37 pelajar SMK Seri Bintang Utara dapat semua A dalam SPM 2014

Pelajar SMK Seri Bintang Utara meraikan kejayaan memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM 2014 di sekolah itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebanyak 37 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bintang Utara memperoleh keputusan semua A dalam peperiksaan Sijil Pe­lajaran Malaysia (SPM) 2014 yang diumumkan baru-baru ini.

Pengetua sekolah itu, Shamshiah Ahmad berkata, dua calon memperoleh gred 10 A+ iaitu Cemerlang Tertinggi bagi semua mata pelajaran yang diduduki.

“Mereka ialah Yap Zun Wai dan Yee Pui yang dipilih menjadi pelajar terbaik SPM 2014 sekolah ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sijil dan slip ke­pu­tusan peperiksaan SPM 2014 yang turut dihadiri Yang Dipertua Per­sa­tuan Ibu Bapa dan Guru sekolah, Fauziah Jamaluddin dan Penolong

Kanan Tadbir dan Kurikulum, Zuraimah Amran di sekolah itu de­kat Cheras, Kuala Lumpur,Gred purata sekolah (GPS) turut meningkat daripada 2.84 pada tahun 2013 kepada 2.92 pada tahun lalu.

Kata Shamshiah, diharap pencapaian sekolah akan terus meningkat untuk SPM tahun ini di samping menambah bilangan pelajar memperoleh A dalam semua mata pelajaran diambil.

“Untuk itu, pelbagai langkah dan bengkel teknik menjawab akan di­ja­lankan kepada calon SPM tahun ini bagi mendidik mereka cara menjawab soalan dengan betul.

“Sekolah ini sentiasa menge­kal­kan tahap kecemerlangan melalui pel­bagai program kecemerlangan akademik yang digerakkan dan kita yakin melalui kerjasama dan komitmen guru serta ibu bapa, usaha ini dapat dicapai,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya, komitmen pelajar juga diharapkan ba­gi sama-sama mencapai kecemerlangan dalam SPM tahun ini.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

Advertisements

MCKK berjaya laksana program ulul albab mini

Sultan NAzrin Muizzuddin Shah menerima cenderamata al-Quran yang disampaikan Anand Baharuddin (baju kelabu) sewaktu merasmikan program penghayatan al-Quran sambil diperhatikan Idris Jusoh (dua dari kanan) di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak, kelmarin.

KUALA KANGSAR 8 Mac – Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) merupakan sekolah berasrama penuh (SBP) bukan aliran agama yang terawal berjaya memper­kenalkan program penghayatan al-Quran menyerupai konsep ulul albab seperti dilaksanakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pelaksanaan program yang menekankan kepada pembacaan, penghafalan, pemahaman dan penghayatan al-Quran itu telah diperkenalkan pada tahun lalu dengan sokongan Persatuan Murid-Murid Tua MCKK.

“Saya sangat teruja apabila MCKK berjaya memperkenalkan program ulul albab mini ini dan konsepnya sama seperti di MRSM. Manusia ulul albab atau golongan berakal sempurna yang disebutkan sebanyak 16 kali dalam al-Quran ialah mereka yang mempunyai kekuatan akal fikiran menguasai sains, falsafah dan teknologi.

“Pada saya, perkara ini merupakan satu tuntutan agar umat Islam dapat menggerakkan minda serta menguasai sains dan teknologi supaya terus kekal relevan pada era moden lagi mencabar ini sekali gus menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan seperti digariskan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perasmian program tersebut yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini malam tadi.

Sementara itu, Pengetua MCKK, Anand Baharuddin berkata, beliau amat berterima kasih kepada bekas pelajar institusi berkenaan pada tahun 1978 yang terlibat sama melaksanakan program tersebut, dalam usaha mela­hirkan pelajar seimbang melibatkan setiap aspek kehidupan.

“MCKK mengharapkan de­ngan adanya program ini akan melahirkan satu generasi yang cintakan ilmu sekali gus melahirkan golongan pemikir dan juga pewaris kepemimpinan yang berkualiti,” katanya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA