560 pelajar Pasir Gudang tuisyen percuma

26/09/2010

PASIR GUDANG 25 Sept. – Kira-kira 560 pelajar dari 10 sekolah di kawasan Parlimen Pasir Gudang berpeluang mengikuti tuisyen secara percuma di enam buah pusat tuisyen sejak awal bulan ini.

Antara sekolah yang terlibat dalam program Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pasir Gudang adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Molek, SMK Johor Jaya 1 dan 2, SMK Megah Ria, SMK Bandar Seri Alam, SMK Bandar Seri Alam 2, SMK Pasir Gudang 2, SMK Pasir Gudang 3, SMK Permas Jaya 2 dan SMK Taman Rinting.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) berkata, enam daripada sekolah berkenaan yang dipilih menjadi pusat tuisyen menerima RM8,000 untuk menjayakan program tersebut.

Beliau berkata, peruntukan itu disalurkan melalui tabung Majlis Kebajikan dan Pembangunan Penyayang (Mayang) Parlimen Pasir Gudang.

Menurutnya, kelas tuisyen yang dikendalikan 49 guru itu dijalankan bagi memastikan semua pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan mendapat pendidikan sewajarnya.

Katanya, para pelajar daripada kelompok itu boleh dibantu untuk melonjakkan pencapaian akademik mereka.

“Kegiatan pusat tuisyen ini melibatkan pelajar yang akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Disebabkan ia bermula lewat, maka untuk pelajar yang bakal menduduki PMR, mereka diajar panduan menjawab soalan peperiksaan. Pada tahun hadapan, kita akan mulakan kelas tuisyen ini lebih awal iaitu pada bulan Mei,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata demikian pada majlis rumah terbuka hari raya warga Politeknik Johor Bahru dan pendidik Parlimen Pasir Gudang serta majlis perasmian Gemilang 1Malaysia di sini hari ini.

Katanya, pembukaan kelas tuisyen itu adalah sebahagian daripada aktiviti program Gemilang 1Malaysia yang diadakan sebagai pendekatan untuk mencapai kegemilangan negara yang melibatkan semua kaum.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_16.htm

Tuisyen percuma, insentif majukan pendidikan pelajar Dayak

22/03/2010

MIRI 21 Mac – Yayasan Kebudayaan Dayak (YKD) akan mengadakan kelas tuisyen percuma dan pemberian insentif untuk pelajar kaum tersebut yang cemerlang dalam akademik pada tahun ini.

Pengerusi YKD yang juga Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, yayasan itu akan menyediakan peruntukan sehingga ratusan ribu ringgit untuk meningkatkan kualiti pendidikan masyarakat Dayak sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, bagi kelas tuisyen percuma, buat permulaan ia akan dilancarkan di Miri, Bintulu dan Kuching tidak lama lagi.

”Hadiah insentif pula akan diberikan kepada 15 pelajar masing-masing dari kaum Orang Ulu, Bidayuh dan Iban untuk tiga kategori iaitu mereka yang cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam penghargaan Persatuan Dayak Miri (DAM) di sini malam tadi.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Aidan Wing; ADUN Telang Usan, Lihan Jok; Presiden DAM yang baru dilantik, Ellison Ludan; bekas Presiden, Alexander Isut Karin dan Penasihat Kaunselor, Dr. Nuing Jeluing.

Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, YKD akan melipatgandakan usaha untuk mencari peruntukan tambahan bagi memastikan kedua-dua projek tersebut berjalan lancar.

”Walaupun ia membabitkan sejumlah wang yang besar, namun demi kebaikan kaum Dayak untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik, kita akan meneruskan projek ini pada masa hadapan,” katanya.

Untuk hadiah insentif katanya, YKD akan bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran untuk mengesan pelajar-pelajar Dayak yang layak menerima.

Sehubungan itu, Jabu mahu DAM memainkan peranan lebih agresif dalam membantu kerajaan meningkatkan kesedaran pentingnya pendidikan di kalangan ibu bapa khususnya yang tinggal di pedalaman.

”Saya cadangkan agar selepas ini DAM lebih kerap mengadakan lawatan ke rumah-rumah panjang selain ke sekolah untuk mengesan pelajar Dayak yang bermasalah terutama dari keluarga miskin dan kurang mampu,” katanya.

Tambah beliau, hanya melalui pendidikan, kaum Dayak dapat memajukan diri mereka setaraf dengan kaum lain yang jauh lebih maju.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0322&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_04.htm

Tuisyen percuma untuk murid UPSR

19/01/2010

SANDAKAN 18 Jan. – Pergerakan Pemuda UMNO Batu Sapi akan menganjurkan kelas tuisyen percuma kepada murid-murid dari tujuh buah kampung di sini yang akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Ketua Pemudanya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, program anjuran bersama Puteri UMNO bahagian itu akan membabitkan empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Katanya, tujuh kampung berkenaan ialah Kampung Gas, Kampung Lupak Meluas, Kampung Sundang, Kampung Cenderamata, Kampung Bokara, Kampung Air dan Kampung Bahagia.

“Tenaga pengajar kita akan ambil dari kalangan guru-guru terlatih di kawasan Batu Sapi ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program kelas tuisyen percuma di sini hari ini.

Majlis pelancaran dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sekong merangkap Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Datuk Samsudin Yahya.

Hadir sama Ketua Pergerakan Wanita bahagian, Jamayah Sapawi; Ketua Puteri, Latifah Tahir, guru-guru tuisyen, ibu bapa dan pelajar.

Khairul Firdaus berkata, penganjuran program itu selari dengan agenda utama pergerakan itu untuk meningkatkan taraf pendidikan murid dan pelajar di kawasan itu.

Katanya, program murni itu bukan sahaja membimbing golongan pelajar kurang berkemampuan tetapi mampu melahirkan generasi pelapis di masa depan.

“Harapan kita program ini mampu meningkatkan peratus kelulusan peperiksaan UPSR di kawasan ini,” ujarnya.

Sementara itu, Samsudin berkata, program tuisyen ini mampu memastikan murid terbabit tidak menghabiskan masa dengan aktiviti tidak berfaedah.

“Usaha murni ini perlu diperluaskan kepada pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM),” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_05.htm