Bidang ICT wajar dimanfaatkan

Shahrin Sahib

MELAKA 16 Mac – Keupayaan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang berkembang pesat wajar dimanfaatkan sepenuhnya dalam melahirkan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) berdaya saing di pe­ringkat global pada masa akan datang

Timbalan Canselor Universiti Teknikal Malaysia (Utem), Datuk Prof. Dr. Shahrin Sahib berkata, kepentingan terhadap penggunaan ICT menerusi sistem pembelajaran dalam talian secara terbuka dan besar-besar atau massive open online courses (MOOC) dapat mempertingkatkan mutu dan kualiti penyampaian pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan teknologi terkini berasaskan internet.

Menurutnya, langkah itu juga akan memberikan pengalaman baharu dengan pembelajaran secara interaktif yang membolehkan pelajar mengakses kuliah di mana-mana pada bila-bila masa sahaja.

“Menerusi penggunaan MOOC ini, membolehkan para pelajar berkongsi ilmu dan pengetahuan malah idea serta pandangan dengan rakan-rakan dari seluruh dunia selain mempunyai akses bukan sahaja kepada tenaga pengajar kursus, tetapi untuk penulis buku teks dan pakar-pakar dari lain-lain institusi.

“Secara tidak langsung ia akan melatih para pelajar menjadi lebih mahir untuk berurusan de­ngan sistem, perniagaan dan ekonomi yang semakin global.

“Berdasarkan beberapa kajian yang dilakukan jelas me­nunjukkan bahawa jika pelajar untuk mengambil alih sepenuhnya kedudukan kepimpinan dan tanggungjawab dalam organisasi tertentu, maka mereka perlu bersedia untuk berhadapan dengan persekitaran global yang semakin mencabar pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Seminar Akademik Globalizing Malaysia Higher Education di Dewan Kampus PPP, Kampus Bandar Utem, Jalan Hang Tuah di sini baru-baru ini.

Seminar itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan, Dr. Siti Hamisah Tapsir.

Seminar dua hari yang diadakan itu turut mengupas beberapa tajuk pembentangan yang disampaikan oleh penceramah tempatan dan antarabangsa termasuk Prof. Dame Wendy Dewan dari Universiti Southampton, Prof. Dr. Richard Buckland dari Universiti New South Wales dan Prof. Dr. Rozhan Md. Idrus dari Universiti Sains Islam Malaysia.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: