Pelajar berjaya ke IPTA diberi bantuan termasuk wang

04/02/2011

TANAH MERAH 3 Feb. – UMNO Tanah Merah akan memberi pelbagai bantuan termasuk wang kepada semua pelajar di daerah ini yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tahun ini.

Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Ikmal Hisham Abd. Aziz berkata, bantuan itu untuk meringankan beban perbelanjaan setiap pelajar terutama ketika proses melapor diri di institusi pengajian tinggi masing-masing.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pelajar yang berjaya menerima tawaran kemasukan pada sesi pengambilan ke IPTA pertengahan tahun ini agar mendaftar nama masing-masing di pejabat UMNO bahagian.

“Inilah antara bantuan pendidikan yang akan saya berikan tahun ini kerana kita mahu menghargai kejayaan setiap pelajar yang berjaya ke universiti.

“Peruntukan belum disediakan buat masa ini tetapi saya minta mereka mendaftar untuk memudahkan bantuan disampaikan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada majlis santai UMNO bahagian untuk meraikan pelajar daerah itu yang berjaya memasuki sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara di seluruh negara di Sekolah Menengah Kebangsaan Belimbing di sini hari ini.

Turut diraikan ratusan pelajar universiti dari daerah itu yang juga ahli Persatuan Mahasiswa Tanah Merah (Permata).

Sementara itu, sempena sambutan Tahun Baru Cina, beberapa pelajar kaum Cina yang melanjutkan pelajaran ke menara gading menerima sumbangan istimewa daripada Ikmal pada majlis berkenaan.

Dalam pada itu, Ikmal berkata, selain bidang pendidikan yang menjadi keutamaan, pada Jun ini, semua keluarga di daerah itu yang berpendapatan kurang daripada RM600 sebulan akan turut menerima bantuan wang.

“Mereka ini keluarga miskin jadi kita telah putuskan untuk memberi bantuan duit kepada semua keluarga yang layak.

“Buat masa ini mereka perlu berjumpa dengan ketua UMNO di cawangan masing-masing dan kita akan kaji siapa yang layak,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_18.htm