Tidak tinggal solat rahsia berjaya

ALOR SETAR 4 Mac – Tidak pernah meninggalkan solat dan sering mengamalkan solat sunat hajat dan dhuha menjadi rahsia pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014, Wan Nuraqilah Izzati Wan Mohd. Rushidi.

Wan Nuraqilah Izzati, 18, pelajar aliran sains agama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah di sini yang mendapat keputusan 11A+ itu, juga diumumkan sebagai salah seorang pelajar cemerlang SPM negeri ini.

Ketika ditemui selepas pengumuman rasmi senarai pelajar cemerlang negeri di Kolej Sultan Abdul Hamid di sini hari ini, Wan Nuraqilah Izzati berkata, selain tumpuan di dalam kelas dan mengulang kaji pelajaran tiga jam setiap hari, dia memastikan kewajiban solat ditunaikan.

“Di dalam kelas, saya tidak bermain-main sebaliknya memberi tumpuan. Saya mahu ilmu yang diajar diberkati. Solat fardu dan sunat sangat membantu saya untuk lebih tenang dan yakin ketika menjawab kertas soalan,” katanya.

Anak kedua daripada empat ber­adik itu memberitahu, dia tidak mengambil tuisyen di luar kerana yakin dengan segala ilmu yang te­lah disampaikan oleh guru.

“Kelas tambahan selalu ada di sekolah, di situ banyak latihan telah diberi oleh guru,” katanya sambil menambah, dia tidak berjaya tanpa doa ayah, Wan Mohd. Wan Mohd. Rushidi Wan Mahmud, 47; ibu, Sakinah Sharif, 47; guru-guru dan rakan. Ibu bapanya adalah doktor.

Seorang lagi pelajar cemerlang dari SMK Sultanah Asma di sini, Siti A’isyah Mohd A’sri,18, yang mendapat 10A+ berkata, apa yang diajar oleh guru di dalam kelas sebenar­nya sudah mencukupi buatnya bagi mencapai kejayaan.

“Saya tidak ambil tuisyen di luar, hanya pastikan buat latihan agar tidak lupa apa yang telah diajar,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi ahli farmasi.

Bagi Neo Yi Siang, 18, pelajar alir­an sains di Kolej Sultan Abdul Hamid yang juga mendapat 11A+ dan salah sekolah pelajar terbaik negeri ini pula, tumpuan di dalam kelas di samping menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru secara konsisten adalah rahsia kejayaannya.

Menurutnya, dorong­an ahli keluarga juga menjadi pembakar semangat untuknya belajar bersungguh-sungguh.

Kata Yi Siang, bapa­nya, Neo Swee Boon, 57, seorang mekanik ma­nakala ibu, Goh Poh Yean,43, hanya suri rumah.

“Kejayaan kakak saya, Neo Yan Theng, 22, yang berjaya memperoleh 9A dalam SPM menjadi cabaran untuk saya mendapat keputusan lebih baik,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang saintis dalam bidang bioteknologi pertanian.

 

WAN NURAQILAH IZZATI WAN MOHD. RUSHIDI (kanan) dan Siti A’isyah Mohd A’sri masing-masing menunjukkan keputusan SPM 2014 di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah, kelmarin.

%d bloggers like this: