Pantau perkembangan anak

Mohd. Tahrir Samsudin (dua dari kanan) menyampaikan anugerah kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 SMKA Maahad Muar sempena Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan Hari Anugerah Kecemerlangan PT3 dan SPM 2014 di Muar, Johor, baru-baru ini.

MUAR 17 Mac – Ibu bapa diminta memantau anak mereka yang belajar di sekolah agama termasuk di universiti awam dan swasta supaya tidak terpengaruh dengan ajaran lain daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsudin berkata, pemantauan penting kerana ajaran sesat dan menyimpang mudah mempengaruhi golongan itu terutamanya fahaman Wahabi dan Syiah atau menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS).

“Perkembangan mereka perlu sentiasa dipantau. Ibu bapa perlu sentiasa waspada dan mengambil berat hal anak-anak mereka. Kita tidak mahu mereka mengikut ajaran lain selain ASWJ yang diamalkan di negara ini.

“Ajaran ASWJ mengikut Mahzab Syafie bertujuan menyatupadukan umat mengembangkan syiar Islam di negara kita,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ke-34 dan Hari Anugerah Kecemerlangan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Muar, di sini baru-baru ini.

Pada 18 Februari lalu, sepa­sukan polis daripada Bahagian Anti-Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman menahan seorang remaja perempuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dipercayai merancang berkahwin dengan pelajar Malaysia di Mesir, sebelum menyertai kumpulan IS.

Remaja berusia 14 tahun itu yang berasal dari Muar, dikesan terpengaruh dengan fahaman eks­tremis selepas berinteraksi dengan dua individu di laman sosial, Facebook sebelum nekad meninggalkan negara bagi me­nyertai kumpulan pengganas berkenaan.

Sementara itu bulan lalu, Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim memberitahu, ancaman pengaruh Wahabi, Syiah dan fahaman lain semakin menular dan membimbangkan serta Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) berusaha membanterasnya.

Mohd. Tahrir menegaskan, semua umat Islam perlu mengikut akidah ASWJ bukan bertujuan menolak fahaman atau mazhab lain tetapi bagi membolehkan penganutnya di negara ini bersatu padu dan merapatkan hubu­ngan silaturahim.

“Kita diamanahkan bersatu fikiran melalui fahaman yang satu,” katanya.

Sementara itu, Pengetua sekolah berkenaan, Hatina Yaakob berkata, lapan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang 11A, 21 memperoleh 10A dan 12 orang meraih 9A diberikan penghargaan oleh PIBG dalam majlis tersebut.

Turut diberikan penghargaan 13 pelajar cemerlang bagi PT3 yang mendapat 11A dan 39 orang mendapat 10A.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

Advertisements

Fasa pertama 1BestariNet gagal -PAC

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), mendapati fasa pertama bagi projek 1BestariNet gagal dilaksanakan sejak projek tersebut dimulakan pada tahun 2011.

Walau bagaimanapun, PAC dimaklumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bahawa fasa kedua bagi projek menyalurkan perkhidmatan internet ke sekolah-sekolah akan tetap diteruskan.

Pengerusinya, Datuk Nor Jazlan Mohamed berkata, PAC tidak berpuas hati atas beberapa perkara, antaranya penyambungan internet ke tapak pengguna yang lewat siap.

“Jawatankuasa pembantu projek dan teknikal tidak diwujudkan di peringkat kementerian.

“Malah, kajian keperluan di sekolah tidak dijalankan serta maklumbalas dari pihak sekolah tidak memuaskan,” katanya dalam sidang media selepas selesai mesyuarat PAC, hari ini.

Disebabkan itu, PAC telah meminta supaya KPN memanggil bekas Ketua Setiausaha KPN, Datuk Rosli Mohamad, bekas Ketua Pengarah Pendidikan dan bekas pegawai pengurusan projek ini.

“Mereka bertanggungjawab sewaktu projek ini diwujudkan, dirancang dan dilaksanakan,” ujarnya lagi.

PAC juga berpendapat, perlaksanaan projek yang bernilai RM4.077 bilion ini lemah dan ia tidak seharusnya diteruskan lagi ke fasa seterusnya.

“Tender asal projek ini ada tiga fasa dan sekarang ini ia berada di fasa kedua. Setiap fasa mengambil masa lima tahun untuk disiapkan,” katanya.

Sebelum ini, laporan Ketua Audit Negara telah mendedahkan Projek 1BestariNet KPM ini tidak memenuhi sasaran tempoh dua setengah tahun selain gagal menyediakan Platform Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) kepada 10,000 sekolah di seluruh negara.

Laporan itu mendakwa, projek 1BestariNet telah dilaksanakan sebelum guru dan pelajar dilatih sepenuhnya mengguna VLE.

“Penggunaan VLE oleh guru, pelajar dan ibu bapa adalah sangat rendah, 0.01% ke 4.69%,” dedah laporan berkenaan.

Kontrak projek 1BestariNet ini telah ditawarkan kepada syarikat YTL Communications berdasarkan kedudukan penilaian spesifikasi teknikal yang terbaik dan harga yang munasabah.