Pelajar perlu manfaat kemajuan teknologi dengan baik

MOHD. FADZLEE ABDULLAH (duduk tiga dari kanan) bersama pegawai pendidikan daerah serta pelajar yang menerima sijil graduasi pada Majlis Graduasi Sijil STPM 2014 SMK Menumbok, Beaufort, kelmarin.

BEAUFORT 16 Mac – Golongan pelajar dinasihat supaya lebih fokus semasa belajar dan tidak mengharapkan sumber daripada guru semata-mata sebaliknya mempelbagaikan sumber rujukan bagi memantapkan kefahaman dalam pembelajaran.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Mohd. Fadzlee Abdullah berkata, untuk itu mereka juga perlu memanfaatkan kemajuan teknologi dengan sebaiknya terutama dalam mendapatkan rujukan tambahan.

“Namun, ada segelintir pelajar yang terlalu ‘taksub’ dengan teknologi untuk keseronokan dengan melayari laman sosial atau blog-blog hiburan sehingga melalaikan dan menjejaskan tumpuan mereka kepada pelajaran.

“Ini tidak seharusnya berlaku. Kalau boleh, kurangkan melayari laman media sosial yang melalaikan dan tidak memberikan apa-apa manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Me­numbok dekat sini semalam.

Yang turut hadir, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Fadzliezan Tingan dan Pengetua SMK Menumbok, Mohd. Ali Yassin.

SMK Menumbok mencapai keputusan cemerlang 100 peratus dengan memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 2.58 dan menduduki tangga ke 33 daripada 55 buah sekolah di negeri ini.

Mohd. Fadzlee memberitahu, kebanyakan pelajar yang mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang akademik adalah disebabkan mereka berjaya mendisiplinkan diri semasa belajar selain rajin mengulang kaji pelajaran.

Mereka juga jelasnya, bijak memanfaatkan kemudahan internet untuk memperoleh rujukan tambahan.

Dalam perkembangan sama, beliau mengingatkan para pelajar di kawasan pedalaman supaya tidak mudah merendah diri selain sentiasa menerapkan budaya daya saing yang tinggi.

“Ubah persepsi. Yakin kepada kemampuan untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik,” tambahnya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: