13,000 penuntut UTHM terima baucar buku

10/01/2012

BATU PAHAT 10 Jan. – Seramai 12,988 penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima baucar buku dan peralatan pembelajaran bernilai RM2.6 juta semalam.

Setiap penuntut menerima baucar RM200 yang disampaikan oleh Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin.

Penuntut boleh menggunakan baucar itu di Kedai Buku UTHM dan kedai-kedai terpilih di luar universiti tersebut.

Mohd. Noh Dalimin berkata, penuntut diharapkan memanfaatkan sepenuhnya baucar itu dan menggunakannya untuk membeli bahan yang diperlukan sebagai bahan pengajian di universiti.

“Sungguh bertuah mahasiswa sekarang, sampai buku pun kerajaan bantu. Saya percaya tujuan utama kerajaan memberi inisiatif ini untuk meringankan beban dan memupuk minat membaca dalam kalangan mereka,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM260 juta kepada 1.3 juta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara dan ia mula diagihkan pada minggu pertama bulan ini.

Sementara itu, seorang penuntut, Nor Azizah Mohammed Rum, 27, berkata, pemberian baucar itu membuktikan kerajaan prihatin dengan masalah kewangan yang sering dihadapi golongan tersebut terutamanya untuk membeli bahan dan keperluan pengajian.

“Saya bersyukur dengan pemberian baucar ini dan akan memanfaatkannya dengan meneliti beberapa bahan rujukan yang betul-betul diperlukan sebelum membuat pembelian.

“Saya anggap ia durian runtuh kerana sebelum ini tidak pernah penuntut di IPT mendapat bantuan baucar seperti ini,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kampus&pg=ka_11.htm

Published in: on January 13, 2012 at 8:51 am  Comments Off  

MSU miliki hospital dalam kampus 2013

13/01/2012

Ke arah menerajui pendidikan perubatan negara

MANAGEMENT & Science University (MSU) bakal memiliki sebuah hospital dalam kampus yang kini dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya tahun depan.

 

Presiden MSU, Prof Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, hospital yang dibuka kepada orang awam itu juga dijadikan pusat pendidikan dan pembelajaran kepada mahasiswa dalam jurusan perubatan.

 

“Hospital di bawah kendalian MSU ini menyediakan perkhidmatan lengkap seperti hospital lain bagi memastikan pesakit dapat menjalani rawatan secara menyeluruh walaupun dibina di kawasan kampus.

“Selain menjadi pusat rawatan, hospital turut dijadikan sebagai pusat pendidikan serta pembelajaran kepada mahasiswa dalam jurusan perubatan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen ke-10 di Dewan Canselor MSU, baru-baru ini.

Majlis konvokesyen itu turut mendapat perkenan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun.
Seramai 674 graduan terdiri daripada lepasan diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana menerima skrol masing-masing daripada 37 bidang pengajian.
Dr Mohd Shukri berkata lagi, MSU begitu komited dalam melahirkan ramai graduan doktor terlatih dan mahu menjadi peneraju dalam pendidikan perubatan negara.

“Buat pertama kalinya, kita berjaya melahirkan 60 graduan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri (MBBS) yang mana semua mereka ini ditawarkan melanjutkan pengajian ke International Medical School (IMS) di Bangalore, India untuk tempoh lima tahun,” katanya.

Majlis konvokesyen MSU ke-10 ini menyaksikan 118 graduan sulung bagi enam pengajian iaitu Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia, Diploma dalam Kejururawatan, Diploma Pengurusan Majlis, Diploma Rekaan Grafik dan Diploma Pengurusan Runcit.

Seramai 437 graduan turut menerima Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan, Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan, Farmasi, Pengkomputeran Perniagaan, Sains Komputer, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (IT), Kejuruteraan Komputer, Rekaan Grafik, Teknologi (Elektrik dan Pengkomputeran), Sains Bioperubatan, Teknologi Khidmat Penyediaan Makanan, Perakaunan, Perniagaan Antarabangsa, Hospitaliti & Pengurusan Pelancongan, Undang-undang dan Perdagangan, Pendidikan (TESL), Pengurusan Industri dan Pengurusan Pelaburan.

Bagi peringkat diploma pula, seramai 119 graduan terdiri daripada bidang pengkhususan seperti Farmasi, Kejuruteraan Komputer, Forensik Komputer, Kejuruteraan Elektrikal & Elektronik, Multimedia, IT, Pengurusan Industri, Hospitaliti & Pengurusan Pelancongan, Pengurusan Pelaburan, Pendidikan awal kanak-kanak dan TESL.

Sehubungan itu, seramai 25 graduan cemerlang dipilih sebagai penerima Anugerah Khas berdasarkan pencapaian mereka dalam bidang pengajian masing-masing.

Anugerah Pingat Emas Canselor dianugerahkan kepada Dr Muhammad Fairuz Shah Abd Karim graduan MBBS dan IMS di atas pencapaian cemerlangnya dalam bidang akademik dan kurikulum.

Bagi Anugerah Presiden pula disandang Muhamad Azrul Azman, graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa dan Amalina Nurhandayani Tugiran, Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan.

Sementara itu, 12 graduan dipilih sebagai penerima Anugerah Akademik iaitu Zarith Nadia Jeffrey Zahedi, Haizum Hamzah, Kristina A/P Francis, Ganesan A/L thiruvangadanm Sabrina Abbas, Thineletcumi A/P Retnam, Priscillajosephine A/P Samuel, Wong Chiey Fong, Nur Izzati Zainal, Sagunthalai A/P Chellapan, Nazihah Jamaluddin dan Mohanapriyah A/P Nadarajah.

Anugerah Kecemerlangan Mohd Shukri Yajid dianugerahkan kepada Mohamad Akhbar Ali atas pencapaian dan pembabitan beliau dalam bidang akademik, kokurikulum serta mempunyai ciri-ciri kepimpinan terpuji.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MSUmilikihospitaldalamkampus2013/Article

Published in: on January 13, 2012 at 8:37 am  Comments Off  
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 42 other followers