Hari Potensi Tabika Kemas Kelantan penuh meriah

14/05/2010

PASUKAN dikir barat Tabika Kemas yang mewakili Kelantan ke peringkat kebangsaan mempersembahkan dikir barat di Sekolah Menengah Sains Machang, baru-baru ini.



MACHANG 13 Mei – Perasaan gembira, terharu, bangga dan gementar bercampur baur bagi ibu bapa dan guru-guru dengan rasa teruja dan keletah anak-anak semasa membuat persembahan di pentas.

Mereka memberikan sorakan galakan dan pada masa yang sama tidak dapat menahan ketawa dengan kelucuan yang terbit daripada aksi anak-anak di Dewan Sekolah Menengah Sains Machang di sini baru-baru ini yang disaksikan oleh kira-kira 1,000 tetamu.

Namun bagi 250 kanak-kanak Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dari seluruh Kelantan yang berkumpul seawal pagi, ia lebih kepada acara yang amat menyeronokkan dan ditunggu-tunggu.

Tanpa mempedulikan riuh rendah yang bergema, tanpa menghiraukan ada hadiah atau tidak untuk dimenangi, masing-masing begitu serius mempersembahkan apa yang telah dilatih oleh guru mereka selama berbulan-bulan.

Mereka merupakan kumpulan terbaik daripada 671 buah Tabika Kemas dan 19,000 rakan sebaya di negeri ini yang berjaya ke pertandingan akhir Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas peringkat Kelantan 2010.

Kanak-kanak ini mewakili lima zon jajahan negeri iaitu Zon 1 (Kota Bharu, Ketereh, Kubang Kerian, Tumpat), Zon 2 (Pengkalan Chepa dan Bachok), Zon 3 (Machang dan Tanah Merah), Zon 4 (Jeli, Rantau Panjang dan Pasir Mas) dan Zon 5 (Kuala Krai dan Gua Musang).

Mereka penuh yakin menjayakan persembahan mengikut 10 kategori termasuk tarian, nasyid, pidato, bercerita dalam bahasa Malaysia atau Inggeris, teater, reka cipta, boneka tangan dan tilawah. Juara akan mewakili ke peringkat kebangsaan.

Perasmian majlis penutup disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan, Osman Che Mat yang turut dihadiri Pemangku Pengarah Kemas negeri, Shafinie Ismail dan Ketua UMNO Bahagian Machang, Ahmad Jazlan Yaakob.

Dalam ucapannya, Osman berkata, pendidikan awal kanak-kanak prasekolah melalui pendidikan menyeronokkan akan memberi kesan memberangsangkan kerana mampu membina jiwa yang mantap dan menyuntik keyakinan diri dan bersikap kreatif.

”Penyertaan dalam aktiviti kokurikulum dan program bersandarkan bakat akan meninggalkan kesan positif dalam jangka masa panjang dan menjadi panduan sebelum mereka melangkah ke alam persekolahan yang sebenar,” katanya.

Pada majlis itu, Siti Nur Aqilah Zamri dari Tabika Kemas Balai Polis Machang dipilih sebagai Kanak-Kanak Cemerlang Tabika Kemas Kelantan 2010.

Johan tilawah lelaki disandang oleh Mohd. Zul Ikwan Zikri yang mewakili zon 3 manakala perempuan dimenangi oleh Nurliana Najwa Mahadi dari Tabika Kemas Pasir Hor, Kubang Kerian atau dari Zon 1.

Kategori bercerita dalam bahasa Inggeris dimenangi Eliesya Fahira Zamri dari Zon 1 manakala dalam bahasa Malaysia dimenangi oleh Hasnita Awe dari suku kaum Orang Asli dari Tabika Kemas Teluk Untung, Kuala Betis, Gua Musang yang mewakili Zon 5.

Johan kategori pidato disandang Muhammad Halim Hakimi Mansor, Tabika Kemas Ciku 7, Gua Musang manakala nasyid dimenangi kumpulan dari Zon 4.

Juara reka cipta menjadi milik kumpulan dari Zon 2 yang turut mengungguli kategori tarian, sementara itu Zon 1 berjaya menjuarai kategori teater dan boneka tangan.

Untuk kategori Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska), Taska Kampung Berangan Mek Nab, Machang terpilih menjadi juara, kedua Taska Manik Urai dan tempat ketiga Taska Kemahang 3, Tanah Merah.

Bagi kategori Kebersihan, Keindahan dan Keselamatan (P3K) bahagian tabika yang menawarkan ganjaran wang tunai, sebanyak 14 buah dari setiap Parlimen telah dinilai dan memasuki peringkat akhir.

Ia telah menangi oleh Tabika Khairiah, Sungai Pas, Kuala Krai manakala naib johan Tabika as-Mustaqim dari penjara Pengkalan Chepa dan tempat ketiga, Tabika Mawar, Rantau Panjang.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_03.htm

About these ads