Nurhaslina Jusoh buktikan anak petani mampu cemerlang

22/12/2011

 

Nurhaslina bersama bapanya, Jusoh menunjukkan keputusan 8A diraihnya dalam PMR 2011 di Kota Bharu, semalam.

 

KOTA BHARU 22 Dis. – Menjadi sebahagian daripada 144 pelajar cemerlang di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra (SMSTMFP), Pengkalan Chepa bukanlah semudah disangka dan ia memerlukan usaha dan komitmen yang tinggi.

Itulah yang dibuktikan oleh anak seorang petani dari Pasir Puteh, Nurhaslina Jusoh, 15, apabila mendapat 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 yang diumumkan hari ini.

Kejayaan tersebut membuktikan latar belakang keluarga bukan suatu halangan, sebaliknya mencetuskan kesedaran mendalam kepadanya untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi membela nasib keluarga melalui kecemerlangan akademik.

“Sebab itulah saya tiada pilihan, selain belajar bersungguh-sungguh. Saya bertekad membantu ayah kelak tetapi saya mesti bermula dengan kecemerlangan dalam pelajaran.

“Alhamdulillah, harapan ayah hendak melihat saya berjaya dalam PMR tercapai. Insya-Allah saya akan teruskan kesungguhan dalam peperiksaan selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengambil keputusan peperiksaan itu di sekolahnya dekat sini hari ini.

Berkongsi resipi kejayaan, anak keempat daripada lapan beradik itu berkata, tumpuan sepenuhnya semasa pembelajaran dalam kelas dan kaedah ulang kaji secara bersistematik serta solat hajat secara berterusan merupakan kunci kejayaan dirinya.

“Bagi saya, fokus dalam kelas cukup penting kerana ia akan memastikan apa yang diajar oleh guru dapat difahami atau tidak bagi memudahkan proses mengulang kaji pelajaran.

“Selain itu faktor kejayaan mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 dan kakak sulung yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading menjadi azimat untuk mengulangi kejayaan tersebut,” ujarnya

Nurhaslina memberitahu, kejayaannya dalam PMR bukan kegembiraan peribadi sebaliknya turut dikongsi dengan adik-adiknya yang kini mendapat motivasi bahawa latar belakang keluarga mereka tidak boleh dijadikan penghalang untuk berjaya.

 http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_02.htm

Published in: on December 26, 2011 at 10:50 am  Comments Off  

Muhammad Danial pelajar autisme pertama negara dapat 9A

22/12/2011

KUALA TERENGGANU 22 Dis. – Biarpun mengalami masalah autisme, ia tidak menghalang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Muhammad Danial Zainuddin, 16, memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan yang diumumkan hari ini.

Lebih membanggakan, dia bukan sahaja memperoleh keputusan 9A malah diumumkan pelajar autisme pertama di negara mendapat kejayaan seumpamanya.

Muhammad Danial mula dikesan mengalami autisme ketika usianya dua tahun apabila sukar berkomunikasi dan menyesuaikan diri dengan persekitaran selain bersifat hiperaktif.

Muhammad Danial ketika ditemui di sini hari ini memberitahu, dia gembira kerana berjaya memperoleh keputusan cemerlang itu biarpun dia tidak normal seperti rakan-rakan lain.

“Memang saya pelajar autisme tetapi saya juga suka belajar seperti pelajar lain dan setiap hari hanya satu mata pelajaran saya mampu mengulang kaji dan setiap kali habis menelaah saya akan ingat semua apa yang dibaca dengan mudah.

“Saya sangat gembira mendapat keputusan ini dan sudah tentu ibu, bapa dan guru juga gembira,” katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu merupakan satu-satunya pelajar pendidikan khas yang mengambil peperiksaan tersebut di sekolah tersebut dan dia juga pernah menerima anugerah Tokoh Pelajar sempena Hari Guru peringkat negeri dua tahun lalu kerana memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Dalam pada itu, ibu bapa pelajar autisme tersebut, Ruzina Mohd. Ikram, 46, dan Zainuddin Muhamad, 46, meraikan kegembiraan berganda apabila seorang lagi anak mereka yang juga adik kepada Muhammad Danial, Nurul Diana, 15, yang menduduki peperiksaan itu juga memperoleh keputusan cemerlang yang sama.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_03.htm

Published in: on December 26, 2011 at 10:31 am  Comments Off  

Terima dana penyelidikan dari Jepun

14/12/2011

KOTA BHARU 13 Dis. – Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta rekod menjadi universiti luar Jepun kedua terbanyak yang menerima geran dari Tanita Healthy Weight Community Trust (THWCT), sebuah badan wakaf dari negara Matahari Terbit yang membiayai kerja-kerja penyelidikan dari seluruh dunia sejak 15 tahun lalu.

Wakil THWCT yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Perniagaan Antarabangsa Syarikat Tanita, Kazuhiko Fujita berkata, selain USM, hanya sebuah universiti dari Portugal yang berjaya memperoleh geran lebih dari sekali.

Kazuhiko berkata demikian selepas penyerahan geran penyelidikan bernilai RM40,000 kepada Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) USM, Dr. Hamid Jan Jan Mohamed di Bilik Persidangan Utama PPSK di sini minggu lalu.

Jelasnya, pada tahun ini, Hamid Jan merupakan penerima tunggal dari Malaysia yang mendapat geran badan wakaf itu selain seorang dari Amerika Syarikat (AS); seorang lagi dari United Kingdom (UK) dan lima penyelidik dari Jepun sendiri.

Menurutnya, sebelum ini, seorang lagi penyelidik USM iaitu Prof. Wan Abdul Manan Wan Muda telah memenangi geran yang sama pada tahun 2005 bagi kajiannya bertajuk “Kualiti Hidup dan Obesiti Dalam Kalangan Suri Rumah Kawasan Luar Bandar Kelantan”.

“Kami amat berbangga kerana dapat memberi geran ini sekali lagi kepada USM atas kegigihan yang ditunjukkanoleh penyelidiknya.

“Tahun ini kami memperuntukkan hampir 20 juta yen atau RM800,000 untuk diserahkan kepada lapan penyelidik dari seluruh dunia yang berjaya dalam permohonan mereka.

“Pihak Tanita mempunyai tabung khusus bagi membiayai sebarang penyelidikan mengenai pemakanan dan obesiti dan kami mengalu-alukan permohonan secara atas talian yang ditawarkan setiap tahun dari Mac hingga Jun,” kata beliau kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Hamid Jan ketika ditemui berkata, beliau amat bersyukur kerana berjaya mendapat geran pembiayaan selama setahun itu setelah tiga kali mencuba sebelum ini.

Beliau berkata, penyelidikannya mengenai “Kesan Asap Rokok Pasif Kepada Ibu Mengandung dan Kaitannya Dengan Obesiti” telah bermula pada Oktober lalu melibatkan 250 wanita dan keputusannya dijangka diperoleh paling awal pada Julai tahun depan.

Katanya, sepanjang proses kajian tersebut, beliau dibantu oleh pakar perbidanan, Prof. Dr. Nik Mohamed Zaki Nik Mahmood; pakar kesihatan komuniti, Prof. Madya Dr. Nor Azwany Yaacob dan dua pelajar peringkat doktor falsafa iaitu Loy See Ling dan Marhazlina Mohamad.

Hamid Jan, 35, berasal dari Kuala Selangor, Selangor dan mula berkhimat dengan USM sejak 2007.

Beliau mendapat kelulusan doktor falsafahnya dalam bidang pemakanan dari Universiti London, Britain.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kampus&pg=ka_08.htm

Published in: on December 20, 2011 at 9:50 am  Comments Off  

DBP cetak 15.9 juta buku teks

06/12/2011

Termuzi (kanan) bersama Dr Azman merasmikan Program Setitik Budi Selautan Kasih di DBP, Kuala Lumpur baru-baru ini.

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) mencetak kira-kira 15.9 juta buku teks termasuk 7.9 juta buku cetakan baru untuk edaran semua sekolah seluruh negara mengikut jadual.

Semua kerja berkenaan selesai sejak sebulan lalu dan semua buku berkenaan sedia diagihkan sebelum sesi persekolahan bermula awal tahun depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Termuzi Abdul Aziz, berkata proses pengedaran buku teks ke Sabah dan Sarawak selesai sepenuhnya manakala di semenanjung proses penghantaran buku teks membabitkan cetakan baru akan selesai dalam tempoh terdekat.

 

Beliau berkata, DBP begitu mengutamakan penghantaran ke Sabah dan Sarawak memandangkan lokasinya jauh.

Proses penghantaran di kedua-dua negeri itu katanya, menggunakan perkhidmatan empat kapal terbang iaitu dua pesawat kargo Boeing 747 dan Airbus dengan kapasiti muatan masing-masing 100 tan dan 65 tan.

“Sebanyak 818,782 buku teks cetakan baru membabitkan 44 tajuk diedarkan ke Sabah manakala di Sarawak (673,164) sudah diedarkan.

“Sesi penghantaran di kedua-dua negeri itu selesai sepenuhnya pada 2 November lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Setitik Budi Selautan Kasih anjuran bersama Badan Keluarga DBP dan Fakulti Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Dekan Fakulti Pengurusan Maklumat UiTM, Dr Azman Mat Isa dan Pengerusi Badan Keluarga DBP, Kusni Ahad.

Termuzi berkata, penghantaran buku cetakan baru ke sekolah di Semenanjung masih berbaki 20 peratus dan dijangka diselesaikan dalam tempoh terdekat.

“Proses penghantaran sudah 80 peratus selesai kerana kita mula mengedarkan ke Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) sejak 15 November lalu dan ada dalam kalangan murid sudah menerima buku teks masing-masing sebelum cuti sekolah.

“Jika ada sekolah yang belum menerima buku teks ini. Itu mungkin atas pertimbangan JPN negeri yang belum memberikan kepada sekolah atas pelbagai sebab atau masalah banjir,” katanya.

Mengulas proses mencetak 15.9 juta buku membabitkan 200 tajuk buku cetakan semula, Termuzi berkata, pihaknya tiada masalah mengenainya kerana semua tajuk berkenaan termasuk 53 tajuk buku baru disiapkan mengikut jadual.

Kerjasama daripada Bahagian Buku Teks DBP dan Bahagian Kurikulum Kementerian Pelajaran begitu memuaskan dan mencetaknya dapat dipercepatkan.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DBPcetak15_9jutabukuteks/Article

Published in: on December 20, 2011 at 9:15 am  Comments Off  

Rasional pelaksanaan PBS

05/12/2011

PELAKSANAAN Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) mulai murid tahun satu 2011 diyakini dapat melahirkan modal insan yang holistik serta seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti yang diaspirasikan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Ketika ini, sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan dan terlalu mengiktiraf pencapaian akademik menyebabkan penglibatan pelajar kurang dalam kokurikulum serta memberi tekanan kepada guru, ibu bapa dan pelajar berkenaan.

Tekanan ke atas guru-guru untuk menghabiskan sukatan pelajaran menyebabkan fokus kepada produk akhir dan bukannya proses pembelajaran.

Tambahan pula, di sesetengah negara maju, sistem pentaksirannya telah banyak berubah dan ada yang langsung tidak mempunyai peperiksaan awam sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun menengah.

Justeru mulai 2016, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan dibuat berdasarkan nisbah 60:40 iaitu 60 peratus Pentaksiran Berasaskan Pusat (PBP) dan 40 peratus PBS. Manakala peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula bermula pada 2014.

PBP di peringkat UPSR sama seperti yang diamalkan sekarang akan dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) yang melibatkan mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Dalam PBS pula terdapat empat komponen iaitu Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Psikometrik dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Pentaksiran Pusat dan Pentaksiran Sekolah bersifat akademik manakala Pentaksiran Psikometrik dan PASJK pula bersifat bukan akademik.

Bagi Pentaksiran Pusat, ia dilaksanakan oleh sekolah menggunakan instrumen dan garis panduan yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan. Pentaksiran ini melibatkan kerja khusus dan projek lisan.

Pentaksiran Sekolah pula melibatkan mata pelajaran teras dan elektif. Ia dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak sekolah.

Manakala Pentaksiran Psikometrik pula dilaksanakan di peringkat sekolah dan/atau pusat untuk mengukur kebolehan semula jadi, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid.

PAJSK adalah pentaksiran yang dijalankan untuk mendapatkan maklumat tentang kapasiti dan potensi jasmani, sukan dan kokurikulum yang dikawal secara harmoni oleh kapasiti dan proses mental seseorang individu murid supaya pertumbuhannya dapat dipantau dan diperbaiki.

 http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

Published in: on December 19, 2011 at 3:48 pm  Comments Off  
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 46 other followers