MiCoST taja Tutor Online untuk murid di Melaka

16/01/2012

Dr. Mohd Aluwi Sari (dua dari kiri) dan Fareed Abdul Ghani bertukar-tukar dokumen memorandum persefahaman disaksikan Pengerusi MiCoST, Datuk Abd. Haziz Abd. Gani (tiga dari kiri) di Air Keroh, Melaka, baru-baru ini.

KOLEJ Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (MiCoST) menandatangani satu memorandum perjanjian persefahaman dengan anak syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Perfisio Solutions Sdn Bhd untuk menyelaras dan mengurus pengagihan penggunaan sistem e-pembelajaran Tutor Online kepada murid sekolah terpilih di seluruh negeri Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutif MiCoST, Dr.Mohd Aluwi Sari berkata, murid akan mendapat manfaat dalam penggunaan bahan pembelajaran yang disediakan untuk meningkatkan prestasi akademik mereka.

“Manakala pihak yang berkepentingan seperti seperti guru besar, guru-guru, Pegawai Pendidikan Negeri, pejabat DUN serta Pejabat Ketua Menteri, dan ibu bapa kepada murid terlibat pula akan dapat memantau perkembangan prestasi anak masing-masing secara atas talian,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian persefahaman itu di Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, pihak berkepentingan akan dapat mengenal pasti kekuatan serta kelemahan para pelajar secara terperinci setelah mengakses rekod latih-tubi mereka dan seterusnya merencana langkah untuk memperbaiki kelemahan tersebut.

Pada peringkat permulaan, seramai 25,000 murid daripada beberapa buah sekolah terpilih akan menikmati faedah menggunakan Tutor Online yang boleh diakses sama ada di makmal-makmal komputer sekolah, di rumah atau di tempat yang mempunyai kemudahan capaian Internet.

Di samping itu, murid-murid yang yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini berpeluang untuk menduduki Peperiksaan atas Talian Battle of the Brains Piala Ketua Menteri.

Peperiksaan ini akan dilaksanakan sebanyak dua pusingan iaitu pada bulan Mac untuk menguji tahap ingatan dan pemahaman setiap mata pelajaran. Pusingan kedua pada bulan Julai diadakan sebagai persediaan menyeluruh untuk menghadapi peperiksaan sebenar.

Selain Tutor Online, para pelajar juga berpeluang menyertai program motivasi Murabbi Profesional yang dirancang untuk memastikan anak-anak negeri Melaka dilengkapi dengan ilmu kerohaniah di samping pencapaian ilmu akademik yang cemerlang.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi, Perfisio Solutions Sdn Bhd, Fareed Abdul Ghani memberitahu, satu pasukan khas telah diwujudkan untuk bekerjasama rapat dengan MiCoST bagi memastikan pengendalian pelaksanaan Tutor Online ke seluruh negeri Melaka berjalan lancar.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_03.htm

Published in: on January 16, 2012 at 8:16 am  Comments Off  

Pemimpin pelajar ‘berguru’ di Australia

16/01/2012

Pelajar yang menyertai program kepimpinan pelajar di Australia menunjukkan sijil penyertaan di Pejabat Pelajaran Johor, baru-baru ini.

Seramai 15 Ahli Majlis Pemimpin Muda Johor dari beberapa sekolah negeri ini dihantar menjalani latihan kepimpian di Alpine School Of Student Leadership (Snowy River Campus) di Melbourne, Australia, baru-baru ini.

Ketua Unit Pembangunan, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Johor, Roliza Rosli berkata, pada program pengantarabangsaan yang diinisiatifkan oleh JPN dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) itu, para pelajar tersebut menjalani latihan selama 12 hari di sekolah berkenaan yang merupakan sekolah kelolaan Jabatan Pendidikan Victoria.

“Modul-modul yang diterapkan adalah mengenai kepimpinan pelajar cemerlang, elemen-elemen kepimpinan, kemahiran global, komunikasi, menulis dan banyak lagi.

“Di samping latihan secara tutorial, pelajar ini juga didedahkan dengan aktiviti luar seperti papan luncur, berkayak, mendaki bukit dan merentas hutan bagi meningkatkan tahap kepimpinan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini sambil memberitahu kumpulan pelajar terbabit ditemani Jurulatih Majlis Pemimpin Muda Johor yang juga Guru Pakar Bahasa Inggeris, Sekolah Menengah Tasek Utara, Nor Fadzleen Sa’don.

Roliza berkata, sebagai persiapan sebelum menyertai program itu, kumpulan pelajar tersebut diberi latihan di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IFDR) selama enam hari.

Sementara itu, Nor Fadzleen berkata, sepanjang program tersebut kesemua pelajar menunjukkan prestasi cemerlang, malah inisiatif JPN Johor mendapat pujian daripada Jabatan Pendidikan Victoria.

“Kami juga merasa bangga kerana mereka memuji para pelajar kita yang sudah mempunyai elemen kepimpinan terpuji yang perlu dipupuk dan digilap dari semasa ke semasa.

“Mereka juga berhasrat meneruskan kerjasama pintar ini demi kebaikan bersama selaras dengan hasrat JPN yang akan menubuhkan Institut Latihan Antarabangsa Bagi Kepimpinan Pelajar tidak lama lagi,” katanya.

Menurutnya, pelajar terbabit merupakan kumpulan pelajar luar negara pertama berpeluang menjalani program tersebut di Alpine School Of Student Leadership.

“Bagi melihat hasil program itu, kami meminta 15 pelajar terbabit membuat dua projek iaitu projek kemasyarakatan dan antarabangsa yang telah dikenal pasti – menyelusuri kehidupan Orang Asli di Simpang Arang Gelang Patah dan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Pemimpin Pelajar Johor,” katanya.

Seorang peserta, Mohammad Farhan Mohd. Fuad, 16, mengakui banyak pengalaman yang ditimba sepanjang 12 hari bergaul dengan para pelajar di sekolah tersebut.

“Dengan kebolehan dan ilmu yang dibekalkan, kami tunjukkan tarian zapin, memakai pakaian tradisional Melayu termasuk baju Melayu bagi lelaki dan baju kurung untuk perempuan, mereka tertarik dengan pakaian kita.

“Mereka juga puji kami yang dikatakan berketerampilan, berkeyakinan tinggi, berbakat dan menampakkan masa depan yang cerah,” katanya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor Bahru.

Nurafidah Mohamad Nizam, 16, pelajar Sekolah Perempuan Sultan Ibrahim (SIGS) yang kali pertama ke luar negara mengakui menimba banyak pengalaman baru khususnya mengenai adat dan budaya masyarakat tempatan, cara pembelajaran yang fleksibel dan pelajarnya bersikap terbuka.

“Apa yang menarik di setiap bilik, setiap seorang daripada kami ditemani dengan rakan warga Australia yang amat peramah dan menghormati masyarakat lain,” katanya yang merupakan Ketua Pengawas SIGS.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

Published in: on January 16, 2012 at 8:09 am  Comments Off  
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 42 other followers