Martabatkan bahasa Melayu peringkat global

08/03/2011

Oleh HAKIMI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

mohamed Khaled Nordin bermesra dengan peserta luar pada Majlis Malam Resepsi di Hotel Equotarial, Bangi, dekat Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/Zaki Amiruddin


 

KUALA LUMPUR 7 Mac – Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2011 merupakan landasan terbaik untuk memartabatkan bahasa rasmi negara ke peringkat antarabangsa.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penganjuran PABM 2011 membolehkan negara di luar nusantara mengenali dan menguasai bahasa Melayu yang dituturkan di kebanyakan negara Asia Tenggara.

Beliau berkata, pendedahan melalui pertandingan pidato itu dapat menarik minat bangsa lain untuk lebih mendalami keunikan dan keindahan bahasa Melayu serta budaya yang diamalkan penuturnya.

“Pertandingan kali ini juga sebagai satu bentuk kesedaran dan perang psikologi kepada rakyat Malaysia yang menganggap kerajaan meminggirkan bahasa Melayu.

“Penganjuran PABM 2011 mampu menutup mulut para pengkritik dasar kerajaan mengenai bahasa kebangsaan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Malam Resepsi PABM 2011, di sini hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, kementerian akan terus memperkasakan pelbagai program untuk membantu penuntut antarabangsa di institusi pengajian tinggi tempatan untuk menguasai bahasa Melayu.

“Kita akan memperbanyakkan program seumpama ini selain mewujudkan program baru termasuk mewajibkan mereka mengambil subjek Bahasa Melayu, namun segala keputusan yang diperoleh tidak akan direkodkan.

“Ia hanya bertujuan membantu mereka menguasai bahasa Melayu untuk memudahkan mereka berurusan di negara ini,” katanya.

Selain itu jelasnya, kementerian juga akan memperbanyakkan program pertukaran pelajar bagi membolehkan proses penguasaan bahasa Melayu dilakukan.

Pusingan saringan PABM 2011 akan bermula esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan peringkat akhir pertandingan akan diadakan pada 11 Mac ini.

Seramai 59 peserta dari 56 negara akan berentap bagi merebut Piala Perdana Menteri itu.

Pertandingan tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori nusantara dan antarabangsa untuk memberikan keadilan dalam pemilihan peserta terbaik untuk dinobatkan sebagai juara.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm

About these ads