Rahsia kejayaan anak penjual mi sup

MOHAMMAD NAJARI SUFYAN (tengah) menerima ciuman tahniah daripada ibunya sambil diperhatikan bapanya, Sufyan Amar selepas mengambil keputusan SPM di SMS Tengku Abdullah, Raub, baru-baru ini.

RAUB 5 Mac – Taat kepada ibu bapa dan sentiasa memohon maaf kepada semua orang menjadi amalan Mohammad Najari Sufyan, 18, yang mendapat keputusan 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Anak penjual mi sup di pasar malam sekitar Raub itu berkata, dia juga tidak berhenti daripada berdoa bagi memohon keampunan Allah SWT dan diberi kejayaan cemerlang di dunia serta akhirat.

“Saya mengamalkan cara pem­belajaran yang biasa tetapi sis­tematik. Bagaimanapun, saya sentiasa menjaga hubungan dengan manusia dan menghormati orang lain.

“Amalan sebelum peperiksaan ialah saya pastikan mendapat restu dari ibu bapa dan memohon maaf daripada semua guru dan rakan-rakan jika ada tersilap dan salah. Dengan cara ini saya berasa tenang dan boleh menjawab soalan dengan baik,” katanya ketika ditemui dalam majlis pengumuman keputusan SPM di Sekolah Menengah Sains (SMS) Tengku Abdullah Raub di sini kelmarin.

Menurut Mohammad Najari, dia tidak menyangka memperoleh keputusan cemerlang itu tetapi memanjatkan kesyukuran kepada Allah atas kejayaan tersebut.

Katanya, dalam masa terdekat dia merancang mencari kerja sambilan membantu ibu bapanya sebelum mengikuti pengajian di mana-mana institusi pengajian tinggi.

“Saya sedar pengorbanan besar ibu dan ayah yang tidak terbalas. Saya mahu melakukan apa termampu bagi membantu dan membahagiakan mereka,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Sufyan Amar, 57, berkata, kejayaan anak bongsunya itu amat bermakna dan memberikan kegembiraan kepada mereka sekeluarga.

“Kejayaan ini membuatkan saya rasa amat berbaloi bekerja keras siang dan malam bagi membesarkan mereka dengan berniaga di pasar malam,” ujarnya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: