkan supaya murid, pelajar dan guru yang terbabit dalam pertandingan pada peringkat antarabangsa supaya sentiasa berpegang teguh kepada identiti nasional walau di mana mereka berada.

“Walaupun antara kita berbeza agama, etnik dan bangsa janganlah sesekali kita lupa untuk pamerkan identiti nasional selaku warga Malaysia ketika menyertai pertandingan,” katanya pada majlis apresiasi persada antarabangsa 2014, Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, di sini semalam.

Perkongsian strategik

Beliau berkata, semua pihak sama ada agensi kerajaan atau swasta, harus sedia menggembleng tenaga dan sumber kewangan bagi kemajuan pendidikan pelajar negara ini seperti perkongsian strategik dalam program berkenaan.

Katanya perkongsian strategik itu dapat menzahirkan matlamat meningkatkan mutu pendidikan seiring dengan apa yang digariskan dalam agenda transformasi pendidikan negara.

Khair berkata hasrat itu jelas dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang memberi tumpuan kepada enam aspirasi murid iaitu berpengetahuan, berkemahiran berfikir, mempunyai kemahiran memimpin, berkemahiran dalam dwibahasa, beretika dan kerohanian serta mempunyai identiti nasional.

SUMBER : BERITA HARIAN