Azrool Idzwan penerima Phd termuda UiTM

21/05/2010

ADZROOL Idzwan Ismail, memeluk ibu bapanya pada Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, semalam.



SHAH ALAM 20 Mei – Selepas empat tahun mengharungi pelbagai rintangan, Adzrool Idzwan Ismail, 29, boleh tersenyum lebar apabila berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (Phd) dalam bidang Fotografi dan Pengimejan Kreatif.

Kejayaan pensyarah muda itu membolehkan beliau muncul sebagai penerima termuda ijazah kedoktoran itu dalam sejarah Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Lebih manis apabila beliau yang menerima ijazah tersebut daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Istiadat Konvokesyen ke-72 UiTM di sini hari ini, akan melangsungkan perkahwinan dengan Dr. Norsaleha Jamil, 25, pada Sabtu depan.

“Kejayaan ini merupakan hadiah termahal sempena perkahwinan saya pada 29 Mei ini.

“Saya juga bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian walaupun pernah diperlekehkan dan dikata tidak layak mendapat Phd hanya kerana faktor usia,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Azrool Idzwan merupakan salah seorang daripada 24 penerima Phd pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UiTM hari ini.

Beliau melakukan kajian tentang Komunikasi Pemujukan dan Komunikasi Visual di Malaysia.

Hadir meraikan Azrool Idzwan ialah bapanya, Ismail Ahmad, 69; ibunya, Siti rokiah Ismail, 54; Norsaleha dan adik-beradiknya.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, faktor utama beliau menyambung pengajian sehingga peringkat Phd adalah untuk menghadiahkan ijazah berprestij tersebut kepada ibu bapanya.

“Ibu bapa saya ingin untuk melihat saya menjadi seorang doktor perubatan tetapi saya tidak mampu tunaikan permintaan mereka kerana keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika itu kurang memberangsangkan,” tegasnya.

Menurut Adzrool Idzwan, sepanjang mengikuti kursus Phd sejak 2006, beliau terpaksa mencari bahan dan data sehingga ke luar negara bagi melengkapkan kajian bertajuk “Pengukuran Kualiti Imej Fotografi Secara Objektif”.

“Saya terpaksa pergi ke Korea, Taiwan dan Indonesia selama beberapa minggu bagi melengkapkan kajian kerana di negara ini, bahan dan data bukan tiada tetapi tidak cukup,” ujarnya yang berasal dari Simpang Empat Kangkong, Alor Star, Kedah.

Beliau yang kini merupakan pensyarah muda di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM juga bercadang untuk melanjutkan pengajian Phd di India dalam bidang fotografi forensik pula.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0521&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kampus&pg=ka_01.htm

Published in: on May 21, 2010 at 11:07 am  Comments Off  
Tags: , ,
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 46 other followers