SK Zainab (2) terap semangat No.1

05/02/2010

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my

DUA pembantu guru, Rose Anita Omar (kiri) dan Hasliza Ibrahim membantu murid Tahun Satu menyelesaikan tugasan di SK Zainab (2), Kota Bharu, baru baru ini.



KOTA BHARU 4 Feb. – Sekolah Kebangsaan Zainab (2) ? Ya, sekolah itulah yang disenaraikan bersama 19 buah sekolah lain daripada ribuan sekolah seluruh negara sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Tentunya ia amat membanggakan warga pendidiknya, masyarakat setempat dan mereka yang telah melalui zaman kanak-kanak dan pendidikan awal di sekolah berkenaan sebelum berjaya mencorak masa depan.

Ia satu-satunya sekolah dari negeri di Pantai Timur yang berada dalam kelompok perintis sebagaimana yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Ia antara enam sekolah kebangsaan seluruh negara yang menerima pengiktirafan itu selain sepuluh sekolah menengah berasrama penuh dan empat sekolah harian biasa.

Sekolah-sekolah itu dipilih berdasarkan prestasi cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan bidang kebitaraan (niche area).

SBT juga dipilih atas keupayaan sekolah melahirkan personaliti unggul, merangkul pelbagai anugerah, permuafakatan jitu dengan masyarakat dan jalinan kukuh dengan institusi pendidikan lainnya.

Ia juga bakal menjadi penanda aras kepada sekolah-sekolah lain dan melalui pengiktirafan SBT itu, pihak pentadbiran diberikan kuasa autonomi dalam banyak perkara termasuk soal pengajaran dan pembelajaran.

Pada awal penubuhannya, SK Zainab (2) dikenali sebagai Zainab English Primary School dengan menumpang di premis Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau di Jalan Merbau dan di Sekolah Menengah Zainab.

Selepas itu mereka berpindah ke Sekolah Rendah Kebangsaan Zainab (1) dan belajar dalam sesi pagi dan petang secara bertukar ganti selama 16 tahun dan hanya pada 1977, barulah ia mempunyai bangunan sendiri dan mula dikenali sebagai SK Zainab (2) pada 1998.

Pada hari ini, ia mempunyai 21 kelas secara keseluruhan yang menempatkan murid seramai 577 orang dengan bilangan tidak lebih daripada 30 murid dalam satu kelas.

SK Zainab (2) telah banyak kali membuktikan bahawa nombor ’2′ tetap meletakkan mereka di tangga teratas sebagai salah satu pusat kecemerlangan ilmu yang diimpikan ramai pihak.

Ini termasuklah muncul sebagai johan Sekolah Harapan Negara bagi kategori sekolah rendah dalam bandar pada tahun 1999 sehinggalah terpilih sebagai sekolah kluster kecemerlangan pada 2007.

Dengan status berprestij terbaru ini, ia menuntut warganya terus berusaha lebih gigih mempertahankan dan melonjakkan lagi prestasi mereka dengan mencorakkan pelbagai pendekatan terbaik.

Guru Besarnya, Aidah Mohd. Salleh (gambar) ketika ditemui memberikan penghargaan kepada warga pendidik di situ yang melakukan tanggungjawab dengan ikhlas demi kepentingan anak bangsa.

Sebab itulah katanya, walaupun diulit dengan pelbagai kejayaan, peluang akan terus sentiasa terbuka, mengikut kapasiti yang ada, untuk menghantar anak-anak perempuan mereka menerima pendidikan di situ.

“Misi kita adalah melahirkan pelajar yang holistik pencapaiannya, murid yang mempunyai sahsiah yang dapat memanfaatkan diri mereka sendiri dan orang sekeliling.

“Sebab itu kita tidak pernah menapis mana-mana murid yang masuk ke sini pada Tahun 1, tidak kira apa tahap intelek atau asal usul mereka kerana peluang harus diberi kepada sesiapapun.

“Mana mungkin potensi murid dapat diukur pada usia semuda itu kerana kitalah sebagai guru yang bertanggungjawab untuk mencorak anak-anak ini nanti,” katanya.

Sekolah yang terletak di Jalan Telipot ini seringkali mencatat keputusan membanggakan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan tidak putus-putus menjadi antara sekolah yang terbaik di negeri ini setiap tahun.

Malah sejak dua tahun kebelakangan ini, peratusan pelajar yang memperolehi 5A adalah hampir separuh daripada bilangan calon yang menduduki peperiksaan tersebut.

Pada 2008 misalnya 45 peratus atau 63 daripada 140 pelajarnya mendapat 5A dan pada 2009 sebanyak 43.61 peratus atau 58 daripada 133 murid telah mengulangi kejayaan sama.

Sementara itu, dari aspek kokurikulum pula, pelajarnya bukan sahaja mengharumkan nama SK Zainab (2) di peringkat negeri malah di peringkat kebangsaan.

Antara yang dilakar adalah kedudukan tempat ketiga dalam Pertandingan Lalu Lintas Shell Kebangsaan pada 2007, tempat kedua (berkumpulan) Tenpin Bowling Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) pada 2008 serta Johan 8th International Club Open Taekwando (kategori antarabangsa) dan Naib Johan ‘Public Speaking’ Kebangsaan, kedua-duanya pada 2009.

Selain itu, ia juga mempunyai sebuah kumpulan Simfoni Dikir Barat yang dianggotai 70 pelajar di bawah bimbingan 7 orang guru.

Berbeza dengan dikir barat biasa, kumpulan ini yang turut mendapat latihan daripada pendikir terkenal Kelantan, Halim Yazid, menggabungkan lima alat muzik asas dikir barat dengan alatan seperti angklung, gedombak, cak lempong, pianica dan rekoder sebagai satu kelainan.

Kewujudan kumpulan simfoni tersebut adalah salah satu daripada bidang kebitaraan sekolah tersebut sebagai sebuah sekolah kluster kecemerlangan selain pidato umum bahasa Inggeris dan Kalam Jamaie.

Aidah yang mula menunjangi pentadbiran di sekolah itu sejak 1998 sentiasa menerapkan semangat ‘Zainab (2) nombor satu!’ kepada rakan seperjuangan dan anak didiknya dan tidak mahu mereka bersikap ‘rendah diri’ tiap kali bersaing dengan sekolah lain.

Beliau bagaimanapun berpandangan walaupun kejayaan akademik dan kokurikulum sering dijadikan tanda aras kejayaan sesebuah sekolah rendah, baginya keseronokan belajar kanak-kanak semasa menghabiskan sebahagian umur mereka di sekolah yang mesti dititik beratkan.

Bersama barisan 47 guru dan staf sokongan serta bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), mereka berusaha mewujudkan persekitaran yang selesa.

Ini sama ada dari sudut prasarana sekolah atau layanan guru, supaya murid berasa seronok untuk datang ke sekolah dan terpanggil untuk mencipta kecemerlangan sebagaimana yang diimpikan para guru dan ibu bapa.

Setiap ceruk sekolah dipastikan menjadi ruang belajar terbuka dan para guru boleh membawa pelajar keluar dari kelas untuk belajar di lokasi mana difikirkan sesuai.

Ini termasuklah lokasi di mana tangki besar sekolah ditempatkan telah dimanfaatkan dengan adanya nombor-nombor dan penyataan dalam bahasa Inggeris dan menjadi sebahagian dari Taman Matematik.

Taman-taman ilmu lain seperti Taman Sumber, Taman Bahasa Inggeris, Taman Citra Bahasa Melayu dan Taman Muafakat dipenuhi dengan bahan-bahan bacaan sumbangan perpustakaan sekolah yang mempunyai lebih daripada 16,600 buah koleksi buku.

Sekolah yang terdiri daripada tiga blok bangunan dua tingkat dan dua blok bangunan empat tingkat ini juga dilengkapi dengan surau, pusat pembelajaran kendiri, pusat kesenian dan kebudayaan serta hab minda yang menjadi tempat pelajar melatih kecerdasan otak mereka.

“Kita belanjakan lebih RM10,000 untuk pengisian bahan dan permainan melatih otak di dalam hab ini.

“Pelajar boleh datang semasa rehat atau selepas waktu sekolah untuk mengasah ketajaman fikiran mereka di sini menggunakan alatan yang ada,” katanya.

Aidah berkata, untuk kelengkapan hab tersebut, mereka juga mendapat bantuan daripada pihak Universiti Sains Malaysia (USM).

Katanya, ia adalah kelangsungan daripada kerjasama yang mula terjalin pada 2008 melalui Projek Minda Bitara.

Jelasnya, projek tersebut membolehkan pihak BRAINetwork USM memperoleh data yang diperlukan untuk kajian mereka manakala tenaga pengajar Tahap 1 di SK Zainab (2) pula diperkenalkan dengan prinsip-prinsip terkini dalam proses pembelajaran yang berasaskan minda.

Selain itu, Aidah berkata, antara ‘kebanggaannya’ yang mungkin nampak kecil di mata orang lain adalah menambah baik keadaan tandas melalui peruntukan yang diperoleh sebelum ini sebagai salah sebuah sekolah kluster kecemerlangan.

“Mungkin sesetengah pihak nampak usaha ini kecil. Tetapi adanya tandas yang baik di setiap tingkat bangunan adalah satu kemudahan penting untuk pelajar yang memberikan imej awal terhadap perjalanan sebuah sekolah,” ujarnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_01.htm

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s