Tidak putus asa petua cemerlang

12/10/2011

ASYRAF Azmin diberi kucupan tahniah oleh kedua-dua ibu bapanya, Azmin Daud dan Hasmah Isa pada Majlis Konvokesyen ke-15 Kolej Multimedia (MMC) ke-15 di Dewan Tun Canselor, Cyberjaya, semalam.

 

CYBERJAYA 12 Okt. – Minat yang begitu mendalam pada bidang multimedia dan sifat tidak mudah putus asa menjadi resipi kejayaan pelajar cemerlang Kolej Multimedia (MMC), Asyraf Azmin.

Pelajar jurusan Diploma Multimedia berusia 22 tahun itu berkata, kedua-dua sikap berkenaan amat diperlukan bagi membolehkan dirinya sentiasa bersedia menghadapi cabaran ketika belajar.

“Saya bukanlah merupakan seorang yang dapat menangkap pelajaran dengan cepat, jadi saya perlu tekun dan mengambil masa yang lama untuk memahami sesuatu topik.

“Meskipun begitu, saya tidak cepat berputus asa sebaliknya terus bertanya kepada pensyarah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen ke-15 MMC di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia (MMU), di sini hari ini.

Pelajar berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu adalah antara 954 graduan yang menerima diploma masing-masing dalam majlis konvokesyen tersebut.

Asyraf yang berjaya mendapat purata nilai gred keseluruhan (CGPA) 3.95 dalam pengajiannya berkata, kejayaan itu juga disebabkan dorongan daripada kedua-dua ibu bapanya.

“Pada mulanya keluarga saya tidak begitu menggalakkan saya memilih bidang multimedia ini.

“Tetapi setelah melihat kesungguhan saya dalam bidang ini, mereka beralih arah dan memberi sokongan kepada saya untuk terus berjaya,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi itu.

Pencapaian Asyraf yang seimbang dalam bidang akademik dan kokurikulum telah melayakkan beliau menjadi penerima Anugerah Bestari.

Beliau yang kini bekerja sebagai Pembantu Pengaturcara dengan Telekom Malaysia Berhad bercita-cita menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1013&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kampus&pg=ka_01.htm

 

Kadet Polis semakin diminati

10/10/2011

PENUBUHAN Kor Kadet Polis di sekolah-sekolah menengah seluruh negara semakin mendapat tempat di hati pelajar apabila bilangan yang mengikutinya meningkat begitu ketara sejak ia diperkenalkan 41 tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, semenjak ia ditubuhkan pada 2 Mac 1970 di bawah Seksyen 68 Akta Polis, keanggotaan yang pada awalnya hanya berjumlah 1,906 kini telah melonjak kepada 105,994 orang.

“Saya amat berbangga kerana minat pelajar terhadap pasukan polis begitu tinggi sekali gus dapat merealisasikan objektif penubuhannya dalam mendisiplinkan para remaja serta membina sahsiah pelajar selaras Falsafah Pendidikan Negara.

“Jika dahulu, para pelajar hanya dikaitkan dengan kes buli tetapi kini, mereka juga sudah mula terlibat dengan kejadian samun, curi kenderaan, ragut dan rogol.

“Walaupun bilangannya kecil, namun pihak polis tidak mengambil remeh mengenainya. Anggota Kor Kadet Polis boleh berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa dengan melaporkan kepada pihak sekolah bagi mengelakkan ia daripada berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan program penutupan Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan Zon Utara 2011 di Kompleks Rakan Muda Daerah Kampar, Perak, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim serta Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Perak, Rozi Puteh Ismail yang mewakili Pengarah Pelajaran Negeri.

Seramai 272 anggota kadet melibatkan 68 anggota bagi setiap kontinjen dari Perak, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang hadir menyertai program tersebut yang berlangsung selama lima hari bermula 2 Oktober lalu.

Sepanjang tempoh itu, enam pertandingan diadakan melibatkan acara kawat kaki, pandu arah, jalan lasak, rentas halangan, menembak pistol Revolver.38 Special termasuk aktiviti kebudayaan merangkumi kategori berpasukan dan individu.

Pada majlis tersebut, Zakaria turut menyampaikan hadiah kepada juara keseluruhan yang dimenangi kontinjen dari negeri Kedah.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, daripada 246 buah sekolah menengah yang ada di negeri ini, 159 daripadanya telah menubuhkan Kor Kadet Polis di sekolah masing-masing.

Justeru, beliau berharap, sejumlah baki 87 buah sekolah lagi bakal mengikuti jejak langkah sama supaya para pelajar dapat memperoleh manfaat daripadanya melalui pemupukan semangat patriotik selain merasai sendiri pengalaman tugas-tugas kepolisan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_02.htm

 

Misi pertahan kejuaraan dunia

03/10/2011

 

Dr. Zahri Aziz (dua dari kanan) bersama pemenang salah satu kategori pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan 2011 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

 

SEBANYAK 10 pasukan sekolah yang dipilih sebagai pemenang dalam pelbagai kategori pada pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan (NRC) 2011 baru-baru ini akan mewakili negara ke pertandingan World Robot Olympiad (WRO) yang bakal diadakan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada November depan.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Dr. Zahri Aziz berkata, beliau yakin bahawa pasukan-pasukan yang membentuk kontinjen negara ke Abu Dhabi November nanti akan pulang dengan kejayaan yang membanggakan.

“Ini dapat dibuktikan dengan kejayaan pasukan negara menjadi Juara Dunia selama dua tahun berturut-turut iaitu pada pertandingan WRO 2009 di Pohang, Korea Selatan dan WRO 2010 di Manila, Filipina.

“Saya percaya bahawa sejarah kejayaan cemerlang akan dicipta oleh pasukan negara pada pertandingan peringkat dunia tahun ini,” katanya pada majlis penutupan dan penyampaian hadiah bagi pemenang pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan 2011 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pertandingan anjuran Sasbadi Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Pusat Sains Negara itu merangkumi lapan kategori termasuklah Kategori Biasa dan Kategori Terbuka yang masing-masing terbahagi kepada peringkat sekolah rendah, menengah rendah dan menengah atas serta kategori Gen II Robot Soccer dan Anugerah NI Lab VIEW.

Wakil-wakil negara yang dipilih terdiri daripada empat sekolah menengah dan empat sekolah rendah yang mendapat tempat pertama dalam lapan kategori tersebut serta dua tambahan pasukan sekolah rendah yang mendapat tempat kedua.

Sekolah-sekolah menengah yang terpilih ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seafield, Selangor; Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling, Johor; SMK Bintulu, Sarawak; SMJK Jit Sin, Pulau Pinang; SMK Methodist Tanjung Malim, Perak dan Permata Pintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Manakala sekolah rendah pula terdiri daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Port Dickson, Negeri Sembilan; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tampoi, Johor; SJKC Khai Mun Pagi, Pahang dan SJKC Jalan Davidson, Kuala Lumpur.

Menurut Zahri lagi, sebagai persiapan menghadapi cabaran sengit dalam era globalisasi masa kini dan akan datang, usaha untuk menguasai bidang ilmu pengetahuan khususnya sains dan teknologi serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) harus dilipatgandakan.

“Program robotik dan latihan intensif secara hands-on setiap hari dilihat mampu memberikan pelajar pengetahuan dan pengalaman yang sangat berguna dan meningkatkan semangat juang mereka.

“Pemikiran inovatif, kritis dan kreatif yang anak-anak perolehi akan membentuk mereka menjadi modal insan yang mampu mengatasi pelbagai cabaran pada masa hadapan,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Urusan Sasbadi Sdn. Bhd., Law King Hui berkata, jumlah penyertaan yang besar oleh pasukan sekolah menengah dan sekolah rendah dari kawasan bandar mahupun dari luar bandar sejak kebelakangan ini jelas membuktikan bahawa bidang robotik semakin popular.

“Prestasi cemerlang ini memberi harapan untuk kita membentuk pasukan negara yang setanding dengan pasukan-pasukan tahun lalu yang telah meraih pingat emas, pingat perak, anugerah khas serta anugerah kecemerlangan yang melayakkan Malaysia menjadi Juara Keseluruhan pada WRO 2009 dan WRO 2010,” harap beliau.

Pertandingan peringkat kebangsaan itu melibatkan sebanyak 39 pasukan sekolah rendah dan 86 pasukan sekolah menengah bersaing mewakili 13 zon dari seluruh negara.

Kesemua pasukan yang terpilih merupakan johan dan naib johan peringkat zon masing-masing dan mereka bertanding dalam dua kategori yang terbahagi kepada enam acara.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

 

600 pelajar terima Geran Akademik 1MDB

05/10/2011

MOHAMED Nazri Abdul Aziz (tengah) bersama Lodin Wok Kamarudin (dua, kiri), Abu Bakar Abdullah (tiga, kiri), G. Palanivel dan S. Subramaniam bergambar dengan penerima Geran Akademik 1MDB, di Kuala Lumpur semalam.

 

KUALA LUMPUR 4 Okt. – Seramai 600 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 hari ini menerima Geran Akademik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM32 juta untuk tempoh empat tahun pengajian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, program kali kedua itu merupakan bantuan kewangan untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan diimbangkan dengan meritokrasi khasnya mereka yang akan melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam negara di peringkat ijazah pertama.

“Ia merupakan usaha kerajaan untuk membantu pelajar cemerlang melanjutkan pengajian dan kita harap mereka akan menggunakan kesempatan itu untuk belajar dengan baik supaya menjadi pemimpin pada masa akan datang.

“Pemberian bantuan ini juga tidak mempunyai sebarang agenda lain melainkan untuk membantu rakyat,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan surat tawaran geran tersebut kepada pelajar terlibat dekat sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah; Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamarudin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk G. Palanivel dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam.

Mohamed Nazri dalam pada itu berkata, 600 pelajar yang menerima Geran Akademik 1MDB itu terdiri daripada 300 pelajar bumiputera, 150 pelajar Cina dan 150 pelajar India.

Katanya, pelajar yang melanjutkan pengajian di IPTA akan menerima bantuan tahunan sebanyak RM8,000 bagi kursus kritikal manakala RM7,500 bagi kursus bukan kritikal.

“Selain itu, pelajar di IPTS pula menerima bantuan tahunan sebanyak RM16,000 bagi kursus kritikal manakala RM10,000 untuk kursus bukan kritikal,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar yang ditemui, Huda Mhd Asrar, 18, berkata, dia terkejut ketika menerima surat tawaran Geran Akademik 1MDB.

Kata anak keempat daripada lima beradik itu, dia gembira dan bersyukur kerana diberikan peluang untuk menerima bantuan itu yang dapat meringankan beban keluarganya.

Lim Joe Ann, 18, turut gembira menerima bantuan itu kerana ia dapat meringankan beban keluarganya dan menjadi motivasi kepada adik beradiknya yang lain untuk berjaya.

“Saya amat bersyukur dengan bantuan ini dan ia seharusnya menjadi inspirasi kepada pelajar lain bahawa kemiskinan bukanlah penghalang bagi mereka untuk berjaya,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm