Pelajar 9A SPM kecewa tak dapat masuk IPTA

24/08/2011

KUALA LUMPUR: Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu, Amirah Farveen Basheer Ahamad, 18, tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya apabila gagal mendapat tempat bagi melanjutkan pengajian di mana-mana Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), baru-baru ini.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Ideal Heights, Bukit Idaman, Batu Caves, itu memperoleh 9A dalam mata pelajaran utama, antaranya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Kimia dan Biologi, tetapi entah di mana silapnya, namanya tercicir untuk ke IPTA mahupun Kolej Matrikulasi.

“Tiga hari saya tidak makan dan keluar bilik, ketika rakan lain mengadakan majlis sambutan kerana berjaya melangkah ke menara gading, saya hanya mampu meratapi nasib di bilik kerana terlalu sedih dan kecewa,” katanya ketika ditemui Berita Harian, di sini, semalam.

Bukan sekadar cemerlang dalam pelajaran, Amirah turut aktif dalam kokurikulum termasuk menyertai program citra warna peringkat kebangsaan, menjuarai pertandingan pidato sekolah dan memperoleh anugerah pengawas berdedikasi, tahun lalu.

“Saya membuat permohonan seperti biasa secara dalam talian (online) sebelum memperoleh keputusan SPM lagi, tetapi nama saya tiada dalam senarai ke IPTA, rakan yang memperoleh keputusan lebih rendah daripada saya, berjaya mendapat tempat di IPTA. Saya kemudian membuat permohonan e-rayuan, tetapi gagal.

Walaupun berdepan dugaan itu, hasrat Amirah untuk menjadi seorang doktor tidak dibiarkan musnah begitu saja apabila dia mendaftar di Kolej Universiti Mahsa, Pusat Bandar Damansara, bagi mengikuti program Sains Asasi selama setahun sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Perubatan, namun berdepan masalah kewangan.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pelajar9ASPMkecewatakdapatmasukIPTA/Article

Kuota pelajar IPTA diseimbang

18/07/2011

Oleh Osman Lisut dan Kalam Hadi
bhjb@bharian.com.my

Kementerian sasar tingkat pengambilan lelaki mulai September

JOHOR BAHRU: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyifatkan isu kekurangan mahasiswa lelaki berbanding wanita di universiti awam negara ini belum mencapai tahap kritikal walaupun sering diperkatakan dengan perangkaan menunjukkan pelajar wanita mencakupi 60 peratus berbanding lelaki.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya menyasarkan mulai September ini, pengambilan pelajar lelaki dan wanita memasuki universiti awam akan lebih seimbang, kerana golongan lelaki mempunyai lebih permintaan di pasaran kerja. “Kementerian juga ada ketikanya menghadapi kesukaran memenuhi kuota pelajar lelaki dalam jurusan tertentu kerana kekurangan calon layak menyebabkan kekosongan terpaksa ditampung pelajar wanita.

“Jadi, pemimpin masyarakat, ibu bapa dan guru di sekolah menengah berperanan memberi penjelasan dan penerangan kepada pelajar yang bakal memasuki universiti awam dan swasta selepas menamatkan pembelajaran mereka di peringkat sekolah menengah,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada penduduk miskin dan ibu tunggal sempena Program Nadi Kasih Peringkat Parlimen Pasir Gudang anjuran Jawatankuasa Peti Undi Pandan dan Taman Molek di Dewanraya Kampung Melayu Pandan di sini, pagi semalam.

Mengulas pelajar menyertai perhimpunan haram pada 9 Julai lalu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, berkata, pihaknya belum menerima maklumat pelajar universiti tempatan yang terbabit.

Bagaimanapun, katanya, kementerian sudah mengenal pasti beberapa pelajar tajaan menyertai perhimpunan di luar negara walaupun jumlah mereka tidak ramai dan tidak mengancam keselamatan.
Sementara itu, pada sidang media selepas merasmikan ‘Program Latihan 1Malaysia’ bersama Komuniti Hulu Langat dan menyaksikan Majlis Menandatangani MoU Dokumen Persefahaman Sosio Ekonomi Komuniti di Kolej Komuniti Hulu Langat (KKHL), di Kajang,

Mohamed Khaled berkata, rakyat boleh menjadi taksub dan enggan berusaha jika negara berasaskan kebajikan diwujudkan.

Ini kerana, katanya, sistem itu hanya memberi rakyat bantuan kewangan semata-mata, tetapi tidak menyalurkan pendidikan, kemahiran atau bantuan lain bagi membaiki diri.

“Jika berlaku, kerajaan itu tidak menjurus matlamatnya untuk membantu rakyat mengubah nasib kerana mereka tidak diberi ilmu pengetahuan atau kemahiran, sebaliknya terlalu bergantung kepada kerajaan kebajikan yang kononnya tanpa berusaha, nasib mereka tetap terbela,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, kekuatan negara pada modal insan dan kerajaan sudah mengubah pendekatannya dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat.

“Kita mahu menanam budaya ilmu di kalangan masyarakat, malah kerajaan memperuntukkan RM80 juta bagi melaksanakan Program Latihan 1Malaysia dan rakyat diharap merebut peluang berkenaan di 72 Kolej Komuniti di seluruh negara, malah 12 kolej lagi sedang dalam pembinaan,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KuotapelajarIPTAdiseimbang/Article/index_html

IPTA, IPTS perlu kongsi kepakaran

12/06/2011

Oleh HANIZA HASSAN
pengarang@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 11 Jun – Kementerian Pengajian Tinggi menyarankan program ‘penyuburan bersilang’ antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang melibatkan pertukaran pensyarah dan maklumat dipertingkatkan lagi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program tersebut bukan sahaja dapat membantu dalam melahirkan modal insan kelas pertama tetapi juga berupaya menggerakkan ekonomi negara.

“Kita mahu kedua-dua IPT itu berkongsi kepakaran dan ilmu dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), pentadbiran, pembangunan korporat dan pengurusan pendapatan.

“Malah kolaborasi berkenaan juga dilihat sebagai salah satu platform yang mampu meningkatkan kedudukan dan peranan IPTS dalam ekosistem pendidikan di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pembukaan Kolej Antarabangsa KFCH di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) merangkap Pengerusi KFC Holdings (M) Berhad, Kamaruzzaman Abu Kassim dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang.

Kolej tersebut terletak di Bandar Dato’ Onn dibina dengan nilai pelaburan sebanyak RM3.5 bilion di atas tanah seluas 2.4 hektar yang melalui tiga fasa dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 2015.

Kursus-kursus yang ditawarkan memberikan tumpuan pada bidang pengurusan hotel dan restoran, hospitaliti, seni masakan, sains makanan, pengurusan acara, pengendalian makanan, kajian pengurusan halal dan pentadbiran perniagaan.

KFCH telah mengambil alih kolej berkenaan daripada Paramount International College di Puchong, Selangor dan menamakannya sebagai KFCH International College dengan nilai pelaburan sebanyak RM25 juta membabitkan pengambilalihan, naik taraf kampus di Puchong dan fasa pertama kampus Johor Bahru.

Tambah Mohamed Khaled, melalui kerjasama berkenaan juga ia dapat menarik IPTS untuk terlibat di dalam R&D dengan IPTA supaya jurang antara kedua-dua institut itu dapat dihapuskan.

“Kolaborasi ini akan membolehkan IPTS meningkatkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi negara sebagai negara maju dan mempunyai kumpulan individu yang berdaya saing serta sesuai dengan pasaran semasa,” katanya.

Ujarnya, usaha tersebut juga mampu untuk meningkatkan taraf 400 kolej swasta yang lain supaya setanding dengan IPTS dan IPTA di negara ini.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0612&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_09.htm

YTAR beri RM250 kepada penuntut IPTA

11/03/2011

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Mac – Penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) daripada keluarga kurang berkemampuan boleh memohon untuk mendapatkan bantuan kewangan RM250 sebulan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia bagi mengurangkan beban penuntut yang terpaksa menanggung keluarga sehingga ada menggunakan wang pinjaman pelajaran.

“Sebagai permulaan, Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) memperuntukkan sebanyak RM540,000 bagi menyalurkan bantuan bulanan kepada penuntut IPTA untuk meringankan bebanan mereka dan keluarga masing-masing,” katanya selepas menghadiri majlis makan tengah hari YTAR sempena ulang tahun keputeraan ke-108 Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, skim Bantuan Pelajaran Tunku Abdul Rahman itu mula diberikan kepada penuntut yang memerlukan bermula sesi pengajian September tahun ini.

“Lembaga Pemegang Amanah YTAR sedar, walaupun terdapat kemudahan pinjaman untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi, masih ada kumpulan pelajar yang terpaksa menggunakan wang pinjaman untuk membantu keluarga kurang berkemampuan,” katanya.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YTAR berkata, penuntut boleh memohon bagi mendapatkan bantuan kewangan tersebut melalui IPTA masing-masing.

Dalam pada itu, seramai 102 graduan yang menamatkan pengajian pada 2010 dipilih untuk menerima Dermasiswa Tunku Abdul Rahman iaitu pembayaran semula pinjaman pendidikan di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berjumlah RM1.6 juta.

Terdahulu, pada majlis itu, Mohamed Khaled turut menyampaikan Anugerah Pingat Tunku kepada pelajar cemerlang, Daniel Abdul Rahman, 23, yang menerima Biasiswa Tunku Abdul Rahman kerana pencapaiannya sepanjang pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Graduan undang-undang itu memenangi Pingat Emas serta wang tunai RM5,000 kerana kecemerlangannya dalam akademik serta kokurikulum ketika di universiti.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_10.htm

Wanita terus kuasai IPTA

05/07/2010

KUALA LUMPUR 4 Julai – Pelajar wanita masih menguasai tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) apabila 58.6 peratus (61,750 pelajar) daripada 105,377 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran di IPTA bagi sesi pengajian 2010/2011 adalah daripada golongan itu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, daripada jumlah itu, seramai 40,366 pelajar mengikuti pengajian di peringkat ijazah pertama manakala 65,011 pelajar peringkat diploma termasuk di politeknik.

‘‘Jumlah tersebut termasuk bilangan pelajar yang mendaftar di Universiti Malaysia Pahang (UMP) iaitu seramai 1,614 orang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan minggu induksi siswa UMP kampus Kuantan, Pahang hari ini.

Sementara itu, di Bangi, Selangor, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata, pelajar wanita masih mendominasi program ijazah pertama seperti tahun-tahun sebelumnya iaitu sebanyak 68 peratus.

Menurutnya, seramai 3,635 pelajar baru mendaftar bagi program ijazah pertama di universiti tersebut dengan 2,471 orang adalah wanita.

‘‘Tahun ini, pelajar wanita yang mendaftar mencatat jumlah teramai berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya pada sesi pendaftaran pelajar baru Ijazah Pertama Sesi Akademik 2010/2011 di Kolej Kediaman Keris Mas, kampus induk universiti itu.

Di Kota Bharu, Kelantan, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, daripada 533 penuntut baru yang mendaftar hari ini, 355 adalah wanita.

Menurutnya, kemasukan pelajar wanita yang melebihi lelaki tidak boleh dielakkan kerana semua pelajar harus diberi peluang sama dan mereka yang layak harus diberi tempat.

‘‘Pelajar terbabit mendaftar untuk mengikuti pengajian di tiga pusat pengajian iaitu seramai 180 akan melanjutkan pengajian di Pusat Pengajian Sains Perubatan, Sains Pergigian, 43 orang dan Sains Kesihatan, 292 orang,’’ katanya.

Dalam pada itu, bagi program diploma, daripada 36,000 pelajar yang mendapat tawaran di 15 IPTA di seluruh negara, pelajar wanita adalah seramai 21,567 (58.45 peratus) sementara pelajar lelaki, 15,333 orang (41.55 peratus).

Di beberapa universiti, jumlah pelajar wanita yang mendapat tawaran mengatasi pelajar lelaki, umpamanya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), seramai 225 (90 peratus) pelajar wanita mendapat tawaran sementara pelajar lelaki seramai 25 orang (10 peratus).

Di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula, seramai 14,458 (61.24 peratus) pelajar baru di universiti itu adalah pelajar wanita diikuti lelaki 9,152 orang (38.76 peratus).

Sementara di Universiti Putra Malaysia (UPM) pelajar wanita yang mendapat tawaran mengikuti program diploma adalah seramai 540 orang (60.67 peratus) dan lelaki, 350 orang (39.33 peratus).

Di Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) pula, pelajar baru wanita adalah seramai 619 orang (71.98 peratus) manakala pelajar lelaki 241 orang (28.02 peratus).

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm