SPM 2014 : Keputusan masih ikut trend – Muhyiddin

PUTRAJAYA 03 March 2015. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh selepas berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan di Putrajaya

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada keseluruhannya menurun, namun ia masih mengikut trend dan tidak jauh berbeza daripada keputusan pada tiga tahun sebelum 2013.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan tersebut boleh dianggap sebagai keputusan yang memuaskan kerana calon mampu menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dengan baik walaupun peratusan soalan sedemikian telah meningkat.

“Kaedah penyoalan ini mungkin antara faktor yang memberi kesan terhadap prestasi calon. Selain daripada itu, beberapa faktor lain yang mungkin menyumbang kepada turun naik keputusan peperiksaan akan dikaji dengan lebih mendalam.

“Bagaimanapun, keputusan pada tahun ini juga menunjukkan jurang pencapaian calon di bandar dan di luar bandar telah mengecil berbanding pada tahun 2013,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Keputusan peperiksaan tersebut diumumkan hari ini dengan sebanyak 11,289 daripada 455,839 calon atau 2.62 peratus memperoleh keputusan cemerlang.

Sambil mengucapkan tahniah kepada calon yang telah berjaya dengan cemerlang, Muhyiddin berkata, pengumuman analisis keputusan peperiksaan itu menunjukkan pencapaian akademik pelajar yang telah melalui pendidikan menengah atas dan menduduki peperiksaan di peringkat persijilan.

“Semoga mereka meneruskan budaya kecemerlangan ini dalam kehidupan mereka dan dalam apa jua bidang yang akan diceburi. Kepada calon yang kurang berjaya pula, anggaplah itu sebagai satu cabaran dan peluang untuk mencipta kejayaan yang lain pada masa akan datang,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan turut mengucapkan tahniah kepada calon-calon berkeperluan khas (CBK) kerana mencatat peningkatan yang amat membanggakan.

Menurutnya, kejayaan mereka menunjukkan bahawa semua calon berpeluang untuk cemerlang dalam peperiksaan SPM jika mereka berusaha bersungguh-sungguh.

Muhyiddin berkata, kementerian sentiasa meneroka pendekatan pedagogi terkini bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

“Antaranya, ialah membina kemahiran berfikir dalam kalangan murid dengan mempergiatkan pelbagai program pembelajaran dan melaksanakan Kurikulum Berasaskan Standard.

“KBAT adalah merupakan kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid sebagai persediaan untuk menjadi global citizen atau warga global. Antara KBAT yang perlu dikuasai oleh murid ialah penaakulan matematik, interpretasi bahasa, membuat inferens, penaakulan saintifik dan penyelesaian masalah dan kemahiran ini diukur dalam peperiksaan SPM 2014,” kata Muhyiddin.

Beliau menjelaskan, selain daripada itu, kementerian sedang giat berusaha untuk memperhebatkan sokongan kepada guru dan pentadbir sekolah.

Ini termasuk memperkenalkan program pembimbing guru dan pembimbing pengetua atau guru besar sepenuh masa di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Pembimbing ini dapat memberikan tumpuan penuh kepada tugas sebagai mentor dan membina hubungan yang kukuh dengan guru dan pengetua atau guru besar.

“Pemimpin yang berwibawa juga adalah merupakan faktor yang menyumbang kepada prestasi murid, oleh itu KPM akan mengorak langkah mengukuhkan kualiti kepimpinan di JPN dan PPD,” katanya.

Muhyiddin berkata, kementerian bertekad meningkatkan kualiti kemenjadian murid selaras dengan aspirasi meletakkan Malaysia dalam kelompok sistem pendidikan sepertiga teratas di dunia dan ia bermula dengan kualiti peperiksaan awam negara ini.

Katanya, kementerian akan terus berusaha untuk melaksanakan pelbagai program intervensi yang sesuai untuk meningkatkan kecemerlangan pencapaian murid-murid dalam pelbagai aspek termasuklah dalam peperiksaan SPM.

“Ini adalah penting bagi mencapai enam aspirasi murid dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan melahirkan modal insan yang holistik seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

“Selain daripada itu, kementerian akan melaksanakan kajian bagi mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi prestasi dan keputusan murid supaya tindakan susulan yang bertepatan dapat dilaksanakan,” katanya.

Muhyiddin berkata, kementerian juga akan memastikan program yang efektif dan bermakna bagi pembelajaran murid khususnya bagi mata pelajaran yang mencatatkan penurunan dilaksanakan dengan lebih teliti dan penuh tanggungjawab.

SUMBER : BERITA HARIAN

Advertisements

SPM: Soalan KBAT dijawab dengan baik

KUALA LUMPUR 3 Mac – Analisis keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 menunjukkan calon-calon mampu menjawab soalan bercirikan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dengan baik walaupun peratusan soalan sedemikian meningkat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kaedah penyoalan tersebut mungkin antara faktor yang memberi kesan terhadap prestasi calon namun keputusan SPM masih mengikut aliran dan tidak jauh berbeza daripada keputusan sepanjang tiga tahun sebelum 2013.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan memberitahu, keputusan SPM masih pada tahap memuaskan walaupun pencapaian calon secara keseluruhan menurun.

“Beberapa faktor lain yang mungkin menyumbang kepada turun naik keputusan peperiksaan akan dikaji dengan lebih mendalam.

“Walau bagaimanapun, keputusan tahun ini juga menunjukkan jurang pencapaian calon di bandar dan di luar bandar telah mengecil berbanding pada 2013,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhyiddin menambah, Kementerian Pendidikan sentiasa meneroka pendekatan pedagogi terkini bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Menurut beliau, antara pendekatan yang diambil adalah membina kemahiran berfikir dalam kalangan murid dengan mempergiatkan pelbagai program pembelajaran dan melaksanakan Kurikulum Berasaskan Standard.

“KBAT merupakan kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid sebagai persediaan untuk menjadi warga global dan antara kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid ialah penaakulan matematik, interpretasi bahasa, membuat inferens, penaakulan saintifik serta penyelesaian masalah dan kemahiran ini diukur dalam peperiksaan SPM 2014,” jelasnya.

Timbalan Perdana Menteri ber­kata, kementerian sedang giat ber­usaha untuk memperhebatkan so­ko­ngan kepada guru dan pentadbir sekolah melalui program pembimbing guru (SISC+) serta pembimbing pengetua atau guru besar (SIPartners+) sepenuh masa di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Beliau memberitahu, kemente­rian juga akan terus berusaha untuk melaksanakan pelbagai program intervensi yang sesuai untuk meningkatkan kecemerlangan pencapaian murid-murid dalam pelbagai aspek termasuk dalam SPM.

“Ini adalah penting bagi mencapai enam aspirasi murid dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan melahirkan modal insan yang holistik seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Selain itu, kementerian akan melaksanakan kajian bagi mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi prestasi dan keputusan murid supaya tindakan susulan yang bertepatan dapat dilaksanakan,” ujarnya.

Muhyiddin menambah, Kementerian Pendidikan akan memastikan program yang efektif dan bermakna bagi pembelajaran murid khususnya bagi mata pelajaran yang mencatatkan penurunan dilaksanakan dengan lebih teliti serta penuh tanggungjawab.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada calon-calon yang beroleh keputusan cemerlang dalam SPM 2014 termasuk calon-calon ber­keperluan khas kerana menca­tatkan peningkatan yang amat mem­banggakan.

“Semoga mereka meneruskan bu­daya kecemerlangan ini dalam kehidupan mereka dan dalam apa jua bidang yang akan diceburi.

“Kepada calon yang kurang berjaya pula, anggaplah itu sebagai sa­tu cabaran dan peluang untuk mencipta kejayaan yang lain pada masa akan datang,” katanya.

Muhyiddin juga menyatakan penghargaan kepada ibu bapa, gu­ru, pentadbir sekolah dan ma­sya­rakat yang memberi kerjasama sepenuhnya dalam membangunkan serta meningkatkan tahap pendidikan secara berterusan.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

Pencapaian menurun

KHAIR MOHAMAD YUSOF menunjukkan analisis keputusan SPM 2014 dalam majlis pengumuman keputusan peperiksaan itu di Kementerian Pendidikan di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 3 Mac – Pencapaian keseluruhan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 mengalami penurunan berdasarkan indeks gred purata nasional (GPN) iaitu sebanyak 5.08 mata berbanding 4.93 pada 2013.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, pencapaian calon yang memperoleh keputusan cemerlang (gred A+,A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki turut menurun apabila tahun ini hanya mencatat 11,289 calon berbanding 13,970 calon pada 2013.

Katanya, penurunan itu antara lain disebabkan sikap calon yang sering meramalkan bentuk soalan sama pada setiap tahun sehingga menyebabkan mereka mengulang kaji mengikut cara lama.

“Jika dahulu pelajar selalu jangka bentuk soalan sama, tetapi mulai tahun lepas kita sudah ubah pengolahan soalan. Soalan tetap sama, cuma memerlukan cara pemikiran yang berbeza.

“Sebaliknya bagi calon yang memberi tumpuan pada pelajaran dan ilmu, mereka tetap akan mendapat keputusan yang cemerlang,” katanya ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2014 di sini hari ini.

Sementara itu, Khair memberitahu, berdasarkan gred purata mata pelajaran (GPMP), prestasi 28 daripada 73 mata pelajaran SPM 2014 meningkat, manakala 43 daripadanya mengalami penurunan dan dua lagi kekal prestasi berbanding 2013.

Beliau berkata, prestasi GPMP bagi mata pelajaran Pendidikan Islam pada tahun ini meningkat iaitu 4.28 mata berbanding 4.42 pada 2013.

“Prestasi mata pelajaran teras yang lain iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik dan Sains pula menurun pada tahun ini.

“Pendidikan Moral menunjukkan penurunan tertinggi sebanyak 0.38 mata GPMP iaitu 4.70 untuk pada tahun ini daripada 4.32 pada 2013,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Khair berkata, sebanyak 364,724 daripada 455,839 calon SPM 2014 yang pertama kali menduduki peperiksaan itu dan mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran layak mendapat sijil.

“Pencapaian calon luar bandar menurun pada tahun ini, tetapi kedudukan berdasarkan mata GPN lebih rendah iaitu 0.12 mata berbanding calon bandar dengan 0.17 mata,” katanya.

Tambah Khair, SPM 2014 turut menyaksikan lima calon keperluan khas memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran membuktikan semua pelajar tanpa mengira kekurangan berpeluang untuk cemerlang dalam peperiksaan.

“Bagi memastikan peperiksaan dijalankan mengikut standard antarabangsa, kementerian telah menjemput pakar pentaksiran luar negara antaranya Cambridge International Examinations (CIE) United Kingdom dalam mesyuarat Penentuan Standard SPM 2014.

“Selain berpuas hati dengan penentuan standard SPM, kerjasama itu telah memberi peluang kepada calon yang menduduki mata pelajaran Bahasa Inggeris 1119 untuk mendapat sijil GCE O-Level,” katanya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

Napoleon kecil’ pengacau – TPM

Muhyiddin Yassin bersalaman dengan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Awang Sariyan semasa hadir ke Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan di Presint 5, Putrajaya, semalam. Turut hadir, Idris Jusoh, P. Kamalanathan dan Mary Yap Kain Ching.

PUTRAJAYA 3 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mem­beri teguran terhadap ke­munculan ‘Napoleon kecil’ yang menjadi halangan kepada pembentukan pasukan lebih mantap dalam Kementerian Pendidikan.

Muhyiddin berkata, warga ke­men­terian tidak harus bekerja da­lam kelompok sendiri kerana setiap matlamat dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan tidak mungkin dicapai tanpa sokongan pelbagai agensi.

“Apabila terbentuk kelompok, maka setiap ketua jabatan mahu menjadi Napoleon kecil, maka tidak akan membantu dalam pembentukan pasukan kerja yang kukuh kerana masing-masing mempunyai aspirasi untuk membentuk pasukan mengikut kehendak sendiri.

“Mereka (Napoleon kecil) mungkin berjaya dalam satu sudut, tetapi tidak dalam soal mencapai objektif Kementerian Pendidikan,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri, Datuk Mary Yap Kain Ching dan P. Kamalanathan serta Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad dan Datuk Seri Dr. Zaini Ujang.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan menyeru semua warga kementeriannya bekerja keras bagi mencapai matlamat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dan PPPM – Pendidikan Tinggi yang bakal dilancar 7 April depan.

“Kedua-dua pelan ini pastinya merupakan agenda besar untuk kementerian dan negara. Adalah men­jadi tanggungjawab warga Ke­­menterian Pendidikan untuk me­mas­tikan matlamat yang di­te­tapkan dapat dilaksanakan dengan sebaik-sebaiknya.

“Kita memerlukan lonjakan ber­ganda untuk mencapai matlamat ditetapkan. Usaha ini takkan berjaya tanpa kreativiti, inovasi, komitmen, kerja keras serta integriti daripada semua,” katanya.

Muhyiddin berkata, untuk meningkatkan mutu pendidikan, kementerian pada masa yang sama perlu mengadunkan kerjasama da­ri­pada pelbagai pihak.

“Kita berada dalam satu ekosistem yang memerlukan kerjasama dan dorongan pelbagai peringkat ma­syarakat, ibu bapa, institusi, pihak swasta dan industri,” katanya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA