MCKK berjaya laksana program ulul albab mini

Sultan NAzrin Muizzuddin Shah menerima cenderamata al-Quran yang disampaikan Anand Baharuddin (baju kelabu) sewaktu merasmikan program penghayatan al-Quran sambil diperhatikan Idris Jusoh (dua dari kanan) di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak, kelmarin.

KUALA KANGSAR 8 Mac – Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) merupakan sekolah berasrama penuh (SBP) bukan aliran agama yang terawal berjaya memper­kenalkan program penghayatan al-Quran menyerupai konsep ulul albab seperti dilaksanakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pelaksanaan program yang menekankan kepada pembacaan, penghafalan, pemahaman dan penghayatan al-Quran itu telah diperkenalkan pada tahun lalu dengan sokongan Persatuan Murid-Murid Tua MCKK.

“Saya sangat teruja apabila MCKK berjaya memperkenalkan program ulul albab mini ini dan konsepnya sama seperti di MRSM. Manusia ulul albab atau golongan berakal sempurna yang disebutkan sebanyak 16 kali dalam al-Quran ialah mereka yang mempunyai kekuatan akal fikiran menguasai sains, falsafah dan teknologi.

“Pada saya, perkara ini merupakan satu tuntutan agar umat Islam dapat menggerakkan minda serta menguasai sains dan teknologi supaya terus kekal relevan pada era moden lagi mencabar ini sekali gus menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan seperti digariskan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perasmian program tersebut yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini malam tadi.

Sementara itu, Pengetua MCKK, Anand Baharuddin berkata, beliau amat berterima kasih kepada bekas pelajar institusi berkenaan pada tahun 1978 yang terlibat sama melaksanakan program tersebut, dalam usaha mela­hirkan pelajar seimbang melibatkan setiap aspek kehidupan.

“MCKK mengharapkan de­ngan adanya program ini akan melahirkan satu generasi yang cintakan ilmu sekali gus melahirkan golongan pemikir dan juga pewaris kepemimpinan yang berkualiti,” katanya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: