Gabungan nilai moral dan agama dalam pendidikan

Sidek Baba

JAKARTA 21 Mac – Aliran pendidikan di Malaysia kini semakin memberi ruang kepada pendidikan swasta seperti maahad tahfiz dan sekolah-sekolah pondok untuk bersama-sama kerajaan bagi mewujudkan integrasi pendidikan selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Datuk Dr. Sidek Baba berkata, integrasi pendidikan yang diwujudkan memberi penekanan kepada gabungan nilai-nilai moral dan agama dalam satu arus pendidikan.

“Ini bertujuan me­wujudkan generasi muda yang bukan sahaja berilmu tetapi juga mempunyai asas agama yang kukuh,’’ katanya ketika dihubungi di Acheh, hari ini.

 Sebelum itu, beliau menyampaikan ceramah bertajuk Transformasi Pendidikan Negara Kearah Pendidikan Interaktif kepada le­bih 200 orang pelajar Malaysia sekitar Acheh dalam satu seminar anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), di Acheh.

Turut menyampaikan ceramah dalam seminar tersebut ialah Timbalan Yang Dipertuan Yadim, Dr. Yusri Mohamad dan Fello Muda Dakwah Yadim, Mohd Hafizudin Mohd. Sidek.

Menurut Sidek, dalam ceramahnya, antara lain beliau menekankan kepentingan kerjasama antara pihak swasta dan kerajaan yang akan mewujudkan integrasi dalam proses pendidikan, seterusnya akan memberi keuntungan kepada semua pihak.

Beliau berkata, pada masa ini kerajaan mula menerapkan pendidikan berasaskan wahyu yang digandingkan dengan pemikiran di beberapa buah sekolah terpilih di seluruh negara.

Katanya, konsep pen­didikan ulul-albab yang diterapkan di tiga buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan di tiga buah sekolah Menengah Ke­bangsaan Agama (SMKA) adalah salah satu langkah kerajaan untuk mewujudkan para pelajar yang lengkap dari segi ilmu, akidah dan agama.

Ulul-albab bermaksud golongan yang mempunyai asas kukuh dalam al- Quran, ilmu pengetahuan yang luas dan pelbagai, mampu berfikir dan memerhati kejadian tuhan melalui mata hati dan akal yang tajam serta mengambil iktibar darinya.

“Sekolah-sekolah seperti ini akan menjadi saluran kepada anak-anak kita pada masa depan untuk menjadi pelajar yang bukan sahaja mahir dalam agama tetapi juga dalam bidang-bidang sains dan teknologi,’’ ujarnya.

Menurut Sidek lagi, para pelajar terbaik lepasan sekolah-sekolah integrasi dan ulul-albab ini berpeluang melanjutkan pelajaran di kolehj Universiti al-Quran yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

Advertisements