UMP dedah bidang robotik kepada pelajar

08/02/2012

 

PARA pelajar sekolah yang menyertai Program Celik Elektronik didedahkan kepada bidang robotik anjuran UMP di Pekan, baru-baru ini.

 

PEKAN 7 Feb. – Seramai 80 pelajar di dua sekolah menengah di sini menyertai Program Celik Elektronik yang dianjurkan Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sekolah terbabit baru-baru ini.

Program anjuran Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) universiti itu diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indera Shahbandar (SMKIS) dan SMK Nenasi (SMKN).

Menurut Pengarah program itu, Nasrul Salim Pakheri, ia melibatkan pelajar tingkatan empat dan lima bagi menarik minat mereka dalam bidang robotik seiring dengan perkembangan sains dan teknologi.

Katanya, pendedahan itu akan menjadikan pelajar lebih kreatif dan inovatif dalam mengaplikasikan idea sendiri terhadap ciptaan masing-masing.

“Mereka didedahkan dengan program teori litar, aplikasi litar dan komponen serta pembangunan ‘mini projek’ dan aplikasi.

“Pendedahan itu berjaya dimanfaatkan pelajar dalam memahami sistem elektrik, elektronik dan mekanikal terutamanya melibatkan mekatronik serta robotik,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengetua SMKIS, Umi Kalsom Abd. Aziz berkata, menerusi program itu pelajar dapat memahami kepentingan subjek Matematik, Fizik dan Kimia dalam menyelesaikan masalah tertentu.

Tambahnya, selain itu program berkenaan membolehkan pelajar mendalami aspek lain termasuk kerja berpasukan dan kemahiran menyelesaikan masalah dengan mudah.

“Pendedahan awal sebegini akan memberikan semangat kepada mereka untuk mengenali lebih dekat teknologi robotik yang selama ini dipelopori bangsa lain contohnya masyarakat Jepun,” katanya.

Seorang pelajar SMKIS, Mohd. Rifaie Zuhairi, 16, berkata, program berkenaan memberi keseronokan mempelajari ilmu elektronik khususnya dalam bidang robotik kerana selama ini tidak pernah mencuba dari dekat.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_02.htm

Published in: on February 19, 2012 at 1:02 pm  Comments Off  

Pemimpin berkualiti bermula dari sekolah

08/02/2012

 

FATIMAH Abdullah (empat dari kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta Khemah Remaja Wanita, di Miri, semalam

MIRI 7 Feb. – Bakat kepimpinan seseorang belia perlu diasah di peringkat sekolah lagi untuk melahirkan pemimpin pelapis yang berkualiti.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri, Datuk Fatimah Abdullah berkata, ia kerana pemahaman dan penerimaan seseorang manusia berada pada tahap tertinggi sewaktu usia muda.

“Oleh itu, latihan kepimpinan bagi para remaja yang masih berada dalam lingkungan umur alam persekolahan haruslah difokus kepada penyediaan dan pembentukan sebagai pemimpin yang berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Khemah Remaja Wanita Miri di Dewan Suarah, di sini hari ini.

Seramai 150 pelajar tingkatan lima dari sekolah-sekolah menengah sekitar bandar raya itu menamatkan program berkenaan yang berlangsung selama tiga hari.

Mengenai program berkenaan, Fatimah berkata, ia adalah satu inisiatif yang baik untuk membentuk jati diri dan kepimpinan sekali gus mempersiapkan pesertanya untuk menghadapai cabaran semasa.

“Ia juga satu landasan terbaik untuk saling bertukar fikiran di samping menimba pengalaman.

“Saya percaya para peserta akan memanfaatkan sepenuhnya pengalaman perkhemahan ini sebagai permulaan kepada satu perjalanan untuk mendewasakan diri menjadi bakal pemimpin berkualiti,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_03.htm

Published in: on February 19, 2012 at 12:52 pm  Comments Off  

Terminal Sejahtera MPM guna Guru.net.my

Pelajar mempraktik pembelajaran, ulang kaji secara maya

SERAMAI 1,000 pelajar sekolah di sekitar Majlis Perbandaran Muar (MPM) bakal menikmati kemudahan pembelajaran secara maya berikutan langkah Kementerian Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Bandar menyediakan Terminal Sejahtera di balai raya Kampung Datuk Bentara Luar, Muar, akhir bulan ini. Pegawai Penyelaras Program Pembasmian Kemiskinan Bandar MPM, Mohd Nazron Mahmud, berkata pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang terpilih berpeluang belajar secara maya dengan menggunakan internet di terminal sejahtera yang disediakan. “Pelajar yang menghadapi peperiksaan awam tahun ini, terutama Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh belajar secara maya di terminal berkenaan secara percuma dengan bantuan pembimbing yang disediakan. “Modul pengajaran guru.net.my akan digunakan pelajar terbabit untuk membuat latihan secara maya ketika mengulang kaji pelajaran selepas sesi persekolahan, petang atau malam,” katanya ketika ditemui selepas taklimat kepada guru-guru enam sekolah menengah dan rendah yang terpilih mengikuti program itu di bangunan MPM, Muar, baru-baru ini. Turut hadir, Pengarang Pendidikan, Muhd Yusuf Abu Bakar. Pada majlis itu, Editor Buku, Berita Harian, Sabri Said memberi taklimat mengenai penggunaan pembelajaran secara maya, Guru.net.my kepada guru-guru terbabit bagi memudahkan mereka menggunakan modul berkenaan apabila Terminal Sejahtera dilaksanakan kelak. Pelajar yang terpilih akan diberi kad guru.net.my secara percuma bagi membolehkan mereka menggunakan kemudahan di terminal berkenaan untuk mengulangkaji pelajaran. Mohd Nazron berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) memberi peruntukan bagi program berkenaan manakala MPM dipilih untuk melaksanakan program itu di kawasan tadbirannya. “Kira-kira 1,000 pelajar yang terpilih menyertai program ini dari Sekolah Kebangsaan (SK) Ismail 1 dan 2; Sekolah Rendah dan Menengah Convent Muar; SK Parit Kadri dan Sekolah Menengah Datuk Sri Amar Diraja. Mereka akan menggunakan Terminal Sejahtera di balai raya Kampung Datuk Bentara Luar untuk mengulang kaji pelajaran mereka, mulai 27 Februari ini,” katanya. Terminal Sejahtera ialah pusat pembelajaran percuma yang dilaksanakan KWPKB bagi pelajar keluarga berpendapatan rendah di kawasan bandar. Ia dilengkapi dengan makmal komputer yang membolehkan pelajar belajar secara atas talian di luar waktu belajar. Menteri berkenaan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin memperkenalkan program itu di beberapa kawasan di Bandaraya Kuala Lumpur akhir tahun lalu sebelum dikembangkan ke kawasan majlis perbandaran dan bandaraya terpilih di seluruh negara.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TerminalSejahteraMPMgunaGuru_net_my/Article/index_html

Published in: on February 19, 2012 at 12:31 pm  Comments Off  

Kesatuan guru bantah PTD isi jawatan penolong kanan

Menafikan peluang kenaikan pangkat cikgu

KESATUAN guru membantah klausa khas sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang membuka peluang kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) membolot jawatan Penolong Kanan di sekolah menengah.

 

Jika PTD dibenarkan mengisi jawatan berkenaan, dikhuatiri sebanyak 2,282 jawatan Penolong Kanan pada Gred DG48 akan diisi PTD sekali gus menafikan peluang kenaikan pangkat guru.

 

Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) melihat kemasukan PTD khas untuk memegang jawatan Penolong Kanan (Pentadbiran) tidak akan menyelesaikan isu pengurusan sekolah yang dikatakan tidak profesional.

Pengerusi KGMMB Cawangan Terengganu, Abdullah Mamat, berkata ketika ini guru pada Gred DG44 yang dilantik sebagai Penolong Kanan (DG48) menguruskan hal ehwal kewangan (pentadbiran) dan juga akademik.

“Penolong Kanan sekarang menjaga dua bahagian pengurusan dan banyak tugas perlu diselesaikan hingga didakwa PTD sebagai tidak profesional.

“Jika PTD memasuki sekolah dengan hanya menjaga bahagian pentadbiran atau kewangan, guru pun boleh melakukan tugas ini kerana sekarang pun mereka sudah menjalankan dua tugas sekali gus.
“Lebih baik Kementerian Pelajaran membuka dua jawatan Penolong Kanan kepada guru, satu untuk pentadbiran dan satu lagi untuk akademik supaya pengurusan lebih kemas,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) meminta warga pendidikan bersifat terbuka dengan langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuka jawatan di sekolah dan institusi lain di bawah Kementerian Pelajaran untuk pegawai daripada skim bukan pendidikan.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata pelantikan pegawai bukan skim pendidikan bertujuan menggunakan kepakaran mereka bagi penambahbaikan sistem penyampaian di sekolah dan institusi lain seperti institut pendidikan guru atau Pejabat Pelajaran Daerah.

Beliau berkata, ketika ini, PTD sudah diterima di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dengan memegang jawatan Ketua Sektor (Pengurusan).

“Ini strategi lautan biru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memaksimumkan kepakaran pegawai jabatan lain dengan diminta bertugas di jabatan baru yang bukan secara tradisinya tempat mereka bertugas.

“Pada masa sama, kita berharap pegawai kanan Kementerian Pelajaran daripada skim pendidikan (DG) juga diterima bertugas di kementerian lain jika ada keperluan berbuat demikian,” katanya.

Namun, Hashim berkata, PTD yang sudah ditempatkan di JPN atau Kementerian Pelajaran perlu membuktikan mereka mahu memudahkan urusan guru, bukan sebaliknya.

Beliau berkata, KPPK menerima banyak aduan daripada guru bahawa PTD di Bahagian Kewangan enggan meluluskan tuntutan guru yang bergerak ke luar daerah.
Keengganan itu katanya dengan alasan guru berkenaan sepatutnya bertugas di dalam daerah penempatan masing-masing sedangkan guru berkenaan perlu menjalankan tugas rasmi.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KesatuangurubantahPTDisijawatanpenolongkanan/Article/index_html

Published in: on February 7, 2012 at 11:59 am  Comments Off  

Pelajar jadi renjer cegah pembiakan nyamuk aedes

06/02/2012

PELAJAR menunjukkan isyarat antiaedes dalam majlis perasmian Pertandingan Renjer Antiaedes yang dianjurkan syarikat S.C. Johnson & Son (M) Sdn Bhd.

Pertandingan babit 100 sekolah diperluas ke Pulau Pinang

PERTANDINGAN Renjer Anti-Aedes Antara Sekolah yang dimulakan pada 2009 kini diperluaskan ke Pulau Pinang dengan penambahan penyertaan sebanyak 20 pelajar bagi setiap sekolah yang mengambil bahagian.

 

Dianjurkan syarikat pengeluar produk pencuci kegunaan rumah, S.C. Johnson, pertandingan yang bermula 31 Januari hingga Jun ini akan membabitkan 2,000 pelajar sekolah menengah daripada 100 sekolah di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

 

Pengurus Besar Kelompok Melayu S.C. Johnson & Son (M) Sdn Bhd, Ramon Daez, berkata pertandingan itu diperluaskan ke Pulau Pinang kerana mahu memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya denggi berikutan negeri itu menduduki tangga kelima mencatat kes denggi paling tinggi.

“Selain itu, penganjuran program yang dulunya hanya terhad kepada 10 peserta setiap sekolah diharap dapat memberi pendidikan kepada generasi muda dan masyarakat mengenai bahaya denggi dan cara mencegah penularan penyakit berkenaan.

“Bagi pertandingan ini, peserta dikehendaki melaksanakan misi ‘mencari dan menasihati’ isi rumah di kawasan kejiranan mereka mengenai bahaya denggi serta berkongsi cara untuk menangani pembiakan nyamuk aedes melalui kunjungan dari rumah ke rumah dengan ditemani guru mereka.

“Tahun ini, kita mensasarkan sebanyak 120,000 rumah untuk dikunjungi. Kami yakin sasaran ini berjaya dicapai menerusi usaha, dedikasi dan sokongan semua peserta,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pertandingan berkenaan, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sri Aman, dekat sini, baru-baru ini.
Majlis perasmian itu disempurnakan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman. Hadir sama, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Abu Omar Mos dan Pengetua SMK (P) Sri Aman, Datin Noorul-Aini Ambok.

Sempena perasmian pertandingan itu, satu taklimat mengenai penjagaan kebersihan rumah, bahaya aedes dan denggi turut diadakan bagi memberi maklumat kepada pelajar.

Sekolah yang dipilih sebagai pemenang utama berdasarkan bilangan paling banyak rumah yang dikunjungi dan diperiksa selain kebersihan sekolah itu sendiri, bakal membawa pulang hadiah utama RM10,000 manakala pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga di peringkat daerah juga bakal menerima hadiah wang tunai dan hamper.

Sementara itu, Noorul-Aini berkata, pertandingan berkenaan sangat bermanfaat kepada pelajar sekolah kerana mereka boleh mendapatkan maklumat mengenai cara untuk mencegah pembiakan nyamuk aedes.

“Ini adalah kali kedua SMK (P) Sri Aman mengambil bahagian dalam pertandingan Renjer Anti-Aedes Antara Sekolah yang mana pembabitan pertama adalah pada 2009.

“Saya yakin renjer dari sekolah ini akan dapat menjalankan tugas mereka dengan baik untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya demam denggi dan aedes,” katanya.

Pelajar Tingkatan Dua, Siti Sarah Azhar, berkata maklumat yang diperoleh melalui taklimat yang diadakan akan dikongsi dengan ahli keluarga dan mempraktikkan langkah kebersihan lebih efektif di rumah bagi mengelakkan berlakunya pembiakan nyamuk aedes.

“Program ini sangat bermanfaat dan diharap dapat meningkat kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan sekali gus mampu mengurangkan pembiakan nyamuk aedes yang menjadi faktor utama penyakit berkenaan,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pelajarjadirenjercegahpembiakannyamukaedes/Article

Published in: on February 7, 2012 at 6:51 am  Comments Off  
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 46 other followers