Graduan teknikal, vokasional, teknologi bakal diiktiraf

Rujhan Mustafa

KUALA LUMPUR 19 Mac – Graduan dalam kelulusan tek­nikal, vokasional dan teknologi bakal diiktiraf di peringkat profesional sekiranya bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Teknologi dan Juruteknik 2015 diluluskan di Dewan Rakyat, awal bulan depan.

Ketua Pegawai Ek­sekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Datuk Prof. Dr. Rujhan Mustafa berkata, undang-undang itu juga membolehkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mewujudkan Majlis Teknologi Malaysia bagi meningkatkan kualiti pendidikan teknikal supaya seiring dengan bidang profesional lain.

Katanya, rangka undang-undang itu telah melalui standard tempatan menerusi penilaian oleh pakar dan konsultasi pemberi pendidikan tinggi (PPT) awam serta swasta, manakala di peringkat antarabangsa oleh Sydney Accord.

“Rang undang-undang ini membolehkan penyedia program di peringkat PPT menjadi lebih inovatif dalam mengkhususkan program mereka bagi memenuhi keunikan masing-masing di samping memastikan produktiviti graduan yang dapat memenuhi kehendak pasaran.

“Justeru, MQA berharap usaha ini dapat membantu menyelesaikan masalah kekurangan tenaga mahir profesional tempatan di negara ini selain memberi nilai tambah kepada gra­duan teknikal dan kemahiran untuk men­cari pekerjaan dalam kelayakan masing-masing termasuk di luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut Rujhan berkata, jurutera, juruteknologi dan juruteknik dijangka menumpukan keupayaan masing-masing bagi memastikan produk, proses, perkhidmatan serta teknologi yang dicipta adalah berdasarkan kepada prinsip pembangunan lestari.

Sehubungan itu, katanya, usaha untuk melatih tenaga mahir profesional tersebut perlu mengutamakan ciri-ciri penyelesaian masalah umum dan kompleks menerusi kurikulum yang memberi penekanan kepada asas matematik, sains dan kejuruteraan.

Langkah tersebut jelas beliau, perlu merangkumi elemen kemahiran pembelajaran sepanjang hayat bagi memastikan graduan mampu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka secara berterusan.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

Advertisements

Pengenalan ilmu robotik 
cungkil minat pelajar luar bandar

ADNAN ABU HASSAN (empat dari kiri) melihat pameran robotik dalam Program Perkongsian Ilmu Robotik Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Sembilan (Zon Kuala Pilah) di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

KUALA PILAH 19 Mac – Pengenalan ilmu robotik dalam kalangan pelajar luar bandar mampu memupuk minat mereka terhadap subjek Sains dan Matematik selain amat berkesan dalam menangani masalah sosial.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Port Dickson, Ahmad Afandi Abd Khalil berkata, ilmu robotik juga dapat mencungkil minat pelajar dalam aktiviti yang melibatkan kepercayaan diri sendiri dan sedar akan kemampuan diri masing-masing.

“Pengenalan ilmu robotik kepada pelajar luar bandar sebenarnya mampu menyuntik kreativiti mereka selain mencungkil bakat baharu dalam bidang berkenaan,” katanya selepas Program Perkongsian Ilmu Robotik Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Sembilan (Zon Kuala Pilah), di sini kelmarin.

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), Adnan Abu Hassan.

Ahmad Afandi yang juga Ketua Fasilitator Program itu berkata, penganjuran program kali- 13 peringkat negeri itu bermula di zon Kuala Pilah dan diikuti oleh zon Port Dickson dan berakhir di zon Seremban.

Menurutnya, sebanyak lima buah sekolah telah terpilih di zon Kuala Pilah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senaling, SMK Tuanku Muhammad, SMK Tunku Kursiah, Sekolah Menengah Rendah Agama Ulu Jempol dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua.

“Setiap sekolah akan diwakili oleh empat pelajar berumur antara 15 hingga 17 tahun.

“Peserta berkenaan akan didedahkan dengan penggunaan elemen sensor, elektronik, jentera dan pendidikan teknologi komputer sehingga mereka boleh memprogramkan robot itu sendiri.

“Bagi penilaian markah, pelajar akan dinilai dari segi idea, kreativiti dan inovasi di samping kerjasama berkumpulan dan yang paling utama adalah prestasi robot yang dihasilkan,” katanya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA