Pelbagaikan bahan pembelajaran di Nasom – Rosmah

22/04/2011

Rosmah Mansor bermesra dengan remaja autisme, Noorarina Sakinah Samsudin sambil diperhatikan Mohd. Ali Rustam di Melaka, semalam.

MELAKA 21 April – Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyarankan agar bahan pembelajaran sedia ada di Pusat Vokasional Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) di Bukit Peringgit di sini dipelbagaikan bagi meningkatkan kemahiran pendidikan.

Menurut beliau, bahan pembelajaran seperti peralatan muzik sepatutnya disediakan di pusat berkenaan.

Yang Dipertua Badan Amal Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) itu berkata, peralatan sebegitu perlu untuk meningkatkan kemahiran dan mengembangkan bakat dalam diri kanak-kanak autisme.

‘‘Mungkin selepas ini, Badan Amal Kebajikan Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (Bistari) yang menguruskan pusat ini boleh menyediakan peralatan muzik antaranya piano untuk diletakkan di sini bagi kemudahan pendidikan anak-anak autisme,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Kelas Vokasional Pusat Intervensi Autisme Melaka di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan isteri, Datin Seri Asmah Abdul Rahman yang juga Pengerusi Bistari negeri.

Pada majlis itu, Rosmah turut menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada rumah autisme Nasom Bukit Peringgit yang merupakan salah satu daripada 15 pusat yang diuruskan di bawah Nasom dalam menjalankan program intervensi kanak-kanak autisme berusia antara dua hingga 14 tahun.

Pusat Intervensi Autisme Melaka diasaskan pada Mac 2000 dengan permulaannya hanya dua guru dan lima murid.

Jumlah berkenaan kini bertambah kepada 32 murid serta tujuh orang guru.

Terdahulu isteri Perdana Menteri merasmikan Sekolah Harapan, Jasin yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri khusus untuk golongan remaja hamil luar nikah.

Penubuhan Sekolah Harapan dicetuskan oleh Mohd. Ali bagi memberi perlindungan kepada remaja hamil selain menangani gejala buang bayi yang semakin berleluasa.

Menurut Pengarah Sekolah Harapan, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim, setakat ini, seramai 49 remaja perempuan hamil ditempatkan di situ.

Katanya, daripada jumlah itu, 35 remaja yang sebahagiannya sudah melahirkan anak manakala selebihnya sedang menunggu masa melahirkan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0422&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm