Sabar, sokong usaha tambah baik pendidikan

Muhyiddin Yassin melakukan sepakan penalti ketika melawat pameran selepas merasmikan Karnival Warna Warni Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 7 di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 13 Mac – Ibu bapa perlu bersabar dan menyokong usaha kerajaan dalam memberi penambahbaikan kepada sistem pendidikan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka perlu memahami sistem pendidikan yang dilaksanakan di sekolah pada masa ini sedang dalam proses perubahan untuk menjadikan pelajar lebih berdaya saing termasuk di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, masyarakat selama ini mungkin menganggap sistem sedia ada sudah cukup baik tetapi hakikatnya apabila diuji dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), hasil yang diperoleh tidak sampai ke tahap itu.

“Seperti pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun lalu, pelbagai soalan berbangkit seperti ada sekolah mempertikaikan kenapa semasa Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang dapat A begitu ramai tetapi PT3 hanya tiga, empat orang.

“Namun itulah realiti dan keadaannya, nampak kita bagus tapi sebenarnya belum cukup bagus apabila diuji dengan instrumen baharu PBS,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Warna-Warni Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 7 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri, Datuk Seri Noh Omar; Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Zainuren Mohd. Nor; Guru Besar SK Seksyen 7, Mohd. Amin Bahari serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Mohd. Sabri Abu Bakar.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan memberitahu, beliau sendiri terkejut apabila mendapati pencapaian pelajar sekolah di negara ini sebenarnya tidak setanding dengan negara-negara maju.

Jelasnya, apabila diletakkan pelajar-pelajar itu dalam Program Penilaian Antarabangsa Pelajar (Pisa) dan Pengajian Antarabangsa Matematik dan Sains (TIMSS), keputusan menunjukkan Malaysia berada dalam kelompok satu pertiga dari bawah.

“Saya sebagai menteri terperanjat apabila menerima laporan sedemikian tetapi kena terima hakikat bahawa sistem pendidikan kita walaupun sudah baik tetapi belum cukup baik.

“Dengan kesedaran itu, kita cari langkah-langkah sesuai supaya hasil pada masa depan nanti bukan sahaja melahirkan pelajar yang pandai sesama mereka tetapi jika dibandingkan di luar seperti dengan negara maju adalah setanding,” ujarnya.

 

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: