Jana minda ke arah kemahiran berfikir aras tinggi

Peserta program kecemerlangan pendidikan menunjukkan simbol bagus sebagai tanda keyakinan untuk menduduki peperiksaan PT3 dan SPM selepas tamat program itu di SMK Seri Kampar, Perak, baru-baru ini.

Calon peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsa­an (SMK) Seri Kampar mengikuti sesi penjanaan minda berdasarkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam Program Kecemerlangan Pendidikan di sekolah itu di Kampar, Perak, baru-baru ini.

Pengetua sekolah itu, Asmah Abdul Hamid berkata, sesi berkenaan amat penting kepada pelajar yang berada dalam aliran pendidikan abad ke-21.

“Sesi ini penting untuk membantu murid memahami konsep KBAT dengan lebih mendalam dan juga sebagai nilai tambah kepada amalan yang dilaksanakan oleh guru di sekolah.

“Di samping itu, pihak sekolah berharap suntikan semangat dan kaedah serta strategi pembelajaran yang disampaikan sepanjang program dapat digunakan oleh pelajar untuk berjaya dalam peperiksaan awam khususnya dan kehidupan amnya,” katanya.

Program anjuran Yayasan Pendidikan Kampar dan Biro Pendidikan UMNO Parlimen Kampar dengan kerjasama Unit Bimbi-ngan dan Kaunseling SMK Seri Kampar ini dikendalikan pakar motivasi dan Penasihat Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain.

Sementara itu, Penasihat Yayasan Pendidikan Kampar, Datin Normah Hanum Ibrahim berkata, pihaknya akan sentiasa membantu sekolah setakat yang termampu untuk kejayaan para pelajar.

“Pelajar perlu sentiasa peka dan memberi komitmen yang sepenuhnya terhadap pelajaran terutamanya dalam proses menghadapi pe­pe­riksaan,” katanya.

Sejumlah 220 pelajar menyertai program ini yang turut mendedahkan teknik menjawab secara efektif.

Peserta turut dibim­bing untuk meneroka potensi diri ke arah menca­pai kecemerlang­an a­ka­­de­mik dan kerjaya.

Teknik mengurus ma­­sa dan persediaan pa­da saat akhir menjelang peperiksaan turut menjadi fokus program ini.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: