Pengenalan ilmu robotik 
cungkil minat pelajar luar bandar

ADNAN ABU HASSAN (empat dari kiri) melihat pameran robotik dalam Program Perkongsian Ilmu Robotik Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Sembilan (Zon Kuala Pilah) di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

KUALA PILAH 19 Mac – Pengenalan ilmu robotik dalam kalangan pelajar luar bandar mampu memupuk minat mereka terhadap subjek Sains dan Matematik selain amat berkesan dalam menangani masalah sosial.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Port Dickson, Ahmad Afandi Abd Khalil berkata, ilmu robotik juga dapat mencungkil minat pelajar dalam aktiviti yang melibatkan kepercayaan diri sendiri dan sedar akan kemampuan diri masing-masing.

“Pengenalan ilmu robotik kepada pelajar luar bandar sebenarnya mampu menyuntik kreativiti mereka selain mencungkil bakat baharu dalam bidang berkenaan,” katanya selepas Program Perkongsian Ilmu Robotik Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Sembilan (Zon Kuala Pilah), di sini kelmarin.

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), Adnan Abu Hassan.

Ahmad Afandi yang juga Ketua Fasilitator Program itu berkata, penganjuran program kali- 13 peringkat negeri itu bermula di zon Kuala Pilah dan diikuti oleh zon Port Dickson dan berakhir di zon Seremban.

Menurutnya, sebanyak lima buah sekolah telah terpilih di zon Kuala Pilah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senaling, SMK Tuanku Muhammad, SMK Tunku Kursiah, Sekolah Menengah Rendah Agama Ulu Jempol dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua.

“Setiap sekolah akan diwakili oleh empat pelajar berumur antara 15 hingga 17 tahun.

“Peserta berkenaan akan didedahkan dengan penggunaan elemen sensor, elektronik, jentera dan pendidikan teknologi komputer sehingga mereka boleh memprogramkan robot itu sendiri.

“Bagi penilaian markah, pelajar akan dinilai dari segi idea, kreativiti dan inovasi di samping kerjasama berkumpulan dan yang paling utama adalah prestasi robot yang dihasilkan,” katanya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: