SPM 2014 atasi Gred Purata Nasional

PENGARAH Pendidikan Wiayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datin Nawal Salleh (tiga dari kanan) beramah mesra bersama pelajar cemerlang dalam Kategori Khas Pendidikan Wilayah Persekutuan, P Nyanasuriya 18 (dua dari kiri), Muhammad Ashraf Adam 18 (kiri), Abdul Aziz Abdul Rahman 18 (dua dari kanan) dan Teh Yong Shing 20, selepas menyampaikan sijil keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Di KUALA LUMPUR, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datin Nawal Salleh, berkata 776 daripada 23,783 calon memperoleh A dalam semua mata pelajaran berbanding 994 daripada 24,483 calon pada 2013.

Katanya, pencapaian GPN bagi negeri adalah 4.73 berbanding 4.55 tahun sebelumnya iaitu penurunan 0.18 mata.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cochrane, SMK Taman Yarl, Sekolah Sukan Bukit Jalil, SMK Raja Ali, SMK Yaacob Latif dan SMK Agama Kuala Lumpur diumumkan antara sekolah yang mencatatkan keputusan cemerlang.

Di SELANGOR, Ketua Sektor Pengurusan Akademik negeri Roziah Buang berkata 2,122 daripada 71,615 calon SPM 2014 memperoleh A dalam semua mata pelajaran.

“Bagaimanapun, hanya 59,402 calon layak mendapat sijil SPM berbanding 60,208 pada 2013,” katanya sambil menambah pencapaian GPN negeri pula turun kepada 4.95 berbanding 4.77 pada SPM 2013.

Dua belas sekolah dikategori cemerlang antaranya Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang, Kolej Islam Sultan Ahmad Shah, Klang, Pusat Permata Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, Hulu Selangor.

Di MELAKA, Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi, Datuk Md Yunos Husin, berkata daripada 11,268 calon, 86.3 peratus lulus dan layak memperoleh sijil berbanding 87.3 peratus pada 2013.

“GPN negeri turun 0.21 peratus kepada 5.17 peratus bagi 2014 berbanding 4.96 pada 2013,” katanya sambil menambah 16 sekolah mencapai keputusan 100 peratus lulus.

Md Yunos berkata, empat calon memperoleh semua A+ berbanding enam tahun sebelumnya, manakala bilangan pelajar yang memperoleh semua A juga turun kepada 333 berbanding 404 pada SPM 2013.

Di PERAK, sejumlah 934 daripada 36,762 calon memperoleh A dalam semua mata pelajaran, kata Pengarah Pendidikan negeri Rozi Puteh Ismail yang turut memaklumkan GPN negeri turun kepada 5.20 berbanding 5.01 tahun sebelumnya.

“Kemerosotan itu disebabkan prestasi mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik dan Sains menurun,” katanya ketika mengumumkan keputusan SPM 2014 di Ipoh.

Antara sekolah terbaik di negeri itu ialah Sekolah Menengah Sains Tapah, SMK Horley Methodist Teluk Intan, SMK Tarcisian Covent Ipoh dan SMK Ave Maria Ipoh.

Di JOHOR, Pengarah Pendidikan negeri, Aminudin Adam berkata 1,204 calon memperoleh gred cemerlang A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran berbanding 1,582 pada 2013.

Beliau berkata sebilangan besar daripada mereka mengambil sembilan, 10 atau 11 mata pelajaran.

“Pencapaian GPN bagi Johor pada 2014 adalah 5.00 mata berbanding 4.87 mata pada tahun sebelumnya,” katanya ketika mengumumkan keputusan itu di Muar.

Di PULAU PINANG, 952 atau 4.36 peratus daripada 21,816 calon memperoleh A dalam semua mata pelajaran, kata Pengarah Jabatan Pendidikan, Datuk Osman Hussain yang turut memaklumkan pencapaian GPN bagi negeri ialah 4.83 berbanding 4.73 tahun sebelumnya.

Seramai 17,912 atau 82.10 peratus calon layak mendapat sijil dan 24 sekolah mencapai prestasi 100 peratus lulus, kata Osman.

Di KELANTAN, 314 daripada 34,032 calon mendapat sekurang-kurang A-, dengan lapan daripadanya mendapat gred cemerlang A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Pengarah Pendidikan Kelantan, Hussain Awang, ketika mengumumkan keputusan itu di Kota Baharu berkata, pencapaian GPN negeri pula adalah 5.03 berbanding 4.89 pada 2013.

“Sebanyak 88.81 peratus atau 22,799 calon layak mendapat sijil peringkat negeri, peningkatan 0.55 peratus berbanding 2013,” katanya. Sebanyak 27 sekolah pula lulus 100 peratus berbanding 24 sekolah pada tahun sebelumnya.

SUMBER : BERITA HARIAN