SMV Sungai Buloh juara Cabaran Cyberkids Maxis

09/01/2012

 

Azmi Ujang (tengah) bersama tiga pelajar Sekolah Menengah Vokasional Sungai Buloh yang telah dinobatkan sebagai juara Cabaran Kebangsaan Cyberkids Maxis 2011 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

 

SEKOLAH Menengah Vokasional (SMV) Sg. Buloh, Selangor baru-baru ini telah berjaya memenangi tempat pertama pada Cabaran Kebangsaan Cyberkids Maxis 2011 sebagai sekolah pemenang projek terbaik pertandingan.

SMV Sg. Buloh menewaskan lima buah sekolah lain yang layak ke peringkat akhir melalui projek laman sesawang pembelajaran interaktif atas talian terdiri daripada pengaturcaraan dan alat pembangunan yang menawarkan persekitaran bilik darjah dalam bentuk sukatan pelajaran, nota, forum, kuiz dan penilaian.

Naib Presiden Kanan Sumber Manusia Maxis, Azmi Ujang berkata, dengan inisiatif pendidikan kepada masyarakat, kami berhasrat untuk menyumbang ke arah membina modal insan yang berpengetahuan, mahir dan inovatif serta menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.

“Program Maxis Cyberkids yang bakal memasuki tahun ke-10nya akan terus menyebarkan ilmu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ke seluruh pelosok negara serta menyokong seruan kerajaan untuk merapatkan jurang digital di negara ini.

“Kami berharap agar para peserta Cyberkids Maxis akan berkongsi apa yang mereka pelajari semasa di kem dengan ahli-ahli masyarakat mereka seterusnya menjadikan program ini mampu memberi kesan berganda,” katanya pada majlis itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada majlis itu, SMV Sg. Buloh membawa pulang hadiah bernilai RM15,000, yang terdiri daripada RM5,000 tunai dan program ‘Maxis Cyberkids @ School’ bernilai RM10,000 merangkumi Maxis Cloud, latihan dan e-pembelajaran bagi membantu sekolah memajukan lagi idea projek mereka serta mengintegrasikan teknologi ke dalam pembelajaran.

Sementara itu, naib juara Cabaran Kebangsaan Cyberkids Maxis 2011 menjadi milik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih, Pahang dan tempat ketiga diraih SMK Jelai (Felda), Negeri Sembilan.

Kedua-dua sekolah ini masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM4,000 dan RM3,000, bersama-sama dan program ‘Maxis Cyberkids @ School’ bernilai RM10,000.

Tiga sekolah yang lain iaitu Sekolah Menengah Teknik (SMT) Bkt Mertajam, Pulau Pinang; SMK Tengku Mahmud, Terengganu dan SMK Bukit Rambai, Melaka masing-masing membawa pulang hadiah saguhati bernilai RM1,000.

Menurut Azmi lagi, salah satu aspek yang menarik mengenai cabaran kebangsaan tahun ini adalah pelajar menghasilkan projek yang relevan dengan persekitaran sekolah mereka serta mempunyai potensi mengubah cara pelajar belajar.

“Projek-projek ini melibatkan perkembangan kandungan e-pembelajaran melalui aplikasi sumber terbuka, kurikulum e-pembelajaran untuk pelajar cacat pendengaran, dan Sistem Pengurusan Pembelajaran (Learning Management Syster – LMS).

Sementara itu, pelajar-pelajar SMV Sg. Buloh berkata, kemenangan itu merupakan kejutan bagi mereka kerana persaingan yang begitu sengit dengan projek-projek dari sekolah lain yang begitu menarik sekali.

“Kemenangan ini pasti akan mendorong kami untuk terus menyampaikan ilmu kepada orang lain.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada guru-guru kami yang berdedikasi dan rakan-rakan sekelas yang merupakan kekuatan yang besar untuk kami, terutamanya apabila projek itu berjalan serentak dengan peperiksaan akhir kami,” jelas mereka.

Program Maxis Cyberkids tahun ini turut menyaksikan penyertaan 22 kakitangan Maxis yang mengambil bahagian sebagai fasilitator untuk Kem Maxis Cyberkids.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_03.htm

Published in: on January 9, 2012 at 10:59 am  Comments Off  

Tiga murid di pulau terpencil

05/01/2012

 

DARI kanan: Mohd Firdaus Khuri, Radiatul Adawiyah Khuri, dan Nurhidayatul Waheeda Khuri (tangan sebelah kiri kudung) memulakan sesi persekolahan walaupun hanya mereka bertiga sahaja yang belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Aik Hua,Pasir Hitam, Taiping, Perak, semalam.

 

BUKIT GANTANG 4 Jan. – Demi pelajaran, tiga murid Melayu sanggup menuntut ilmu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Aik Hua yang terletak di Pulau Pasir Hitam – sebuah pulau terpencil dekat sini.

Radiatul Adawiyah Khuri, 12, bersama dua adiknya, Mohd. Firdaus, 9, dan Nurhidayatul Waheeda, 7, yang memulakan hari pertama sesi persekolahan hari ini, kelihatan ceria meskipun hanya mereka bertiga pelajar di sekolah itu.

Ini kerana tiga beradik itu menjadi rakan sekelas kerana tiada murid lain lagi di sekolah tersebut.

Malahan, mereka yang tinggal bersama ibu mereka, Hafsah Najwa Abd. Mutalib, 49, merupakan antara empat kanak-kanak yang menghuni pulau tersebut yang majoritinya penduduknya tidak sampai 100 warga emas berketurunan Cina.

Kedatangan mereka ke sekolah itu bermula apabila Hafsah Najwa tertarik dengan tawaran biasiswa oleh sekolah berkenaan yang disiarkan Utusan Malaysia pada 1 Oktober lalu.

Keputusan ibu tunggal dari Pulau Pinang untuk menghantar tiga anaknya itu sekali gus menyelamatkan sekolah Cina tersebut daripada ditutup disebabkan ketiadaan pelajar.

Berdepan dengan masalah kewangan, ibu kepada 10 orang anak itu tidak sesekali menyesal dengan tindakan membawa ketiga-tiga anaknya ke situ kerana pihak sekolah menawarkan elaun sara hidup sebanyak RM150 sebulan bagi seorang pelajar.

“Saya tidak terdaya untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak setelah berpisah dengan suami tujuh tahun lalu. Bayangkan sekiranya tambang bas sekolah bagi seorang adalah RM60 sebulan, bagaimana saya hendak menanggung tiga anak saya yang bersekolah rendah?

“Itu belum ditambah lagi dengan dua anak di sekolah menengah, seorang di Politeknik Seberang Perai dan seorang lagi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis,” kata Hafsah Najwa kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Radiatul Adawiyah yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini, mengakui selesa untuk belajar di sekolah tersebut.

Dia dan adiknya, Mohd. Firdaus juga tidak mempunyai sebarang masalah untuk berkomunikasi dengan hanya dua orang guru yang bertugas di sekolah tersebut kerana menguasai sepenuhnya bahasa Cina melalui pertuturan dan penulisan.

Adik bongsunya, Norhidayatul Waheeda yang mengalami kecacatan di tangan kirinya sejak lahir, juga seronok untuk memulakan alam persekolahan di sekolah berkenaan yang menggunakan tenaga solar untuk kemudahan komputer.

“Dahulu, sebelum berpindah ke pulau ini, kami bersekolah di SJKC Poay Wah, Tanjung Bunga, Pulau Pinang. Kesemua 10 adik-beradik kami menerima pendidikan di sekolah Cina,” katanya.

Sementara itu, Ketua MCA Bahagian Bukit Gantang, Datuk Ho Cheng Wang yang kebetulan hadir melawat tiga murid itu di sekolah berkenaan, turut menyumbangkan bantuan wang tunai RM150 setiap seorang bagi tempoh setahun.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

Published in: on January 9, 2012 at 8:58 am  Comments Off  

Tiga ‘teruna’ curi tumpuan

04/01/2012

 

Beginilah gelagat tiga beradik kembar, Muhammad Daniel (kiri), Muhammad Danish (kanan) dan Muhammad Danny Mohd. Hussin semasa orientasi di Sekolah Kebangsaan Taman Muda, Kuala Lumpur, semalam.

 

KUALA LUMPUR 3 Jan. – Kehadiran kembar tiga lelaki seiras di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Muda, di sini bagi memulakan alam persekolahan berjaya mencuri tumpuan orang ramai yang berada di sekolah tersebut.

Muhammad Danial, Muhammad Danish dan Muhammad Danny yang ditemani ibu bapa mereka hadir untuk menyertai 170 murid lain sempena sesi orientasi dan suai kenal murid tahun satu hari ini.

Pasangan kembar tersebut merupakan anak sulung kepada pasangan Noor Azizah Abd. Hamid dan Mohd. Hussin Johor.

Noor Azizah memberitahu, dia mendaftarkan anak kembarnya itu di sekolah yang sama kerana ketiga-tiga mereka tidak dapat berpisah sejak kecil.

“Kalau boleh mereka mahukan semua sama malah setiap barang keperluan sekolah tidak kira warna mahupun jumlah seperti beg sekolah, baju, seluar dan kasut mesti sama.

“Selain itu, menempatkan mereka di sekolah yang sama memudahkan kerja saya dan suami untuk memantau mereka dari semasa ke semasa. Lagi pun, saya cukup berpuas hati dengan perancangan pihak sekolah untuk murid-murid di sini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Beliau berharap ketiga-tiga anaknya itu dapat menyesuaikan diri dengan suasana baru di sekolah, lebih-lebih lagi apabila diletakkan dalam kelas yang sama iaitu 1 Dedikasi.

“Seawal pukul 6 pagi mereka sudah bangun dan sememangnya teruja hendak memulakan persekolahan hari ini.

“Namun, apabila masuk ke kelas tadi, Danish menangis sebentar kerana meja telah disusun dua-dua maka salah seorang daripada mereka terpaksa duduk di meja yang lain,” katanya lagi.

Bagaimanapun, ketiga-tiga kembar seiras yang ditemui di dalam kelas kelihatan lebih bersemangat untuk meneruskan sesi orientasi apabila pelbagai aktiviti mula dijalankan guru.

Danny yang bercita-cita mahu menjadi doktor berkata, dia tidak sabar ke sekolah sebab mahu menemui kawan-kawan baru dan belajar perkara baru.

“Dekat sekolah boleh belajar menulis dan mewarna seperti di prasekolah. Paling suka sebab boleh ke sekolah belajar sama-sama dengan abang-abang,” ujarnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

Published in: on January 9, 2012 at 8:53 am  Comments Off  

Tiga ‘dara’ rasa teruja

04/01/2012

 

Nurul Aira Farhana (kiri), Nurul Aina Farhana dan Nurul Aida Farhana dipimpin oleh ayah mereka, Shahrul Aswan Shamsuddin dan ibu Norazizah Che Yaakob ke Sekolah Kebangsaan Ismail Petra 1, Kota Bharu, semalam.

 

KOTA BHARU 3 Jan. – Kehadiran pasangan kembar tiga Nurul Aiza Farhana Shahrul Aswan, 7, dan dua lagi adiknya, Nurul Aina Farhana dan Nurul Aida Farhana di Sekolah Kebangsaan Ismail Petra (1) di sini, ternyata menarik perhatian ramai.

Ini kerana, ketiga-tiga pasangan kembar seiras itu bukan sahaja mudah menyesuaikan diri dengan suasana baharu di sekolah, tetapi juga gelagat mereka yang tampak ceria dengan set persekolahan sedondon.

Mereka melaporkan diri di sekolah berkenaan dengan ditemani bapa, Shahrul Aswan Shamsuddin, 41, kakitangan Petronas Carigali di Kertih, Terengganu dan ibu, Norazizah Che Yaacob, 39, seorang suri rumah.

Kehadiran pasangan kembar tiga itu yang dilahirkan pada 29 Mac 2005 di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) di sini, menambah lagi anggota keluarga Shahrul Aswan di sekolah berkenaan di mana kakak pasangan kembar itu, Nurul Anis Farhana, 10, turut belajar di tahun empat.

Menurut Shahrul Aswan, ketiga-tiga anak kembarnya itu yang dilahirkan secara pembedahan, teruja hendak memulakan alam persekolahan apabila bangun seawal pukul 6 pagi tanpa sebarang rungutan.

“Malah, mereka bertiga sangat berdikari, bersiap sendiri tanpa menunggu dipakaikan baju dan kelengkapan lain oleh ibu mereka,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Shahrul Aswan memberitahu, kehadiran ketiga-tiga puteri kembarnya itu yang merupakan anugerah tidak ternilai daripada Yang Maha Esa, menambahkan lagi keceriaan kepada keluarganya yang menetap di Taman Tanjung Chat dekat sini.

Selain kembar tiga itu dan Nurul Anis Farhana, pasangan terbabit mempunyai empat lagi anak iaitu Muhammad Alif Farhan, 16; Muhammad Amir Firdaun, 13, Nurul Afza Farhana, 5, dan Nurul Amni Farhana, 2.

“Saya dan isteri memang mempunyai sejarah keluarga kembar dan tidak menjangka kami mewarisinya,” katanya yang tidak mempunyai pembantu rumah bagi menguruskan anak-anak mereka.

Menceritakan persiapan persekolahan tiga puteri kembarnya itu, bapa berkenaan memberitahu, dia membelanjakan kira-kira RM1,000 untuk membeli baju, beg sekolah, kasut dan keperluan lain yang semuanya mesti sama.

“Mereka bertiga memang sangat akrab, tak boleh berpisah dan kalau beli barangan mesti sama. Untuk itu, saya membuat persediaan sekolah sejak awal-awal lagi bagi memastikan dapat membeli semua kelengkapan sama untuk mereka,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_02.htm

Published in: on January 9, 2012 at 8:45 am  Comments Off  

MSU,USManjur bengkel kesihatan antarabangsa

09/1/2012

Sebahgian peserta persidangan AFPS 2011.

MANAGEMENT and Science University (MSU) mengambil inisiatif mengumpulkan pakar sains kesihatan dan farmaseutikal tempatan dan antarabangsa bagi membincangkan matlamat dan hala tuju industri berkaitan dalam membangunkan negara.

Usaha murni itu bertujuan meningkatkan kualiti kesihatan menerusi pengumpulan maklumat dan kepakaran untuk dimanfaatkan bersama.

 

Inisiatif itu diterjemahkan menerusi penganjuran Persidangan “Asean Federation for Pharmaceutical Sciences (AFPS) 2011” berlangsung di kampus induknya di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

 

Presiden MSU, Prof Datuk Wira Mohd Shukri Ab Yajid, berkata persidangan anjuran badan antarabangsa AFPS berpangkalan di Tokyo, Jepun itu selaras dengan usaha MSU meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Program katanya, dijayakan dengan kerjasama The Nagai Foundation, United Nations University-International Institute for Global Health (UNU-IIGH) dan Josai University.

Beliau berkata, aktiviti julung kalinya berlangsung di Malaysia disertai 125 peserta daripada 19 negara antaranya Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Korea Selatan, Singapura, India, Thailand, Singapura dan Iraq.

“Peserta terdiri daripada pensyarah, ahli farmasi, ahli lembaga farmasi dan badan akreditasi dalam dan luar negara.
“Pertemuan ini membantu meningkatkan jaringan antarabangsa dalam kalangan peserta selain bertukar kepakaran dan pengalaman,” katanya ketika berucap pada majlis penutup program berkenaan.

Hadir sama, Pengarah UNU-IIGH, Prof Datuk Dr Mohamed Salleh Mohamed Yasin.
Pada persidangan itu juga, MSU dengan kerjasama UNU-IIGH, Universiti Sains Malaysia dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), turut menganjurkan Bengkel Pendidikan Farmasi Asia Pasifik Kedua.

Mohd Shukri berkata, pihaknya yakin kerjasama MSU dengan AFPS yang juga badan antarabangsa bertanggungjawab meneraju aktiviti penyelidikan sains farmaseutikal di rantau Asia, membantu meningkatkan kualiti pengajaran serta R&D sedia ada.

Antara tajuk perbincangan dibentangkan ialah `The Cytosol-Sensitive Transcellular DDS for siRNA Therapy’, `Impact of Pharmaceutical Science for the Pharmaceutical Industry’, `Innovations in Drug Delivery Systems, Advances in Pharmaceutical Manufacturing Sciences/Pharmaceutical Technology’ dan `Current Status and Future Plans of Standardization of Herbal Medicines in Japan’.

Persidangan kali ini juga menyaksikan penganugerahan “Nagai Shukri Best Paper” dan “Nagai Distinguished Scientist Award” yang juga sokongan MSU dan Nagai Foundation kepada aktiviti R&D dalam menjana ilmu dan teknologi baru.

Tawaran geran penyelidikan “The Nagai-Shukri Research Grant” bermatlamat mempromosi, menggalakkan dan menyokong aktiviti penyelidikan dalam bidang sains farmaseutikal dan farmasi.

 http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MSU_USManjurbengkelkesihatanantarabangsa/Article

Published in: on January 9, 2012 at 8:24 am  Comments Off  
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 42 other followers